Wednesday, 27 May 2015

PEMIKIRAN DALAM PANTUN MELAYU

Menurut Mohd Rashid Md Idris et. al (2014: 69) pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Melalui kajian yang dibuat terhadap sejumlah pantun yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, didapati bahawa terdapat unsur pemikiran dalam setiap pantun yang diungkapkan oleh masyarakat Melayu. Perkataan-perkataan yang terdapat dalam pantun melambangkan cara pemikiran penutur yang luas. Antara pemikiran yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ialah:

Pemikiran Tentang Kewujudan
Pemikiran tentang kewujudan dalam pantun Melayu melambangkan,

i.   Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya

Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya dapat dilihat dengan jelas dalam pantun yang menunjukkan isu-isu kehidupan yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pemikiran tentang kewujudan ini meliputi aspek akidah dan prinsip yang berlawanan dengan akidah Islam yang harus dihindari oleh masyarakat Melayu. Antara pantun yang mengungkapkan pemikiran tentang kewujudan ini dapat dihubungkan dengan tema keagamaan, contohnya:
Menanam kelapa di Pulau Bekam
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)

Pantun ini memberi maksud segala adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berasaskan kepada kitab Allah. Kitab Allah yang dimaksudkan ialah Al-Quran dan segala hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu adalah berlandaskan kepada hukum-hukum Allah.
Anak gajah mandi di sumur
Ambil galah dalam perahu
Orang muda jangan takbur
Cubaan Allah siapa yang tahu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 90)

Pantun di atas pula dijadikan peringatan kepada anak-anak muda Melayu supaya tidak mudah lupa dan bangga dengan diri. Hal ini demikian kerana tiada sesiapa pun yang akan tahu apakah ujian yang akan diberikan Allah kepada mereka yang lupa diri dan sombong. Masyarakat Melayu menjadikan pantun ini sebagai nasihat kepada anak-anak mereka supaya tidak bersikap sombong.

Angin bertiup kembangkan layar
Haluan menuju ke Pekan
Hendaklah hidup berikhtiar
Kemudian serahkan kepada tuhan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun ini pula membawa maksud masyarakat Melayu mendidik diri mereka supaya rajin berusaha dalam melakukan sesuatu kerja. Selepas berusaha, barulah mereka berserah dan bertawakal kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya setiap kerja yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil. Selain itu, mereka percaya kepada qada dan qadar seiring dengan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Asam kandis asam gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun di atas menerangkan tentang kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia. Pantun ini dijadikan pengajaran kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam supaya tidak meninggalkan solat. Hal ini demikian kerana solat merupakan rukun Islam yang kedua dan wajib dilakukan oleh mereka yang beragama Islam.

ii.                   Kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam

Konsep kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam juga terdapat dalam pantun Melayu kerana pemikiran orang Melayu yang berasaskan alam sekeliling menjadi konteks dalam kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri. Hasil daripada pengamatan masyarakat Melayu terhadap kejadian alam yang berlaku di sekeliling seperti hujan, ribut, kilat telah menghasilkan sesuatu konsep dalam pantun. Selain itu, dalam penciptaan pantun Melayu juga wujud faktor-faktor alam semester seperti flora dan fauna. Contohnya dalam dilihat dalam pantun di bawah:

Anak kuda dalam kandang
Pandai menyepak tendang-menendang
Kalau nasib sudah malang
Rezeki secupak tidak mahu segantang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 244)

Dalam pantun di atas, masyarakat Melayu menggunakan alam fauna sebagai pembayang iaitu kuda. Anak kuda yang sudah pandai tendang-menendang dan hidup di dalam kandang merupakan situasi yang biasa dilihat oleh masyarakat Melayu.

Daun empelas dalam puan
Puyuh mengeram dalam padi
Sangatlah belas hatiku tuan
Guruh menderam hujan tak jadi.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 245)

Bagi contoh pantun di atas pula, penggunaan faktor fenomena alam seperti guruh dan hujan merujuk kepada cuaca. Kebiasaannya bunyi dentuman guruh membawa maksud hujan akan turun. Fenomena ini merupakan kejadian yang berlaku di sekeliling masyarakat Melayu.

Tanam pisang tanam ubi
Ubi ditanam buatkan batas
Banyak orang bertanam budi
Dalam ingatan hendak dibalas.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)

Melalui pantun di atas, dapat dilihat penggunaan alam flora iaitu pisang dan ubi. Kedua-dua tanaman ini merupakan tanaman masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Mereka menanam ubi untuk dijadikan makanan harian terutamanya semasa zaman pemerintahan Jepun.

Berdasarkan pantun-pantun di atas, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa tidak boleh dipisahkan dengan corak pemikiran dan budaya penutur. Hal ini demikian kerana pemikiran dan budaya masyarakat Melayu merupakan satu panduan terhadap tindakan dan kepercayaan dalam hidup mereka, di samping menjadi warisan sosial masyarakat Melayu.

Pemikiran Tentang Ilmu Pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu kerana ia dapat membentuk dan menyuburkan fikiran masyarakat ke arah kesejahteraan. Selain itu, menuntut ilmu adalah selaras dengan objektif Islam berdasarkan peristiwa turunnya ayat Al-Quran pertama di Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad S.A.W. Menuntut ilmu dalam Islam merupakan fardu ain, iaitu menjadi kewajipan kepada semua individu yang bergelar Muslim. Sehubungan dengan itu, lahirlah pantun-pantun yang menyeru masyarakat Melayu supaya menuntut ilmu. Antara pantun tersebut ialah,

Burung kenek-kenek
Terbang dalam semak
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin pergi belajar.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

            Pantun di atas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sangat mementingkan pendidikan terutamanya kepada generasi muda iaitu kanak-kanak. Hal ini dapat dilihat melalui burung kenek-kenek yang sinonim dengan kanak-kanak dan pesan datuk nenek boleh merujuk kepada pesanan orang tua kepada cucunya supaya rajin belajar.

Cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 98)

Pantun ini pula menunjukkan bahawa budaya masyarakat Melayu yang sentiasa ingin ditegur dan diberi tunjuk ajar ketika mereka menuntut ilmu dan melakukan kesalahan. Sikap ini juga mencerminkan masyarakat Melayu yang mementingkan ilmu pengetahuan dan mengharapkan tunjuk ajar daripada orang lain.

Pokok kelapa di tanam berjajar
Nampak dari tepi pantai
Barang siapa rajin belajar
Tentu dia menjadi pandai.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 24)

Pantun di atas pula menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya bahawa masyarakatnya akan menjadi pandai dan bijaksana sekiranya mereka rajin belajar. Kepandaian dan kebijaksanaan masyarakat bergantung kepada kerajinan mereka menimba ilmu.

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
Akan bekalan hari kemudian.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

            Pantun ini turut membuktikan bahawa masyarakat Melayu mementingkan pendidikan dan ilmu pengetahuan. Hal ini dapat dilihat dalam dua baris akhir di atas yang menggambarkan mereka menuntut ilmu bersungguh-sungguh untuk dijadikan bekalan pada masa hadapan.

Melalui contoh-contoh di atas, dapat dirumuskan bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang melibatkan menuntut ilmu pengetahuan adalah selaras dengan ajaran Islam. Menuntut ilmu pengetahuan dalam Islam termasuk dalam kategori ibadah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masyarakat Melayu memandang tinggi kepada usaha menuntut ilmu itu sendiri.

Pemikiran Tentang Tingkah Laku Dan Moral Manusia
Masyarakat Melayu juga mengaitkan persoalan mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam hubungan antara manusia dengan manusia. Moral di sini bermaksud satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia itu sendiri meliputi pemikiran, perasaan dan niat. Nilai-nilai moral ini bersifat sementara, subjektif dan relatif. Di samping itu, segala tindak tanduk dan tingkah laku masyarakat yang wajar dan tidak wajar dilakukan juga diungkap dalam pentun Melayu. Hal ini bertujuan sebagai pengajaran dan teladan kepada masyarakat supaya dapat dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Antara pantun yang menyatakan perihal tingkah laku dan moral manusia adalah seperti berikut:

Ayun anak ayun
Ayun sampai hujung serambi
Bangun anak bangun
Jangan tidur meninggi hari.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 19)

            Pantun di atas membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak membudayakan tidur sehingga lewat hari atau dengan kata lainnya sehingga matahari naik. Hal ini demikian kerana selepas subuh merupakan masa mereka mencari rezeki. Mereka percaya amalan tidur sehingga tinggi hari akan menutup pintu rezeki mereka.

Burung kenek-kenek
Terbang ke pucuk tebu
Pesan datuk nenek
Jangan derhaka pada ibu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

Dalam contoh pantun ini, masyarakat Melayu amat menitik beratkan hubungan anak-anak terhadap orang tuanya terutama ibu. Hal ini juga turut menjadi budaya yang ditanam dalam diri masyarakat Melayu melalui rangkap pantun. Menghormati ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang banyak menabur bakti kepada anak-anak terutmanya ibu.

Tinggi rimbun pohon sena
Tempat bersarang si burung enggang
Bantalku gebu tidak tidur lena
Ingatkan hutang keliling pinggang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 246)

Pantun di atas pula merupakan pantun yang menyatakan kehidupan bagi mereka yang berhutang. Hal ini merupakan pengajaran yang ingin diterapkan dalam diri masyarakat Melayu supaya tidak berhutang kerana dengan berhutang akan memakan menghantui diri mereka sendiri.

Anyam ketupat bawa belayar
Diletak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001:  95)

Pantun di atas juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu menanamkan prinsip hutang budi tidak mampu dibayar dan dibawa mati. Segala jenis hutang-piutang berbentuk harta benda boleh dibayar, tetapi bukan hutang budi.


Berdasarkan pantun-pantun di atas, jelaslah menunjukkan bahawa hubungan bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu berkait rapat dengan tingkah laku dan moral. Pemikiran dan kebahasaan masyarakat Melayu yang terkandung dalam rangkap pantun bersifat humanistik dan relatif. Marilah kita sama-sama menghayati sedutan pantun di bawah sebagai halwa telinga dan mengkaji falsafah melayu itu sendiri.

PENGENALAN : PANTUN

Menurut Mohd Rosli Saludin (2014), terdapat banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh ramai sarjana seperti Za’ba, Windstedt, Wilkinson, Pijnappel dan Van Ophuijsen berkaitan asal-usul pantun. Antara tokoh-tokoh tersebut, ada yang mengatakan bahawa pantun berasal daripada bahasa Nusantara seperti toen dalam bahasa Sunda, tuntun (Pampanga), tonton (Tagalog), matuntun (Jawa), panton (Bisaya) dan pantun (Toba). Oleh itu, kita tidak dapat menafikan satu hal yang cukup penting dalam teori asal usul pantun, iaitu persetujuan para sarjana bahawa pantun berasal dari daerah Nusantara seperti India, China atau Jawa.

            Pantun adalah hak milik masyarakat Melayu yang mencerminkan peribadi, nilai dan minda Melayu. Menurut Windstedt (1960) dalam Mohd Rosli Saludin (2014), kelahiran pantun dalam kesusasteraan Melayu mengikut Sejarah Melayu bermula pada abad ke-15 walaupun sebenarnya pantun telah wujud sejak berabad lamanya. Menurutnya lagi, pantun dihasilkan secara lisan dan dianggap lahir bersama masyarakat kerana penghasilannya tidak ditulis atau direkodkan. Malah, pantun dianggap sebagai ciptaan terulung masyarakat Melayu kerana penghasilannya bukan saduran daripada masyarakat luar.


            Pantun mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam masyarakat. Seperti fungsi puisi tradisional yang lain, rangkap-rangkap dalam pantun akan mencerminkan peranannya baik berbentuk hiburan, pengajaran, penghias majlis mahupun sebagai sebuah upacara ritual. Setiap pantun yang dihasilkan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang terdiri daripada pemikiran, nilai budaya, nilai ilmu, pandangan hidup serta keindahan estetika.  Dalam koleksi Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah, perbincangan yang dibuat akan melihat sejauh mana pantun sebagai karya agung Melayu berupaya menerapkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat Melayu. Keagungan yang mahu dilihat bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan maksud yang mahu disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata yang akan menjadi wadah dalam penilaian dan tanggapan tersebut. 

MAKLUMAT UMUM AHLI KUMPULAN

Maklumat Umum Ahli Kumpulan 





Nama            : Norselina binti Zainudin
No. Matrik   : D20121057984
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu





 Nama            : Nur Aida Farhana binti Abdul Salim
 No. Matrik   : D20121057976
 Semester       : 6
 Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
 Minor           : Kesusasteraan Melayu











Nama            : Siti Noor Ain binti Mohd Husin
No. Matrik   : D20121057987
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu










Nama            : Noor Hafizah binti Hamzah
No. Matrik   : D20121057994
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu








Nama            : Nor Faraizan binti Zakair
No. Matrik   : D20131063320
Semester      : 4
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Geografi


ANALISIS KEKUATAN GURINDAM DUA BELAS KARYA RAJA ALI HAJI


PENGENALAN
Perkataan Gurindam berasal daripada bahasa Tamil iaitu “Kirandam” yang membawa maksud ‘asal’ atau ‘perumpamaan’. Gurindam dalam Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik telah terkenal sejak zaman Hindu lagi. Pendeta Za’ba dalam Mohd Rosli Mohd Saludin (2007:139) menyatakan bahawa gurindam adalah suatu jenis syair melarat yang tidak teratur, berangkap-rangkap, dan tidak tetap sekatannya, timbangannya, dan sajaknya. Menurut beliau lagi, bahasa gurindam padat dan bernas, serta isinya lebih cenderung kepada suasana riang dan suka cita sebagai nyanyian jenaka, senda gurau, kelakar, sindiran, giat yang bermain-main dan menggelikan hati. Manakala Sutan Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa gurindam terdiri daripada dua baris. Kedua-dua baris itu bersajak dan mengutarakan satu idea iaitu baris pertama dan kedua, masing-masing tidak lengkap tapi bersambung (Mohd Rosli Mohd Saludin, 2007:140). Menurutnya lagi gurindam merupakan nasihat, pengajaran atau kebenaran.

      Gurindam Dua Belas yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1864, merupakan karya beliau yang paling menonjol berbanding karyanya yang lain. Nama penuh beliau ialah Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Beliau ialah seorang ulama, budayawan, dan sasterawan Melayu yang terkemuka pada abad ke-19 dengan karya-karya beliau yang beraliran Riau. Raja Ali Haji berketurunan bangsawan Bugis. Beliau mendiami Pulau Penyengat yang tidak jauh dari Tanjung Pinang. Raja Ali Haji telah dilahirkan sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat, dan mangkat semasa usia beliau 63 tahun. Beliau telah dimakamkan di Pulau Penyengat pada tahun 1872. Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida, terdapat makam Raja Ali Haji yang terletak di luar bangunan utama. Karyanya, Gurindam Dua Belas telah diabadikan di sepanjang dinding bangunan makan tersebut dan setiap pengunjung yang datang dapat membaca dan mencatat karya besarnya yang sangat indah tersebut.

          Gurindam tergolong dalam bentuk puisi lama yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu Indonesia. Gurindam yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas karya Raja Ali Haji. Gurindam Dua Belas bermaksud gurindam yang mempunyai 12 fasal. 12 fasal tersebut menceritakan tentang hal-hal ibadat, kewajipan seorang raja, kewajipan anak terhadap ibu bapa, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. sikap masyarakat, dan sebagainya. Gurindam ini dihasilkan untuk tujuan menyatakan sesuatu yang benar menerusi pepatah atau peribahasa.

FALSAFAH DAN PEMIKIRAN
Pada bahagian ini, penulis akan menerangkan tentang falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji yang terdapat dalam karya Gurindam Dua Belas.

Falsafah
Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan kebenaran. Umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri pemikiran yang tertinggi dan bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Falsafah menurut Mana Sikana (1996) dalam Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:17) ialah suatu kesenian berfikir, yang waras, bernas, dan mendalam. Menurutnya lagi, karya sastera yang dihasilkan yang membicarakan sesuatu subjek, biasanya akan membicarakan sesuatu itu secara artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafahnya. Tuntasnya, falsafah bermaksud memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam dan membincangkan sesuatu perkara secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang benar dan sebenar terhadap sesuatu perkara.

        Falsafah yang terkandung dalam karya Gurindam Dua Belas membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun kehidupan manusia di akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah hal mengenai akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan menjaga akhlak, serta konsep pemerintahan. Setiap fasal yang diperlihatkan oleh beliau berupaya menyentuh kesedaran dan jiwa masyarakat, serta dapat memainkan peranan penting bagi membentuk nilai keperibadian insan yang mulia berlandaskan syariat Islam. Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas secara tidak langsung mencerminkan diri beliau sebagai contoh insan yang memiliki kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.   

        Selain itu, berdasarkan gurindam tersebut, falsafah yang disampaikan oleh beliau ialah falsafah yang sebenar-benarnya falsafah. Hal ini demikian kerana isi kandungan atau makna yang terkandung dalam gurindam tersebut merupakan ilmu yang benar dan datang daripada sumber yang benar dan sahih, iaitu ilmu yang bersandarkan kepada agama, seperti Rukun Iman, hadis-hadis Nabi, dan ada bait-bait yang diambil daripada ayat-ayat Al-Quran. Di samping itu, tiada sumber yang lebih benar daripada sumber yang dinyatakan tadi kerana semua sumber tersebut datangnya daripada pencipta segala isi alam iaitu Allah s.w.t dan Nabi Muhammad s.a.w sebagai perutusan-Nya. Ketinggian pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas jelas menunjukkan bahawa beliau sangat bijak menyampaikan sesuatu ilmu kebenaran dengan cara yang sangat indah dan sempurna.

        Raja Ali Haji dalam gurindamnya juga menyentuh ilmu falsafah yang berkaitan dengan etika, metafizika, sosial, politik, dan logik. Berikut adalah huraian tentang sebab Gurindam Dua Belas dikatakan menyentuh kelima-lima bidang falsafah tersebut:

Etika
Falsafah dalam bidang etika ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Semua fasal yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas menekankan tentang hal-hal moral, pendidikan, dan pengajaran. Contoh yang terdapat padanya adalah seperti berikut:
Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.

Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
(Gurindam Dua Belas, Fasal 10)

Metafizika

Falsafah dalam bidang metafizika ialah pemikiran tentang kewujudan dan keberadaan. Gurindam 12 ada menyatakan tentang kewujudan Allah, akhirat, syaitan, balasan, dosa, dan sebagainya, yang pada pandangan mata manusia tidak dapat dilihat, tetapi sememangnya wujud dan pengarangnya yakin perkara-perkara tersebut ada dan benar. Sebagai contoh, hal tersebut ada dalam gurindamnya:

Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudharat.

Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah

(Gurindam Dua Belas, Fasal 1)

Sosial
Falsafah dalam bidang sosial bermaksud gambaran tentang kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Pengarang banyak memperihalkan aspek ini dalam gurindamnya seperti yang terdapat pada Fasal 4 hingga Fasal 12 yang memperihalkan tentang menjaga adab semasa bersosial.mSebagai contohnya:

Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.

Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketor.

(Gurindam Dua Belas, Fasal 4)


Politik
Falsafah dalam bidang politik ialah aplikasi dan tujuan dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Raja Ali Haji dalam gurindamnya ada menyentuh hal politik iaitu berkenaan dengan tanggungjawab Raja pada Fasal 12. Berikut adalah contohnya:

Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagar duri.

Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

(Gurindam Dua Belas, Fasal 12)

Logik
Falsafah dalam bidang logik pula bermaksud pemikiran yang rasional berdasarkan taakulan dan sebab musabab. Gurindam Dua Belas memperlihatkan bahawa perkara yang terkandung di dalamnya, semuanya bersifat rasional, berdasarkan taakulan dan ada menyatakan sebab musababnya. Berikut adalah contohnya:

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencacat orang,
Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
(Gurindam Dua Belas, Fasal 7)

Pemikiran
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:69) konsep pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Menurutnya lagi, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri dalam memilih bahan, mengejapkannya, dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata kaya. Pada bahagian ini penulis akan membincangkan tentang pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas. Antara pemikiran yang terdapat dalam gurindam ini ialah pesanan terhadap pendengar dan pembaca ke arah kebaikan, mengingatkan pendengar atau pembaca tentang Rukun Islam dan akibat tidak menunaikannya, kepentingan menjaga anggota badan daripada berbuat maksiat, akibat tidak menjaga tingkah laku, panduan tentang cara untuk mengenali orang, perihal tentang wujud dan perlakuan syaitan, perihal tentang adab antara anak dan ibu bapa, dan sebaliknya, serta tentang peranan raja.

       Raja Ali Haji mengajar dan mengajak manusia agar berbuat baik dan meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. Golongan pendengar atau pembaca yang ditujukan pula adalah secara menyeluruh iaitu daripada golongan atasan iaitu raja hinggalah kepada golongan rakyat bawahan iaitu hamba. Berikut adalah contoh yang menunjukkan perihal yang dibincangkan:

Kepada segala hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan tempatnya manja.
(Gurindam Dua Belas, Fasal 9)

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

(Gurindam Dua Belas, Fasal 12)

        Raja Ali Haji mempunyai beberapa kelebihannya yang tersendiri terutamanya dari aspek pengkaryaan, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan. Elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya ialah konsep dan landasan Islam yang sangat kukuh. Pemikiran sebegini juga banyak ditemui dalam karya agungnya iaitu Tuhfat al-Nafis. Abu Hassan Sham yang merupakan Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, menyatakan bahawa landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarganya dan sistem pendidikan yang diterimanya. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan Islam tradisional yang diterima daripada beberapa guru dan ulama di Riau serta pendidikan tidak formal daripada keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji. Raja Ali Haji telah menyebarkan ajaran tasawuf dan fikah dengan cara yang lebih menarik iaitu melalui bentuk puisi yang ditulis. Tambahan pula, penyebaran yang berbentuk puisi kurang menjemukan dan lebih lama terlekat di fikiran pendengar berbanding ceramah-ceramah agama.

KEPENGARANGAN DAN ESTETIKA
Pada bahagian ini pula, penulis akan menerangkan tentang kepengarangan Raja Ali Haji dan estetika yang terdapat dalam karya Gurindam Dua Belas.

Kepengarangan
Kepengarangan merujuk kepada keterampilan, kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Penelitian terhadap aspek kepengarangan juga dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan, atau kelemahan seseorang penulis. Berdasarkan penulisan Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas, penulis mendapati bahawa karyanya mempunyai mesej yang sangat kuat, mudah ditafsir maksudnya oleh pendengar, dan mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Seperti yang kita telah sedia maklum, beliau merupakan seorang ulama yang mempunyai ilmu agama yang cukup banyak dan sangat tinggi. Oleh hal itu, tidak hairanlah jika gurindam yang dihasilkan tersebut mengandungi mesej dan ilmu yang sarat tentang agama dan ilmu tersebut tidak boleh disangkal oleh mana-mana pihak. Hal ini demikian kerana setiap perkara yang disampaikan olehnya tersebut berdasarkan kefahaman dan pembacaan beliau terhadap Al-Quran, hadis-hadis Nabi, dan Rukun Islam yang disampaikan oleh perutusan-Nya iaitu Muhammad s.a.w, yang kemudiannya digarap dan disampaikan melalui bentuk puisi, gurindam.

        Karya yang dihasilkan ini dapat berfungsi sebagai pengajaran iaitu untuk menunjuk manusia jalan ke arah hidup yang sempurna. Selain itu, karya ini juga kaya dengan unsur didaktik yang membimbing pendengar dan pembaca ke arah kebaikan seperti beramal ibadat, menguasai ilmu agama, berbudi bahasa, menerapkan nilai-nilai moral yang mulia dan rasa kemanusiaan yang tinggi seperti nilai kasih sayang, taat kepada ibu bapa, bekerjasama, berbuat baik pada setiap masa, bertimbang rasa, dan banyak lagi. Hal-hal atau aspek-aspek yang seperti inilah yang menjadikan karya beliau ini sebagai karya yang terulung dan agung.

Estetika
Estetika juga dikenali sebagai suatu konsep keindahan. Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:97) menyatakan bahawa estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan juga dapat dilihat berdasarkan bahasa yang digunakan oleh pengarang berdasarkan caranya mencerna, mengadun, dan mengolah karyanya agar tampak lebih indah.

        Penulis berpendapat bahawa Gurindam Dua Belas bukan hanya sekadar indah pada bahasanya, malah indah dari segi tafsirannya. Pengarang berjaya menimbulkan rasa keinsafan pada diri pembaca dan pendengar, menimbulkan rasa ketakutan dan ketaatan kepada Allah, serta meninggalkan pesanan yang berguna dan boleh dijadikan sebagai panduan untuk pendengar dan pembaca berubah menjadi manusia yang lebih sempurna. Karya ini juga tiada unsur mitos dan hal atau kepercayaan yang karut-marut, kerana segala isi mesejnya benar-benar belaka. Sebagai contohnya:
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
 (Gurindam Dua Belas, Fasal 7)

Berdasarkan contoh yang di atas, pengarang berpesan jika kita tidak melatih anak, apabila anak tersebut besar, bapanya akan letih. Hal ini bermaksud apabila ibu bapa tidak mengajar anak-anak dengan menerapkan ilmu agama dan adab yang baik ketika mereka masih kecil, maka apabila anak tersebut telah dewasa, anak-anak akan menjadi biadab dan tidak mahu mengikut perintah dan suruhan agama. Apabila hal ini yang berlaku, ibu bapalah yang letih kerana perlu menegur dan memarahi anak-anaknya setiap kali mereka melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah. 

          Dari aspek bentuk gurindamnya pula, Gurindam Dua Belas tergolong sebagai puisi ikatan bebas. Hal ini kerana gurindam ini terbentuk daripada dua baris dan kedua-dua barisnya membentuk sebuah kalimat. Tiap-tiap baris pula mengandungi sepuluh hingga empat belas suku kata. Selain itu, Gurindam Dua Belas boleh dibahagikan kepada dua unit. Unit atau setiap baris pertama dalam setiap rangkap dianggap sebagai syarat dan baris kedua dianggap sebagai syarat. Baris pertama bagi gurindam tersebut menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa, manakala baris yang kedua pula menyatakan tentang keterangan atau menjelaskan perkara yang telah dinyatakan pada baris yang pertama.

          Di samping itu, gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam gurindam ini amat menarik kerana beliau menerapkan gabungan rima yang berpadanan dan menjadikan karya ini begitu indah sifatnya. Namun begitu, hal yang menakjubkan ialah pengarang bijak dalam memilih perkataan serta berjaya menggunakan perkataan-perkataan yang mempunyai rima suku kata akhir yang sama pada setiap baris dan perenggan. Unsur dan rima tersebut telah menimbulkan irama dan rentak yang menarik pada gurindam tersebut. Sebagai contohnya, pengarang menggunakan skema rima suku kata akhir aa dan bb seperti berikut:
Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya.

Kepada dirinya ia aniaya,
Orang itu jangan engkau percaya.

Lidah suka membenarkan dirinya,
Daripada yang lain dapat kesalahannya.

Daripada memuji diri hendaklah sabar,
Biar daripada orang datangnya khabar.

Orang yang suka menampakkan jasa,
Setengah daripada syirik mengaku kuasa.

Kejahatan diri sembunyikan,
Kebajikan diri diamkan.

Keaiban orang  jangan dibuka,
Keaiban diri hendaklah sangka.

  (Gurindam Dua Belas, Fasal 8)

          Selain itu, terdapat juga beberapa pengulangan perkataan dan frasa pada awal baris seperti perkataan “Barang siapa” pada Fasal 1 dan 2, perkataan “Apabila” pada Fasal 3 dan 7, perkataan “Jika hendak mengenal” pada Fasal 5, “Cahari olehmu akan” pada Fasal 6, “Dengan” pada Fasal 10,  dan “Hendak” pada Fasal 11.
          Tuntasnya, Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas telah melukiskan sesuatu mesej yang mudah difahami maksudnya kerana beliau menyampaikan pesanan dan amanat yang berkaitan dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya agar dapat dijadikan panduan dan pedoman, yang seterusnya menjadikan perjalanan hidup orang yang mendengar atau membaca gurindamnya lebih sempurna. 

KESIMPULAN

Gurindam merupakan sebuah puisi Melayu lama yang tidak tentu bentuknya, sama ada terikat atau tidak. Lazimnya beberapa rangkap gurindam diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea. Namun begitu, Gurindam Dua Belas yang merupakan karya Raja Ali Haji merupakan satu karya yang sangat indah. Hal ini demikian kerana karya tersebut mempamerkan ilmu falsafah yang tinggi, memperlihatkan pemikiran pengarangnya sebagai seorang ilmuwan dan ulama, dan menonjolkan nilai kepengarangan dan aspek estetikanya. Gurindam Dua Belas juga bukan hanya sekadar gurindam yang dinyanyikan sebagai alat hiburan masyarakat zaman dahulu, tetapi sebagai peringatan dan pesanan untuk semua manusia yang mendengarnya agar mengambil iktibar dan pedoman terhadap isi dan mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang.  

Sunday, 24 May 2015

TEKNIK KEPENGARANGAN DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA


Bagi menghasilkan sesebuah karya yang bermutu, seorang pengarang perlu menguasai beberapa tahap penulisan. Antara tahap penulisan yang perlu dikuasai ialah pengalaman artistik dan berharga yang mampu mempengaruhi kreativiti seseorang pengarang dalam menghasilkan sesebuah karya. Pengalaman yang berharga ini kebiasaannya diperoleh melalui pemerhatian, bayangan, pengaruh, pembacaan, kajian dan penyelidikan, ingatan dan juga unsur-unsur lain yang hadir sama ada bersifat konseptual dan juga kontekstual.
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2014), kepengarangan merupakan aspek keperibadian yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing, pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri. Proses pembinaan keperibadian seseorang pengarang meliputi sifat yang terdapat dalam diri pengarang tersebut seperti sifat dedikasi, keberanian, bijaksana, inovatif dan pelanggaran yang dilakukan.
1.    Unsur mitos
Hikayat Inderaputera banyak mengandungi unsur-unsur khayalan dan mitos seperti unsur ghaib, kekuasaan yang dimiliki oleh perwira dan banyak lagi. Unsur mitos merupakan unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Unsur mitos digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan kelebihan dan kekuasaan yang ada dalam diri seorang perwira. Contoh unsur mitos yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat dalam ayat di bawah:
‘Maka Tamar Jalis pun ghaib ke udara seribu kesakitan dirasanya daripada sangat darab perang, Inderaputera itu ia datang menolong Nobat Rom Syah.’
                                                                        (Hikayat Inderaputera, 1977: 22)
Unsur mitos yang diketengahkan oleh pengarang dalam ayat di atas ialah unsur ghaib. Unsur ghaib dijadikan unsur kekuasaan yang dimiliki oleh individu yang membolehkannya hilang dari pandangan mata. Individu yang memiliki kuasa ghaib ini dianggap luar biasa. Selain itu, dalam hikayat Inderaputera terdapat juga unsur mitos yang lain. Sebagai contoh:
‘Setelah itu maka Raja Dewa Mengerna pun memanah Inderaputera berasap keluar api memancar-mancar ke udara dan Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuhnya demikian juga keluar api memancar-mancar.’
                                                                        (Hikayat Inderaputera, 1977: 54)
Dalam contoh di atas, pengarang mengetengahkan unsur kuasa yang tidak mungkin dimiliki oleh manusia. Dalam dunia sebenar, apabila tubuh badan manusia cedera maka akan mengeluarkan darah. Namun dalam hikayat ini apabila manusia dicederakan, tubuh badannya akan berasap dan mengeluarkan api. Dalam hikayat ini dapat dilihat bahawa pengarang banyak menyelitkan unsur-unsur mitos yang tidak logik dan tidak dapat diterima oleh akal manusia. Unsur-unsur mitos yang ada dalam Hikayat Inderaputera menjadikan jalan cerita hikayat ini lebih menarik dan kelihatan hidup.
2.    Unsur ketuhanan
Pengarang memperkenalkan watak utama iaitu Inderaputera sebagai seorang pengembara yang mencari kebenaran Ilahi. Dalam pengembaraannya beliau tidak pernah lupa akan kekuasaan Tuhan. Dalam setiap perkara yang dilakukan, Inderaputera sentiasa menyebut dan mengingati bahawa setiap kejadian berlaku dengan keizinan Tuhan. Sebagai contoh:
‘Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Tuhan Yang Mahabesar yang telah menghidupkan tuan-tuan sekalian itu tetapi hamba ini menjadi sebabnya juga.”
                                                            (Hikayat Inderaputera, 1977: 90)
Dalam ayat di atas, Inderaputera mempunyai kuasa untuk menghidupkan orang yang telah mati. Kuasa yang dimiliki tidak menjadikan Inderaputera sebagai seorang yang bongkak dan bangga diri, malah Inderaputera bersikap rendah diri apabila mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah dengan izin Tuhan Yang Mahabesar dan dia hanyalah sebagai perantaraan. Selain itu, terdapat juga contoh lain seperti berikut:
‘Setelah demikian berkatalah Inderaputera, “Hai adinda marilah tuan ke bawah mahligai ini kalau ada dengan mudah-mudahan ditolongi oleh Tuhan Yang Mahatinggi hidup segala anak raja-raja itu.”
                                                (Hikayat Inderaputera, 1977: 89)
Contoh-contoh yang dilihat ini dapat dibuktikan bahawa pengarang Hikayat Inderaputera amat menekankan unsur ketuhanan dalam ceritanya. Unsur ketuhanan yang digunakan dapat memberikan nasihat dan pengajaran kepada para pembaca. Pengarang bukan hanya membawa pembaca menyelami kisah hidup Inderaputera malahan pengarang mengajak para pembaca untuk mengingati Tuhan yang lebih berkuasa dari segalanya.

3.    Unsur keperwiraan
Dalam hikayat ini, pengarang banyak memperlihatkan unsur keperwiraan Inderaputera. Keistimewaan dalam diri Inderaputera terserlah semenjak beliau masih kecil lagi sehingga dewasa. Kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera membolehkannya membunuh seekor raksasa sedangkan tubuh raksasa adalah lebih besar berbanding tubuh manusia. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan ayat di bawah:
 ‘Maka Inderaputera pun bertempik seraya diparangnya Gherakas itu penggal dua lalu rebah mati.’
 (Hikayat Inderaputera, 1977: 93)
Selain memperlihatkan unsur keperwiraan, pengarang turut menyelitkan unsur-unsur lain. Pengarang mendedahkan tentang masyarakat yang amat menyanjung seorang wira yang berjaya melepasi pelbagai rintangan dan sentiasa memberikan bantuan terhadap golongan yang memerlukan pertolongan. Kisah masyarakat yang menyanjung kehebatan seorang wira dapat dilihat melalui ayat di bawah:
‘Maka segala mereka itu pun hairan melihat kelakuan Inderaputera membunuh Gherakas itu yang amat hairan. Maka Raja Talela Syah pun segeralah datang memeluk mencium akan Inderaputera.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 140)
Dalam ayat di atas dapat dibuktikan bahawa Inderaputera disanjung tinggi oleh Raja Talela Syah. Raja Talela Syah telah menghantar perutusan kepada Inderaputera untuk meminta pertolongannya membunuh raksasa yang telah banyak membunuh manusia. Unsur keperwiraan yang dimiliki oleh Inderaputera disenangi oleh semua orang. Malah, ada pihak yang menghantarkan perutusan untuk meminta pertolongannya.

4.    Unsur istana
Hikayat Inderaputera merupakan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan golongan raja. Hikayat Inderaputera banyak memperlihatkan penggunaan bahasa istana. Bahasa istana merupakan bahasa yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa ini dapat mengindahkan lagi jalan cerita kehidupan golongan raja. Watak utama Hikayat Inderaputera terdiri daripada Inderaputera sebagai anak raja dan juga watak-watak lain yang terdiri daripada golongan istana. Bahasa istana digunakan dalam pertuturan seharian mereka kerana bahasa ini merupakan bahasa rasmi golongan istana. Bahasa istana yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera dapat dilihat berdasarkan contoh di bawah:
‘Maka baginda pun menyuruhkan empat orang menteri mengalu-alukan anak raja kedua itu. Maka menteri itu pun bertemulah dengan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nobat Rom Syah serta ia memberi hormat kepada kedua orang anak raja itu seraya berkata, “Segeralah tuan hamba dipersilakan oleh baginda.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 122)
Dalam ayat di atas, bahasa istana yang digunakan ialah baginda dan tuan hamba. Selain itu, pengarang turut menonjolkan unsur kemewahan dan kekayaan golongan raja-raja dan juga golongan istana. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan ini ditunjukkan dalam ayat di bawah:
‘… Inderaputera pun berjalanlah pula pada selapis pagar jala-jala itu daripada tembaga suasa dan pintunya itu daripada emas sepuluh mutu dan berbagai-bagai pula perbuatannya yang indah-indah rupanya.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 40)
Dalam ayat di atas, unsur istana ditonjolkan melalui kemewahan yang dimiliki oleh golongan raja. Ayat di atas menunjukkan kemewahan melampau yang dimiliki golongan raja sehinggakan pintu pagar istana turut dibina dengan menggunakan tembaga dan emas yang tinggi nilainya. Selain itu, dalam kehidupan sebenar, penggunaan emas yang ditunjukkan secara terang-terangan boleh menyebabkan berlakunya kejadian jenayah.

5.    Teknik imbas kembali
Teknik imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang berlaku. Peristiwa itu boleh dimbas kembali melalui pemerian pengarang atau khayalan, dialog, monolog atau monolog dalaman. Dalam Hikayat Inderaputera, penceritaan menggunakan teknik imbas kembali banyak digunakan melalui dialog. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan ayat di bawah:
‘Maka berkata pula Inderaputera, “Hai dayang-dayang apa persetuanya itu diperhambat oleh raja mambang kedua itu?”
Hatta maka inang pengasuh Tuan Puteri Cahaya Seganda Iram itu pun bercereterakanlah kepada Inderaputera demikian bunyinya, “ Hai orang muda…”
                                                                       (Hikayat Inderaputera, 1977: 72)
Ayat di atas menunjukkan teknik imbas kembali yang digunakan oleh pengarang bagi mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan dua orang putera merebut seorang Tuan Puteri. Melalui teknik ini, Inderaputera dapat mengetahui punca yang menyebabkan berlakunya perebutan antara kedua putera tersebut, sekaligus Inderaputera dapat menyelesaikan masalah yang timbul antara mereka berdua.

6.    Pantun
Hikayat ini juga diselitkan dengan pantun. Pantun digunakan untuk mengindahkan lagi jalan cerita Hikayat Inderaputera. Menurut Za’ba  (2002) dalam Abu Hassan Abdul (2013) pantun ialah kaedah karangan berangkap yang jati terpakai pada orang-orang Melayu bagi menggambarkan fikiran hiba sayu dan warna-warna perasaan yang indah-indah seperti hal ehwal berkasih sayang dan pujuk rayu yang lemah lembut antara kekasih dan kekasihnya.
Dalam hikayat ini pantun digunakan untuk berkomunikasi. Penggunaan pantun yang berfungsi untuk meyampaikan hasrat hati Inderaputera dan Tuan Puteri Talela Madu Ratna untuk berkenal-kenalan. Antara pantunnya ialah:
Inderaputera;
Empelam bertumbuh dari ghaib,
Dipungut Dang Ratna Wali,
Salam doa dagang yang gharib,
Mintalah tuan kenal-kenali.
           
Tuan Puteri Talela Madu Ratna;
Tumbuh padi Dang Ratna Wali,
Tanam halia tiadakan tumbuh,
Betapa kita kenal-kenali,
Kalau setia tiadakan sungguh.

(Hikayat Inderaputera, 1977:102)

Dalam kehidupan masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni. Melalui pantun ini, Inderaputera telah menyatakan hasrat hatinya untuk mengenali Tuan Puteri Talela Madu Ratna. Komunikasi antara Inderaputera dan Tuan Puteri menunjukkan bahawa pengarang telah mengetengahkan ciri adab sopan ketika berbicara iaitu komunikasi menggunakan pantun dibalas pantun. 


NILAI BUDAYA DAN PANDANGAN HIDUP DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA

Pandangan hidup dan nilai budaya bermaksud satu konsep mengenai alam semesta secara keseluruhan. Terutamanya satu sudut pandangan yang di pengaruhi oleh satu nilai yang tertentu. Menurut Syed Naquib Al-attas (1972) dalam Karya Agung Melayu (2014), pandangan hidup mestilah bersumberkan islam yang merangkumi hal dunia dan akhirat. Pandangan hidup merupakan satu konsep yang dimiliki oleh masyarakat dengan tujuan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan Tuhan, manusia dan alam. Terdapat beberapa nilai yang menjadi pegangan pengarang untuk diketengahkan dalam hikayat ini. Antaranya ialah:

Berteraskan Agama Islam
Pandangan hidup dari perspektif Islam ialah pandangan tentang reality atau hakikat yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seuruh alam. Pandangan hidup berteraskan Islam dapat dilihat dalam hikayat apabila pengarang banyak menggunakan perkataan Tuhan yang maha berkuasa, jin, Allah, kafir dan banyak lagi. Contohnya:

“Ya tuanku Perdana Menteri bahawa sekalian hamba Allah lupa dan tersalah juga bahagiannya dan patik serahkan diri patik kepada Tuhan yang Maha berkuasa”
“Hai nenekku serahkan hamba kepada Tuhan Yang Maha Besar”
“Syahadan dan beberapa memuji-muji nama Allah”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 15)

“Setelah itu, maka semua binatang itu pun minta doa pada Tuhan yang Maha Besar”
“Adapun yang kasih tuan hamba itu sebenarnyalah Tuhan juga memelihara kita”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 16)

“Maka inderaputera pun makanlah segala buah-buahan itu hairanlah sekali inderaputera melihat kekayaan Tuhan”. Maka inderaputera pun berhenti melihat kekayaan Allah. Ia pun mengucap syukurlah kepada Allah.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 18)

Berdasarkan contoh di atas, pembaca dapat melihat bahawa pengarang cuba menerapkan nilai berteraskan Islam dalam penulisannya dengan sentiasa menjelmakan perspektif Islam dalam setiap aspek realiti yang terjelma dari mata hati manusia mengenai kewujudan seluruh alam.

Idealisme
Menurut kamus Dewan (2010) idealisme sebagai satu sifat dalam bentuk yang ideal. Orang Melayu dahulu cenderung untuk menghasilkan sesuatu idea berpandukan sumber alam seperti pokok, tumbuhan, haiwan dan sebagainya. Dalam hikayat ini pengarang banyak menggunakan idealisme untuk menyampaikan hajat atau pesanan menerusi pantun yang menzahirkan kekreatifan mereka melalui kelangsungan kehidupan yang bijak disatukan dengan alam. Contoh pantun yang terdapat dalam hikayat ialah:
Jika sungguh bulan purnama ,
Mengapa tiada pagar bintang,
Jika sungguh seperti nama,                       
Mengapa tiada dapat dipandang.

Tumbuh padi dang Ratna wali,
sehari ditanam tidaklah tumbuh,
Mintaklah kami kenal kenali,
Kalau tidak setialah sungguh.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 103)
Contoh di atas menunjukkan antara pantun yang digunakan oleh pengarang bagi menunjukkan idealisme pengarang yang menunjukkan bagaimana masyarakat ketika itu menjadikan alam sebagai panduan terhadap perjalanan hidup mereka. Malah, pada ketika itu, pantun terkenal dalam masyarakat sebagai wadah untuk menyampaikan sesuatu seperti pujian, teguran atau sindiran tanpa menyakitkan perasaan orang lain.

Nilai-Nilai Budaya Hidup Orang Melayu
Budaya adalah daripada perkataan budayyah yang merupakan kata jamak perkataan buddhi yang bermaksud budi pekerti yang membincangkan tentang hal yang berkaitan budi dan akal manusia. Menurut kamus dewan edisi keempat (2010:1081) Perkataan “Nilai” merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011:13) Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Contoh nilai budaya masyarakat Melayu yang diketengahkan oleh pengarang sebagai pegangan hidup amsyarakat dalam Hikayat Inderaputera ialah:

i.  Kemesraan. 
Nilai ini dapat dilihat dalam watak Nenek Kebayan yang melayan Inderaputera seperti anak sendiri meskipun tidak pernah mengenalinya sebelum ini.
 “Maka ujar inderaputera “Akulah anak raja bikrama Buspa dan namaku inderaputera.  Adapun sebabnya kemari ini diterbangkan oleh merak emas. Dan segala hal ehwal sekaliannya diceritakan. Maka ujar nenek kebayan, Mahukah cucuku duduk bersama hamba? Baiklah nenekku: ke mana lagi hamba hendak membawa diri hamba lagi “
(Hikayat Inderaputera, 1977: 5-6)


ii. Kasih sayang. 
Nilai budaya kasih sayang dapat dilihat menerusi watak Nenek Kebayan yang terlalu kasih kepada Inderaputera sehingga tidak membenarkan Inderaputera tinggal bersama Perdana Menteri.
“Setelah sudah maka kata perdana menteri, “hai nenek kebayan, biarlah inderaputera itududuk di sini. Maka ujar nenek kebayan, Ya Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada dapat patik bercerai dengan cucunya hamba.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 7-8)
iii. Menghormati orang tua. 
Pengarang menerapkan nilai ini sebagai pegangan hidup masyarakat dalam Hikayat Inderaputera menerusi perwatakan Nobat Rom Shah yang meminta keizinan daripada ayah dan bondanya sebelum keluar mengembara.
“Maka Nobat Rom Shah pun pergi bermohon kepada ayah bondanya pula. Maka ujarnya. “Hai anakku suatu pekerjaanmu janganlah lupakan akan Tuhan yang Maha Besar.” Maka Nobat Rom Shah pun mnyembah kaki ayah bondanya lalu ia berjalan dengan segala hulubalang menterinya dan rakyat bala tenteranya sekalian dan beberapa lamanya sampailah ia ke padang Belantara Hairani.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 52)