Wednesday, 27 May 2015

PANDANGAN HIDUP DALAM PANTUN MELAYU

Menurut Mohd Rashid Md Idris (2014) pandangan hidup adalah suatu konsep yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu bertujuan untuk menanggapi dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan tuhan, manusia dan alam. Pandangan hidup orang Melayu kebiasaannya melibatkan hubungan manusia dengan tuhan, hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia sesama manusia. Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat kemelayuan. Orang Melayu mencipta pantun untuk melahirkan pelbagai bentuk perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Pantun Bingkisan Permata yang dikaji berfungsi sebagai alat komunikasi, alat hiburan dan alat untuk mendidik.

Pantun Sebagai Alat Komunikasi
Pantun sebagai alat komunikasi dapat digunakan untuk berkasih-kasihan iaitu untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu tanpa mengira batasan umur, sama ada rasa kasih teruna kepada dara, suami kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah, berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta dan rindu yang mendalam. Sebagai contoh:

Banyak bunga berangkai-rangkai
Tumbuh subur di pasu kuning
Banyak-banyak bunga setangkai
Harum sungguh bunga yang kuning.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 290)

Berdasarkan pantun di atas, penggunaan kata yang berbentuk pujian menggambarkan perasaan kasih seorang teruna kepada si dara. Penggunaan istilah ‘bunga’ merujuk kepada si dara, manakala penggunaan kata ‘berangkai-rangkai’ bermaksud ramai anak dara dan penggunaan kata ‘harum sungguh bunga yang kuning’ membawa maksud hanyalah seorang yang menjadi pilihan hati si teruna di antara anak dara yang ramai.

            Pantun sebagai alat komunikasi juga dapat digunakan untuk meluahkan perasaan sedih. Perasaan sedih merupakan salah satu emosi yang dikaitkan dengan situasi kehilangan, situasi yang mengecewakan, putus asa, marah atau perasaan yang muncul akibat penderitaan kerana luka, derita dan sakit. Oleh itu, bagi masyarakat Melayu dahulu apabila mereka berada dalam kesedihan, pantun digunakan untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Sebagai contoh:

Hari ini merendang jagung
Hari esok merendang serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai.
                                                            (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 290)

Pantun di atas mengungkapkan perasaan sedih seseorang yang mungkin disebabkan oleh situasi kehilangan yang bakal di alami. Pantun di atas membawa maksud hubungan yang terjalin dalam masyarakat sebagai contoh hubungan sebagai jiran tetangga yang kemudiannya terpisah apabila jiran tersebut berpindah ke tempat lain.

Seterusnya, pantun yang digunakan sebagai alat komunikasi untuk menyindir. Pantun yang berbentuk sindiran telah ditimbulkan dari satu cara hidup masyarakat yang tidak suka berterus terang dalam membuat teguran, maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan bagi menggambarkan sikap rendah diri dan sifat kesopanan. Ini menunjukkan masyarakat Melayu begitu berhati-hati dalam penggunaan kata-kata untuk menyatakan sesuatu agar tidak menyinggung perasaan orang lain. Sindir-menyindir juga memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba disampaikan itu berkesan dan indah.  Kebiasaannya, terdapat maksud yang tersirat di sebalik rangkai kata yang dituturkan. Sebagai contoh:

Bawa perahu ke Tanjung Pandan
Jurumudi duduk berkemas
Tak tahu akan untung badan
Awak tembaga dikatakan emas.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 56)

Pantun di atas adalah sindiran tentang sikap sesetengah orang yang tidak tahu bersyukur terhadap kurniaan yang diperoleh seperti yang diungkapkan dalam ayat ‘tak tahu akan untung badan’. Sikap tidak puas hati terhadap apa yang ada atau dianggap tidak mencukupi menyebabkan individu tersebut tiada kesedaran diri.

Pantun Sebagai Alat Hiburan
Memandangkan masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk menghiburkan hati selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu alat untuk mereka mengubat lara di hati.  Sesuai dengan peranan pantun yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun memainkan peranan yang penting untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan sehari-harian. Contoh pantun di bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih terperinci bagaimana pantun amat berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira yang dialami oleh seseorang, meninggalkan perasaan seronok dan riang terutama dalam kalangan kanak-kanak serta menimbulkan unsur-unsur  jenaka dalam kehidupan.

Limau purut di tepi rawa,
Buah dilanting belum masak
Sakit perut sebab tertawa
Melihat kucing duduk berbedak.
                                                            (Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 68)

Pantun di atas berunsur jenaka, melucukan dan menghiburkan hati pendengar. Pengkarya pantun ini telah menggunakan sifat manusia terhadap binatang iaitu kucing. Ayat ‘melihat kucing duduk berbedak’ dianggap jenaka kerana seperti yang diketahui ‘berbedak’ merupakan perbuatan manusia dengan menggunakan anggota badan iaitu tangan. Apabila kata ‘kucing duduk berbedak’ digunakan, masyarakat dapat menggambarkan kecomotan kucing tersebut kerana kucing hanya menggunakan tangan dan kakinya untuk mencakar. 

Pantun Sebagai Alat Untuk Mendidik
Pantun sebagai alat untuk mendidik mengandungi unsur-unsur nasihat, mesej dan pengajaran, unsur kemanusiaan dan kemasyarakatan dan sebagainya. Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua, kaya dengan pelbagai nasihat. Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara. Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak, mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan didikan. Sebagai contoh:

Alam pura Raja Mahkota
Pergi berperang ke negeri basanah
Ingat-ingat mengeluarkan kata
Zaman sekarang banyak fitnah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 132)


Pantun di atas merupakan pantun yang berbentuk nasihat yang ditujukan kepada semua golongan masyarakat sama ada kanak-kanak, golongan muda, dewasa dan sebagainya. Nasihat yang cuba disampaikan dalam pantun di atas ialah apabila bercakap atau bertutur, individu perlu menjaga percakapan mereka agar tidak mengeluarkan kata-kata yang berunsur fitnah. Nasihat yang disampaikan ini menggambarkan masyarakat Melayu yang prihatin dan peka terhadap persekitaran. 

PEMIKIRAN DALAM PANTUN MELAYU

Menurut Mohd Rashid Md Idris et. al (2014: 69) pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan, mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata karya. Melalui kajian yang dibuat terhadap sejumlah pantun yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata, didapati bahawa terdapat unsur pemikiran dalam setiap pantun yang diungkapkan oleh masyarakat Melayu. Perkataan-perkataan yang terdapat dalam pantun melambangkan cara pemikiran penutur yang luas. Antara pemikiran yang terdapat dalam Pantun Melayu: Bingkisan Permata ialah:

Pemikiran Tentang Kewujudan
Pemikiran tentang kewujudan dalam pantun Melayu melambangkan,

i.   Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya

Pemikiran tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya dapat dilihat dengan jelas dalam pantun yang menunjukkan isu-isu kehidupan yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pemikiran tentang kewujudan ini meliputi aspek akidah dan prinsip yang berlawanan dengan akidah Islam yang harus dihindari oleh masyarakat Melayu. Antara pantun yang mengungkapkan pemikiran tentang kewujudan ini dapat dihubungkan dengan tema keagamaan, contohnya:
Menanam kelapa di Pulau Bekam
Tinggi sedepa sudah berbuah
Adat bermula dengan hukum
Hukum bersandar di Kitab Allah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)

Pantun ini memberi maksud segala adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berasaskan kepada kitab Allah. Kitab Allah yang dimaksudkan ialah Al-Quran dan segala hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu adalah berlandaskan kepada hukum-hukum Allah.
Anak gajah mandi di sumur
Ambil galah dalam perahu
Orang muda jangan takbur
Cubaan Allah siapa yang tahu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 90)

Pantun di atas pula dijadikan peringatan kepada anak-anak muda Melayu supaya tidak mudah lupa dan bangga dengan diri. Hal ini demikian kerana tiada sesiapa pun yang akan tahu apakah ujian yang akan diberikan Allah kepada mereka yang lupa diri dan sombong. Masyarakat Melayu menjadikan pantun ini sebagai nasihat kepada anak-anak mereka supaya tidak bersikap sombong.

Angin bertiup kembangkan layar
Haluan menuju ke Pekan
Hendaklah hidup berikhtiar
Kemudian serahkan kepada tuhan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun ini pula membawa maksud masyarakat Melayu mendidik diri mereka supaya rajin berusaha dalam melakukan sesuatu kerja. Selepas berusaha, barulah mereka berserah dan bertawakal kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya setiap kerja yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan membuahkan hasil. Selain itu, mereka percaya kepada qada dan qadar seiring dengan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.

Asam kandis asam gelugur
Ketiga asam si riang-riang
Menangis mayat di pintu kubur
Teringat badan tidak sembahyang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)

Pantun di atas menerangkan tentang kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia. Pantun ini dijadikan pengajaran kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam supaya tidak meninggalkan solat. Hal ini demikian kerana solat merupakan rukun Islam yang kedua dan wajib dilakukan oleh mereka yang beragama Islam.

ii.                   Kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam

Konsep kewujudan sesuatu benda dan fenomena alam juga terdapat dalam pantun Melayu kerana pemikiran orang Melayu yang berasaskan alam sekeliling menjadi konteks dalam kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri. Hasil daripada pengamatan masyarakat Melayu terhadap kejadian alam yang berlaku di sekeliling seperti hujan, ribut, kilat telah menghasilkan sesuatu konsep dalam pantun. Selain itu, dalam penciptaan pantun Melayu juga wujud faktor-faktor alam semester seperti flora dan fauna. Contohnya dalam dilihat dalam pantun di bawah:

Anak kuda dalam kandang
Pandai menyepak tendang-menendang
Kalau nasib sudah malang
Rezeki secupak tidak mahu segantang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 244)

Dalam pantun di atas, masyarakat Melayu menggunakan alam fauna sebagai pembayang iaitu kuda. Anak kuda yang sudah pandai tendang-menendang dan hidup di dalam kandang merupakan situasi yang biasa dilihat oleh masyarakat Melayu.

Daun empelas dalam puan
Puyuh mengeram dalam padi
Sangatlah belas hatiku tuan
Guruh menderam hujan tak jadi.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 245)

Bagi contoh pantun di atas pula, penggunaan faktor fenomena alam seperti guruh dan hujan merujuk kepada cuaca. Kebiasaannya bunyi dentuman guruh membawa maksud hujan akan turun. Fenomena ini merupakan kejadian yang berlaku di sekeliling masyarakat Melayu.

Tanam pisang tanam ubi
Ubi ditanam buatkan batas
Banyak orang bertanam budi
Dalam ingatan hendak dibalas.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)

Melalui pantun di atas, dapat dilihat penggunaan alam flora iaitu pisang dan ubi. Kedua-dua tanaman ini merupakan tanaman masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Mereka menanam ubi untuk dijadikan makanan harian terutamanya semasa zaman pemerintahan Jepun.

Berdasarkan pantun-pantun di atas, dapatlah disimpulkan bahawa bahasa tidak boleh dipisahkan dengan corak pemikiran dan budaya penutur. Hal ini demikian kerana pemikiran dan budaya masyarakat Melayu merupakan satu panduan terhadap tindakan dan kepercayaan dalam hidup mereka, di samping menjadi warisan sosial masyarakat Melayu.

Pemikiran Tentang Ilmu Pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan oleh masyarakat Melayu kerana ia dapat membentuk dan menyuburkan fikiran masyarakat ke arah kesejahteraan. Selain itu, menuntut ilmu adalah selaras dengan objektif Islam berdasarkan peristiwa turunnya ayat Al-Quran pertama di Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad S.A.W. Menuntut ilmu dalam Islam merupakan fardu ain, iaitu menjadi kewajipan kepada semua individu yang bergelar Muslim. Sehubungan dengan itu, lahirlah pantun-pantun yang menyeru masyarakat Melayu supaya menuntut ilmu. Antara pantun tersebut ialah,

Burung kenek-kenek
Terbang dalam semak
Pesan datuk nenek
Rajin-rajin pergi belajar.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

            Pantun di atas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sangat mementingkan pendidikan terutamanya kepada generasi muda iaitu kanak-kanak. Hal ini dapat dilihat melalui burung kenek-kenek yang sinonim dengan kanak-kanak dan pesan datuk nenek boleh merujuk kepada pesanan orang tua kepada cucunya supaya rajin belajar.

Cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 98)

Pantun ini pula menunjukkan bahawa budaya masyarakat Melayu yang sentiasa ingin ditegur dan diberi tunjuk ajar ketika mereka menuntut ilmu dan melakukan kesalahan. Sikap ini juga mencerminkan masyarakat Melayu yang mementingkan ilmu pengetahuan dan mengharapkan tunjuk ajar daripada orang lain.

Pokok kelapa di tanam berjajar
Nampak dari tepi pantai
Barang siapa rajin belajar
Tentu dia menjadi pandai.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 24)

Pantun di atas pula menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya bahawa masyarakatnya akan menjadi pandai dan bijaksana sekiranya mereka rajin belajar. Kepandaian dan kebijaksanaan masyarakat bergantung kepada kerajinan mereka menimba ilmu.

Anak ayam turun sepuluh
Mati seekor tinggal sembilan
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh
Akan bekalan hari kemudian.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)

            Pantun ini turut membuktikan bahawa masyarakat Melayu mementingkan pendidikan dan ilmu pengetahuan. Hal ini dapat dilihat dalam dua baris akhir di atas yang menggambarkan mereka menuntut ilmu bersungguh-sungguh untuk dijadikan bekalan pada masa hadapan.

Melalui contoh-contoh di atas, dapat dirumuskan bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang melibatkan menuntut ilmu pengetahuan adalah selaras dengan ajaran Islam. Menuntut ilmu pengetahuan dalam Islam termasuk dalam kategori ibadah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masyarakat Melayu memandang tinggi kepada usaha menuntut ilmu itu sendiri.

Pemikiran Tentang Tingkah Laku Dan Moral Manusia
Masyarakat Melayu juga mengaitkan persoalan mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam hubungan antara manusia dengan manusia. Moral di sini bermaksud satu sistem yang menilai tindakan zahir manusia itu sendiri meliputi pemikiran, perasaan dan niat. Nilai-nilai moral ini bersifat sementara, subjektif dan relatif. Di samping itu, segala tindak tanduk dan tingkah laku masyarakat yang wajar dan tidak wajar dilakukan juga diungkap dalam pentun Melayu. Hal ini bertujuan sebagai pengajaran dan teladan kepada masyarakat supaya dapat dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Antara pantun yang menyatakan perihal tingkah laku dan moral manusia adalah seperti berikut:

Ayun anak ayun
Ayun sampai hujung serambi
Bangun anak bangun
Jangan tidur meninggi hari.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 19)

            Pantun di atas membuktikan bahawa masyarakat Melayu tidak membudayakan tidur sehingga lewat hari atau dengan kata lainnya sehingga matahari naik. Hal ini demikian kerana selepas subuh merupakan masa mereka mencari rezeki. Mereka percaya amalan tidur sehingga tinggi hari akan menutup pintu rezeki mereka.

Burung kenek-kenek
Terbang ke pucuk tebu
Pesan datuk nenek
Jangan derhaka pada ibu.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)

Dalam contoh pantun ini, masyarakat Melayu amat menitik beratkan hubungan anak-anak terhadap orang tuanya terutama ibu. Hal ini juga turut menjadi budaya yang ditanam dalam diri masyarakat Melayu melalui rangkap pantun. Menghormati ibu bapa adalah tanggungjawab anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang banyak menabur bakti kepada anak-anak terutmanya ibu.

Tinggi rimbun pohon sena
Tempat bersarang si burung enggang
Bantalku gebu tidak tidur lena
Ingatkan hutang keliling pinggang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 246)

Pantun di atas pula merupakan pantun yang menyatakan kehidupan bagi mereka yang berhutang. Hal ini merupakan pengajaran yang ingin diterapkan dalam diri masyarakat Melayu supaya tidak berhutang kerana dengan berhutang akan memakan menghantui diri mereka sendiri.

Anyam ketupat bawa belayar
Diletak di atas peti
Hutang piutang dapat dibayar
Terhutang jasa dibawa mati.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001:  95)

Pantun di atas juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu menanamkan prinsip hutang budi tidak mampu dibayar dan dibawa mati. Segala jenis hutang-piutang berbentuk harta benda boleh dibayar, tetapi bukan hutang budi.


Berdasarkan pantun-pantun di atas, jelaslah menunjukkan bahawa hubungan bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu berkait rapat dengan tingkah laku dan moral. Pemikiran dan kebahasaan masyarakat Melayu yang terkandung dalam rangkap pantun bersifat humanistik dan relatif. Marilah kita sama-sama menghayati sedutan pantun di bawah sebagai halwa telinga dan mengkaji falsafah melayu itu sendiri.

PENGENALAN : PANTUN

Menurut Mohd Rosli Saludin (2014), terdapat banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh ramai sarjana seperti Za’ba, Windstedt, Wilkinson, Pijnappel dan Van Ophuijsen berkaitan asal-usul pantun. Antara tokoh-tokoh tersebut, ada yang mengatakan bahawa pantun berasal daripada bahasa Nusantara seperti toen dalam bahasa Sunda, tuntun (Pampanga), tonton (Tagalog), matuntun (Jawa), panton (Bisaya) dan pantun (Toba). Oleh itu, kita tidak dapat menafikan satu hal yang cukup penting dalam teori asal usul pantun, iaitu persetujuan para sarjana bahawa pantun berasal dari daerah Nusantara seperti India, China atau Jawa.

            Pantun adalah hak milik masyarakat Melayu yang mencerminkan peribadi, nilai dan minda Melayu. Menurut Windstedt (1960) dalam Mohd Rosli Saludin (2014), kelahiran pantun dalam kesusasteraan Melayu mengikut Sejarah Melayu bermula pada abad ke-15 walaupun sebenarnya pantun telah wujud sejak berabad lamanya. Menurutnya lagi, pantun dihasilkan secara lisan dan dianggap lahir bersama masyarakat kerana penghasilannya tidak ditulis atau direkodkan. Malah, pantun dianggap sebagai ciptaan terulung masyarakat Melayu kerana penghasilannya bukan saduran daripada masyarakat luar.


            Pantun mempunyai fungsinya yang tersendiri dalam masyarakat. Seperti fungsi puisi tradisional yang lain, rangkap-rangkap dalam pantun akan mencerminkan peranannya baik berbentuk hiburan, pengajaran, penghias majlis mahupun sebagai sebuah upacara ritual. Setiap pantun yang dihasilkan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang terdiri daripada pemikiran, nilai budaya, nilai ilmu, pandangan hidup serta keindahan estetika.  Dalam koleksi Pantun Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah, perbincangan yang dibuat akan melihat sejauh mana pantun sebagai karya agung Melayu berupaya menerapkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat Melayu. Keagungan yang mahu dilihat bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan maksud yang mahu disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata yang akan menjadi wadah dalam penilaian dan tanggapan tersebut. 

MAKLUMAT UMUM AHLI KUMPULAN

Maklumat Umum Ahli Kumpulan 





Nama            : Norselina binti Zainudin
No. Matrik   : D20121057984
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu





 Nama            : Nur Aida Farhana binti Abdul Salim
 No. Matrik   : D20121057976
 Semester       : 6
 Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
 Minor           : Kesusasteraan Melayu











Nama            : Siti Noor Ain binti Mohd Husin
No. Matrik   : D20121057987
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu










Nama            : Noor Hafizah binti Hamzah
No. Matrik   : D20121057994
Semester      : 6
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Kesusasteraan Melayu








Nama            : Nor Faraizan binti Zakair
No. Matrik   : D20131063320
Semester      : 4
Major           : Pendidikan Bahasa Melayu
Minor           : Geografi