Saturday 6 June 2015

HALAMAN UTAMA

Pengenalan Kursus     

Nama kursus                     : Karya Agung Melayu
Kod kursus                        : BMS 3022

Pensyarah




Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj. Rohani
Pensyarah kursus BMS 3022

Tentang kursus

 Kursus ini akan membincangkan mengenai karya agung yang menjadi pembentuk tradisi, tamadun dan pandangan semesta bangsa Melayu. Sepanjang kursus ini pelajar didedahkan tentang genre, gagasan, seni penulisan, nilai ilmu dan falsafah karya agung Melayu. Melalui kursus ini, pelajar berpeluang untuk:

1.       Menginterpretasi falsafah karya agung Melayu dalam pemikiran dan nilai kehidupan.
2.      Mengkonstruk idea dan nilai dalam karya agung Melayu sebagai amalan dalam kehidupan.
3.       Menghayati dan berasa bangga terhadap nilai ilmu, gagasan dan falsafah karya agung Melayu.

Karya Agung Melayu

Karya agung Melayu ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah kehidupan yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Yang dimaksudkan sebagai karya ulung ialah karya yang berjaya meninggalkan kesan seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya yang kekal dalam ingatan bersama sesuatu bangsa sepanjang sejarahnya. Selain itu, karya agung juga dapat disimpulkan sebagai karya yang dianggap oleh pelbagai institusi dan badan berautoriti sebagai karya yang mencerminkan kehebatan sesuatu bangsa melalui amalan cara hidup, adat istiadat, falsafah, nilai ilmu dan seumpamanya. Oleh itu, unsur didalamnya akan merangkumi mutu, nilai ketamadunan dan nilai kemanusiaan yang akan kekal dalam kesedaran dan ingatan pembaca.
            Berikut merupakan karya yang telah kami analisis sepanjang empat belas minggu mengikuti kursus ini.

1.       Hikayat Inderaputera


2.      Pantun Melayu: Bingkisan Permata



3.       Gurindam Dua Belas


Wednesday 27 May 2015

NILAI BUDAYA DALAM PANTUN MELAYU

Budaya adalah daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘Budayyah’ yang merupakan kata jamak bagi perkataan ‘buddhi’ yang bermaksud budi pekerti atau akal yang amat berkait rapat dengan masyarakat. Konsepnya meliputi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila dan adat resam.
Kanak-kanak  riang gembira
Ketupat palas sedap rasanya
Ditangkap buaya nampak riaknya
Ditangkap malas mati kelaparan.

Harimau belang mengejar rusa
Rusa makan di daun muda
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan merasa.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2011: 206-207)

Nasihat-menasihati
Nilai budaya yang terdapat dalam pantun di atas ialah sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Dalam pantun ini menekankan bahawa sikap rajin akan memberi keuntungan manakala sikap pemalas akan membawa kerugian. Penggunaan kanak-kanak bertujuan untuk menegaskan bahawa sikap rajin harus dipupuk sejak dari kecil lagi bagi memastikan nilai murni ini terus dipegang oleh mereka apabila meningkat dewasa kelak.

Pada pantun kedua pula, Nilai Budaya yang ingin di ketengahkan ialah mengenai bersopan santun dan berbudi. Masyarakat Melayu begitu tinggi dengan nilai santun dan beradab ini bersesuaian dengan anjuran Agama Islam yang mementingkan sopan santun sama ada dari segi perbuatan, perkataan dan tingkah laku. Dalam pantun ini menegaskan kepada setiap pembaca agar sentiasa memastikan setiap ucapan dan perkataan yang dikeluarkan berfikir secara rasional terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana setiap ucapan yang telah dikeluarkan tanpa berfikir dengan sebaiknya akan mengguris hati dan perasaan orang lain sehingga menyebabkan berlakunya pergaduhan dan pertengkaran yang boleh memutus kan ikatan silaturahim yang sedia terbina. Oleh itu, Nilai Bersopan santun dan berbudi pekerti amat dituntut dalam Masyarakat Melayu kearah keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia.

Sirih lipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 13)

Meraikan Tetamu
Pada pantun ini Penulis mengetengahkan Nilai Meraikan tetamu dengan penggunaan ucapan-ucapan yang berunsur permulaan bicara. Dalam masyarakat Melayu meraikan tetamu merupakan satu nilai yang amat penting . Hal ini demikian kerana, Di dalam agama Islam meraikan tetamu begitu digalakkan kerana tetamu dianggap sebagai “penambah rezeki” dalam sesebuah keluarga. Oleh itu, seharusnya seseorang tetamu itu mendapat layanan yang sebaik mungkin, diberikan pelindungan yang sempurna serta dimuliakan. Nilai menghormati tetamu merupakan satu pegangan dan adat yang dipegang oleh Masyarakat Melayu sejak zaman berzaman.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun sepuluh jari.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 13)

Pada pantun ini pengarang memasukkan nilai Kasih-sayang dengan menekankan sikap saling bermaaf-maafan antara satu sama lain. Hubungan yang erat akan terjalin sekiranya setiap individu mengamalkan nilai saling maaf memaafi atas segala kesilapan yang dilakukan secara langsung mahupun tidak langsung. Penerapan nilai kasih sayang sesama manusia ini menjadi asas utama kepada pembentukan masyarakat yang penyayang.

Burung kenek-kenek,
Terbang dalam hutan;
Pesan datuk nenek,
Emak marah jangan lawan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

Menghormati Orang Tua
Dalam pantun ini nilai budaya yang diketengahkan ialah menghormati orang tua. Masyarakat Melayu sangat mementingkan nilai menghormati orang tua sejak zaman  berzaman. Segala nasihat yang diberikan oleh golongan yang lebih tua ini seharusnya dijadikan panduan kepada anak-anak muda. Hal ini dikaitkan dengan golongan Tua lebih berpengalaman dan mengetahui banyak perkara yang tidak diketahui oleh golongan muda . Oleh itu mereka suka memberi nasihat agar golongan muda akan lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Jelas dapat dilihat bahawa golongan muda seharusnya memenuhi segala kehendak dan perintah yang diberikan kepada mereka. Hal ini demikian kerana mereka begitu bijak dalam menilai dan menentukan keputusan yang tepat dalam sesuatu perkara.

Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan dan penerimaan ajaran serta perintah-Nya. Konsep agama dalam pantun berdasarkan konteks masyarakat Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan nilai dan akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris (2011), akhlak merupakan gambaran dalaman manusia meliputi sifat diri mereka sendiri yang memberi makna tersendiri sesuai dengan status mereka diciptakan sebagai makhluk.

Akhlak memainkan peranan yang sangat penting dalam proses pembentukan peribadi Muslim. Akhlak yang merupakan kelakuan bermoral merangkumi nilai-nilai seperti merendah diri, benar, hormat-menghormati, adil dan saksama dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu, mereka yang dianggap beretika, bermoral dan berakhlak lazimnya akan dipandang tinggi oleh masyarakat. Keseluruhan akhlak masyarakat Melayu yang terdidik dengan adat dan agama itu akan membentuk konsep budi yang menjadi sanjungan masyarakat Melayu sejak dahulu sehinggalah sekarang. Contoh pantun berkaitan dengan akhlak yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:

Bawa aksin terlalu indah,
Ombak bersusun berlari-lari;
Jika berkata yang tidak berfaedah,
Terlebih baik mendiamkan diri.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 139)

Budi Pekerti Dan Beradab
Budi bermaksud akal atau kebijaksanaan (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010: 212). Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), budi dapat ditakrifkan sebagai sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Dalam masyarakat Melayu, budi merupakan nilai yang terpuji. Amalan balas-membalas budi amat penting kerana ia dapat mewujudkan semangat kerjasama, tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk kebaikan. Dalam masyarakat Melayu, kebanyakan pantun budi merujuk kepada kepentingan berbudi dalam masyarakat. Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:

Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 91)

Di samping itu, banyak juga pantun Melayu yang memaparkan penghargaan masyarakat Melayu terhadap budi atau mengenang budi. Dalam masyarakat Melayu, mereka sangat menghargai orang yang berbudi. Menjadi kelaziman orang yang berbudi akan sentiasa dikenang, diingati, dan disebut selalu walaupun kadang-kala individu yang berbudi itu telah meninggal dunia. Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:

Ambil tali panjang sedepa,
Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)

Apa guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 101)

Tanah baik negerinya besar,
Banyak orang pergi mari;
Ramah baik lagi penyabar,
Banyaklah orang mesra di hati.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 175)

          Berpegang Teguh kepada Adat Resam
Perkataan adab diambil daripada bahasa Arab “addaba” yang bermaksud mengajarkan adab (Asmawati Suhid, 2009: 13). Manakala menurut takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 7), adab ialah tingkah laku serta tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan atau cara seseorang berkelakuan dalam situasi tertentu. Menurut Rosenthal (1992) adab merupakan istilah yang lebih luas kerana ia memasukkan perkara etika, moral, kelakuan dan adat istiadat, sebagai tambahan kepada perkara pembelajaran. Berdasarkan huraian tersebut, adab boleh juga dikaitkan dengan kesopanan dan ketertiban.

Pantun dalam masyarakat Melayu banyak memerihalkan perlakuan atau tingkah laku seseorang yang dinilai dari segi baik dan buruk. Perilaku yang baik merujuk kepada perilaku yang tertib dan sopan seperti memberi salam ketika bertemu, menghormati ibu bapa dan orang tua, membongkokkan badan ketika lalu di depan orang tua dan banyak lagi. Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak dahulu hingga sekarang.

Walaupun budaya menekankan kepentingan memelihara adat, namun tidak semestinya masyarakat Melayu perlu bersikap menuruti tanpa memikirkan baik buruknya. Malah, undang-undang adat yang lapuk dan tidak relevan lagi wajar diperbaharui demi kepentingan masyarakat Melayu seluruhnya (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Jelaslah bahawa adat Melayu boleh dijadikan panduan yang boleh dipatuhi namun adat ini perlulah disesuaikan mengikut situasi sosial ataupun relevan dengan zaman. Antara pantun adat istiadat yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:

Orang Padang mencuci benang
Dilipat maka dipertiga
Kalau direntang hanya panjang
Elok singkatkan sekadar berguna.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 91)

Selain itu juga, pantun kategori ini lazimnya dijadikan perantaraan dalam majlis-majlis adat istiadat orang Melayu, misalnya majlis merisik, pertunangan, perkahwinan (akad nikah) atau dalam pembukaan sesuatu upacara tertentu. Contohnya:

Masuk gelunggung berpelita,
Anak terkukur di tebing tinggi;
Alangkah baik untung kita,
Sirih berlipat datang sendiri.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)

 Berpegang Teguh kepada Akidah Islam
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), adat didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak dahulu kala dalam suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman atau peraturan yang harus dipatuhi. Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika ditakrifkan sebagai kod dan peraturan yang mengatur cara hidup dan tindak tanduk sesebuah masyarakat atau organisasi. Adat sangat sinonim dalam masyarakat Melayu kerana ia sering diaplikasikan dalam aktiviti seharian. Kedatangan Islam ke tanah Melayu telah mengubah banyak budaya Melayu. Hal ini melibatkan pegangan, pemikiran, dan falsafah kehidupan manusia di dunia. Dalam masyarakat Melayu, adat dihormati, dijunjung, dan disanjung tinggi. Pelanggaran adat Melayu dianggap sebagai perbuatan sumbang dan dicemuh oleh anggota masyarakat (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas terakam nilai ini, misalnya:

Menanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di kitab Allah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)

Berbuah lebat pohon mempelam,
Rasanya manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
Adat pusaka berpedoman kitab.


(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 80)

ESTETIKA DALAM PANTUN MELAYU

Orang Melayu dan pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiwa orang Melayu seolah-olah telah terikat dengan bentuk dan cara pengungkapan sesuatu perkara atau maksud melalui pantun. Salah satu faktor pantun begitu mesra dengan jiwa Melayu adalah kerana unsur keindahannya atau estetikanya. Bentuk pantun merupakan suatu saluran yang amat berkesan bagi menyampaikan atau meluahkan perasaan individu atau masyarakat secara halus. Masyarakat Melayu zaman dahulu akan menggunakan bahasa yang paling halus dan beralas dalam menyampaikan sesuatu mesej agar hati pendengar tidak terluka dan tidak memberi malu kepadanya. Keindahan dalam pantun dapat dikaji daripada pelbagai sudut dan hal yang paling penting ialah mesej yang dibawa bersama pantun tersebut.
Menurut Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006:137), mereka menyatakan bahawa bentuk pantun memperlihatkan keunikan tersendiri yang tiada bandingan. Aspek rentak dan irama turut menimbulkan keindahan, hal ini kerana kita perlu sedar bahawa pantun itu pertama kali diwujudkan atau dicipta untuk dilafazkan dan untuk didengari. Keindahan lazimnya dikaitkan dengan perasaan yang menyenangkan, yang dihasilkan berdasarkan tanggapan pancaindera, namun begitu, keindahan tersebut tidak semata-mata bergantung pada aspek indera mata, kerana konsep keindahan itu menjangkau bentuk fizikal hingga ke tahap yang dinikmati melalui jiwa dan akal. Di samping itu, antara aspek keindahan pantun yang lain terletak pada mesej yang hendak disampaikan pada dua baris yang terakhir. S.T Alisjahbana (1968) mengatakan bahawa keindahan ini tercapai melalui ungkapan yang bernas tetapi padat yang mengandungi mesej yang tepat dan persis serta penuh dengan kebenaran (Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias, 2006:138). Berikut merupakan contoh pantun yang terdapat pada bab Bingkis Bicara:
Akar keladi melilit selisih,
Selasih tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra kenangan sepanjang zaman.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2011: 97)


Hari panas helang berlegar,
Ayam terkurung di dalam reban,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi gunung terbeban.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2011: 113)
Berdasarkan kedua-dua pantun di atas, dua baris terakhirnya mengandungi isi yang amat jelas, dinyatakan oleh pengarang melalui pilihan kata yang sesuai dan kemudian disusun dengan cara yang indah dan bernas. Kedua-dua pantun tersebut menyatakan tentang pernyataan rasa terhutang budi yang akan dikenang selama-lamanya. Selain itu, buah fikiran yang seni disampaikan oleh pengarang dengan berkesan melalui dua baris akhir pantun tersebut. Pada dua baris pertama pantun pula, iaitu pada bahagian pembayang, terdapat satu lagi aspek keindahan iaitu penggunaan unsur alam sekitar sebagai latar belakang. Dalam pantun (1), yang menjadi unsur pembayang maksud ialah sifat tumbuh-tumbuhan iaitu akar keladi dan pokok selasih, manakala dalam pantun (2) pula, burung helang dan ayam yang menjadi unsur pembayang maksud.Nik Safiah Karim (1987) dalam satu kertas kerjanya menyatakan bahawa,
“Saya telah menunjukkan bagaimana orang Melayu telah menggunakan unsur flora dan fauna untuk melatari pengungkapan buah fikiran mereka, terutama dalam pantun dan peribahasa. Segala jenis-jenis tumbuhan dan binatang (liar dan jinak) menjadi latar belakang pengungkapan. Demikian juga dengan pantun.”
(Pandangan Semesta Melayu: Pantun, 2006: 138)
Hal yang demikian jelas menunjukkan bahawa isi atau mesej yang disampaikan merupakan unsur yang amat penting dalam sesebuah pantun. Selain itu, aspek keindahan dalam pembacaan pantun juga banyak terdapat pada bab Bingkis Kasih.
Pantun-pantun yang terdapat dalam Bingkis Kasih dari aspek estetikanya berkisar tentang alam percintaan dan kasih sayang. Pembaca berasa terhibur dengan madah-madah cinta yang berunsur rindu dan sayang, geli hati terhadap pantun-pantun yang berbaur usik-mengusik, saling menduga dan cemburu-mencemburui, dan berasa sedih dan simpati akan pantun-pantun yang berbaurkan perasaann kecewa, patah hati, kecurangan, dan cinta yang tidak diterima. Bahasa yang digunakan oleh penciptanya pula tidak menimbulkan rasa marah, benci, sakit hati, dan geram kepada pendengar atau pembaca. Hal ini demikian kerana pantun berperanan untuk menyampaikan hasrat hati pencipta atau pengujar pantun tersebut kepada individu yang dituju dengan bahasa dan nada yang berlapik agar tampak manis dan tidak menimbulkan perasaan dendam di hati pendengar. Di samping itu, cara pengarang atau pencipta pantun menyampaikan hasrat hati adalah dengan menggunakan perlambangan. Perlambangan yang kerap digunakan pula berunsurkan tumbuh-tumbuhan, haiwan, rumah, buah-buahan, nama orang, pakaian, makanan, bunga-bungaan, nama-nama tempat, bintang, bulan, matahari, dan banyak lagi. Perlambangan yang baik-baik sebegini dapat menarik perhatian pendengar atau pembaca dan membuat mereka tersenyum sendiri. Hal inilah yang membuktikan kekuatan pada pantun yang terdapat dalam Bingkis Kasih.

Walau bagaimanapun, aspek keindahan sesebuah pantun dihasilkan berdasarkan beberapa faktor. Faktor yang utamanya ialah isi atau mesej yang hendak disampaikan oleh pencipta atau pengarang digarap dengan menggunakan kebijaksanaan yang dimiliki seperti gambaran tentang kekayaan persekitan kehidupan pada zaman dahulu. Selain itu, aspek lain yang menentukan keindahan sesebuah pantun itu ialah bentuknya, iaitu binaan dan hubungan antara pembayang dengan maksud pantun, jalinan buah fikiran, serta ketajaman dan kehalusan budi masyarakat Melayu. 

NILAI ILMU DALAM PANTUN

Ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Ilmu sangat penting disebarkan kepada orang lain agar ilmu tersebut memberi manfaat kepada orang yang menuntutnya. Antara tujuan ilmu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan orang lain, mengembangkan perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan, dan sebagainya. Nilai ilmu merujuk kepada pengetahuan yang terdapat dalam sesebuah karya yang menjadi amalan dalam penghasilannya yang bukan sahaja menunjukkan kelebihan yang ada pada seorang pengkarya, tetapi juga memberikan pengetahuan kepada pembacanya. Dalam karya Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, terdapat beberapa nilai ilmu yang diketengahkan dan boleh memberi manfaat kepada pembaca. Antaranya ialah nilai ilmu adat, ilmu agama dan ilmu alam.

 Ilmu Adat
Menurut Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006), dalam sistem sosial adat perpatih, perkataan adat akan membawa maksud yang berbeza apabila digunakan dalam konteks yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) dalam Mohd Rashid et al. (2014), adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam sesuatu masyarakat sehingga menjadi satu hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Namun, secara amnya perkataan ‘adat’ dalam konteks masyarakat Melayu membawa maksud cara biasa dilakukan, kebiasaan atau kelaziman. Selain itu, adat juga disamakan dengan kebudayaan atau cara hidup yang khusus atau tertentu. Dalam buku yang dikaji, terdapat pantun yang menggambarkan bagimana ilmu adat itu diperolehi oleh masyarakat secara turun-temurun kerana masyarakat Melayu zaman dahulu tidak pandai menulis dan membaca. Contoh pantun:

Berek-berek turun ke semak,
Dari semak turun ke padi,
Dari nenek turun ke mamak,
Dari mamak turun ke kami.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 81)

Berdasarkan contoh pantun di atas, dapat kita kenal pasti bahawa ilmu berkaitan adat istiadat pada zaman dahulu disampaikan secara warisan atau turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Baris ketiga menunjukkan turutan permulaan sesuatu adat itu dibentuk oleh golongan dewasa sebelum diturunkan kepada generasi yang berikutnya. Ilmu adat dilihat hidup dalam masyarakat apabila mereka mengamalkannya dalam kehidupan seharian dan sebahagiannya menjadi adat istiadat sebagai pantang larang dan pegangan hidup sehingga ke hari ini. Contohnya seperti dalam pantun di bawah:

Limau purut jatuh ke lembah,
Tiba di lembah tumbuhlah duri,
Pinang menghadap sirih menyembah,
Jari sepuluh menjunjung duli.
                         (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 11)

Berdasarkan contoh di atas, kita dapat melihat adanya nilai ilmu adat menyembah raja atau golongan istana dalam masjlis beradat yang cuba diterapkan dalam masyarakat Melayu ketika itu. Maksud tepak sireh yang dibawa tetamu atau yang disediakan tuan rumah ialah untuk menyatakan peranan sirih dan pinang dalam istiadat Melayu tradisional. Nilai ilmu yang mungkin tidak diketahui  oleh generasi muda hari ini sangat penting diterapkan dalam pantun, terutama di dalam pantun yang diajarkan dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah agar mereka dilengkapi dengan pengetahuan berkaitan adat istiadat tradisional yang kian dilupakan dewasa ini.

Selain itu, dalam koleksi pantun ini juga turut diselitkan ilmu berkaitan adat perpatih yang kita sedia maklum diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan. Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab terjadinya sesuatu hukum atau adat. Pantun di bawah ada menerangkan sedikit mengenai pembahagian adat perpatih dalam masyarakat yang mengamalkannya. Luak dibahagi tiga menghuraikan tiga kumpulan utama yang terdapat dalam adat ini, iaitu Perut, Suku dan Luak. Setiap kumpulan ini mempunyai struktur yang berbeza dan salasilah yang unik.

Dibelah-belah dipertiga,
Pisau raut pembelah rotan,
Luak dibahagi tiga,
Adat dibahagi delapan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 83)

Penerapan ilmu budaya seperti di atas dalam pantun sangat membantu dalam menyampaikan pengetahuan kepada masyarakat pentingnya menjaga adat agar tidak dilupakan oleh masyarakat. Adat akan mencerminkan jati diri masyarakat di samping menjadi identiti sesuatu bangsa.

2Ilmu Agama
Ilmu agama merupakan ilmu yang sering berkait dengan keimanan. Ilmu keagamaan akan menyentuh persoalan hidup semasa, soal menuntut ilmu dan beramal supaya tidak menyesal sesudah mati (Harun Mat Piah, 2001). Ilmu keagamaan biasanya dijumpai dalam pantun agama yang sering menggunakan huraian yang didasari fahaman tasawuf, sufisme atau ilmu suluk. Selain itu, dalam pantun keagamaan juga turut ditekankan aspek yang perlu dihindari dan diamalkan dalam kehidpan seharian. Penerapan ilmu ini dalam pantun bersesuaian dengan peranannya pada ketika itu sebagai alat untuk mendidik dalam masyarakat. Contoh pantun yang menerapkan ilmu keagamaan ialah:

Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh,
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.

Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggallah enam,
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

Berdasarkan contoh di atas,  kita dapat melihat dengan jelas penerangan yang diberikan berkaitan akibat jika kita meninggalkan saranan dan melakukan larangan Allah.  Malah, dengan adanya baris yang menyatakan dengan jelas kesan seperti badan yang hancur kerana dijilat oleh api neraka, secara tidak langsung akan memberi kesedaran kepada pembaca atau pendengarnya agar tidak meninggalkan larangan-Nya. Terdapat juga pantun yang menyatakan hasrat seorang hamba yang mahu masuk ke syurga dan berharap doanya didengari oleh Allah s.w.t. Melalui pantun begini, kita mampu mendidik masyarakat agar lebih menjaga pegangan agama mereka agar mereka bukan sahaja berjaya di dunia, malah di akhirat dan kelak ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Contoh pantun:

Anak ayam turunnya satu,
Mati seekor habislah sudah,
Masuk ke syurga tuhan yang satu,
Mudah-mudahan diperkenankan Allah.
                         (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

Selain itu, pantun agama juga dicipta berdasarkan latar belakang seorang hamba yang menginsafi kekhilafannya dan mahu berubah ke arah kehidupan yang lebih baik. Mereka sentiasa berusaha mencari keredhaan Allah dan berharap pintu taubat terbuka untuk mereka kembali ke pangkal jalan. Contohnya seperti dalam pantun di bawah: 
Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat,
Sekian lama kami mencari,
Sekarang kini baru mendapat.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 449)
Dalam pantun di atas, mencari dan mendapat merujuk kepada seorang hamba Allah yang mencari dan menemukan tuhan setelah sekian lama mencari arah tujuan dalam kehidupan. Perkataan mendapat dalam pantun juga mungkin merujuk kepada hidayah atau  petunjuk ke jalan yang lurus yang diperoleh oleh seorang hamba Allah untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.

Ilmu Alam
Secara umumnya, pantun yang dihasilkan dengan sendirinya akan menyerlahkan persekitaran atau gambaran masyarakat yang menghasilkannya. Penggunaan unsur-unsur perlambangan dalam pantun dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh penciptanya. Contohnya ilmu berkaitan alam semesta. Pemilihan diksi yang bertemakan alam semesta mestilah bersesuaian dengan maksud yang mahu dianalogikan. Ini bermakna untuk menerapkannya dalam pantun, ilmu tersebut perlu dikuasai sepenuhnya oleh penciptanya agar hasrat yang mahu disampaikan melalui setiap baris dalam pantun sampai kepada pembaca mahupun pendengar.

Ilmu alam yang terdapat dalam pantun akan menggambarkan latar alam atau latar masyarakat yang diwakilinya. Menurut Harun Mat Piah (2001), latar sesebuah pantun meliputi sama ada sebuah masyarakat pantai, pesisir, darat, kota, desa atau pedalaman.  Contoh pantun yang penghasilannya melibatkan ilmu alam ialah:

Baik-baik belayar malam,
Arus deras karangnya tajam,
Cari-cari malim yang faham,
Di situ banyak kapal tenggelam.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,  2001: 138)

Pantun di atas merupakan satu contoh di antara berates pantun lain yang menunjukkan ilmu alam yang digunakan oleh masyarakat yang menghasilkannya, iaitu merujuk kepada masyarakat pesisir atau masyarakat pelaut yang cukup mahir tentang laut dan falsafah pemikiran masyarakat Melayu. Secara keseluruhan, terdapat banyak kumpulan pantun yang menyerlahkan imej laut dalam penghasilannya dan disesuaikan dengan falsafah yang mahu dirungkaikan. Hal ini secara tidak langsung memerlukan penciptanya menguasai ilmu alam agar maksud yang mahu disampaikan bersesuaian dengan analogi yang digunakan. Contoh pantun lain yang menggunakan unsur ilmu alam dalam penghasilannya adalah seperti di bawah:

Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh sebiji di Gunung Daik,
Peluk tubuh rasa nak demam,
Baru kutahu badan tak baik.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 193)

Berdasarkan contoh di atas, imej bintang tujuh dalam baris pertama pantun mungkin digunakan kerana hubungan rapatnya dengan angka tujuh yang sering digunakan dalam cerita lisan rakyat khususnya dalam genre lipur lara seperti ‘puteri tujuh’ dan ‘bidadari 'tujuh’ dalam sistem kepercayaan pengubatan dan perbomohan seperti dalam Ulit Mayang. Manakala, penggunaan nama tempat seperti Gunung Daik juga merupakan sebahagian daripada istilah yang diketahui dan sering digunakan dalam dunia Melayu.

Selain itu, dalam pantun Melayu juga banyak menggunakan unsur-unsur alam seperti flora dan fauna dalam mengindahkan lagi pemilihan diksinya dan dalam masa yang sama mempunyai maksud yang boleh difahami. Ilmu alam ini lebih dekat dengan masyarakat yang mencipta pantun kerana persekitaran hidup mereka ketika itu yang dikelilingi oleh alam semula jadi. Contohnya seperti contoh pantun di bawah:

Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 193)

Pantun di atas jelas menunjukkan adanya unsur flora dan fauna dalam pantun sebagai lambang kepada situasi yang dihadapi oleh masyarakat. Flora dapat dilihat melalui perkataan langsat dan senduduk, manakala fauna pula merujuk kepada gading yang diperoleh daripada gajah dan tanduk daripada seekor lembu. Pantun di atas jelas menggambarkan ilmu yang dimiliki oleh penciptanya dalam membuat analogi berkaitan dua situasi dalam kehidupan. Hubungan yang digambarkan antara langsat kekuningan dan senduduk kering amat bersesuaian dengan gading dan tanduk yang melambangkan dua individu. Satu sebagai seorang yang bertuah, dan satu lagi sebaliknya.

Apa yang cuba digambarkan dalam pantun yang menggunakan ilmu alam seperti flora dan fauna seperti di atas ialah kepekaan masyarakat terhadap sifat objek yang dipilih. Pemilihan akan melihat objek dari jenis indah dan paling penting tepat untuk dibandingkan, baik dari segi luaran, fizikal mahupun dalaman atau rohaniah. Oleh itu, sangat penting untuk mendalami ilmu alam sebelum menghasilkan sesebuah pantun yang baik agar pemilihan objek alam yang mahu dibandingkan bertepatan dan boleh diterima khalayaknya.


Oleh itu, dengan adanya ilmu alam, pemantun dapat merungkai makna asli yang terdapat pada setiap unsurnya. Melaluinya, bukan sahaja penciptanya, malah pembaca atau pendengarnya dapat belajar mentafsir alam dengan tekun dan teliti. Menurut Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006), ilmu berkaitan alam ini merupakan pemikiran filosofi yang rumit dan halus pengembaraannya. Pemantun akan berusaha mencari jalur kesenian yang mempunyai unsur kenyataan dan kebenaran. Dengan kepercayaan yang demikian, alam bukan sahaja menjadi pembayang nasib manusia, tetapi turut menjelaskan perasaan manusia dalam pelbagai keadaan.