Budaya adalah daripada bahasa Sanskrit iaitu
‘Budayyah’ yang merupakan kata jamak bagi perkataan ‘buddhi’ yang bermaksud
budi pekerti atau akal yang amat berkait rapat dengan masyarakat. Konsepnya
meliputi pengetahuan, kepercayaan, kesenian, tatasusila dan adat resam.
Kanak-kanak
riang gembira
Ketupat palas sedap rasanya
Ditangkap buaya nampak riaknya
Ditangkap malas mati kelaparan.
Harimau belang mengejar rusa
Rusa makan di daun muda
Sebab pulut santan binasa
Sebab mulut badan merasa.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2011: 206-207)
Nasihat-menasihati
Nilai budaya yang terdapat dalam pantun di atas ialah
sentiasa nasihat-menasihati antara satu sama lain. Dalam pantun ini menekankan
bahawa sikap rajin akan memberi keuntungan manakala sikap pemalas akan membawa
kerugian. Penggunaan kanak-kanak bertujuan untuk menegaskan bahawa sikap rajin
harus dipupuk sejak dari kecil lagi bagi memastikan nilai murni ini terus
dipegang oleh mereka apabila meningkat dewasa kelak.
Pada pantun kedua pula, Nilai Budaya
yang ingin di ketengahkan ialah mengenai bersopan santun dan berbudi.
Masyarakat Melayu begitu tinggi dengan nilai santun dan beradab ini bersesuaian
dengan anjuran Agama Islam yang mementingkan sopan santun sama ada dari segi
perbuatan, perkataan dan tingkah laku. Dalam pantun ini menegaskan kepada
setiap pembaca agar sentiasa memastikan setiap ucapan dan perkataan yang
dikeluarkan berfikir secara rasional terlebih dahulu. Hal ini demikian kerana
setiap ucapan yang telah dikeluarkan tanpa berfikir dengan sebaiknya akan
mengguris hati dan perasaan orang lain sehingga menyebabkan berlakunya
pergaduhan dan pertengkaran yang boleh memutus kan ikatan silaturahim yang
sedia terbina. Oleh itu, Nilai Bersopan santun dan berbudi pekerti amat dituntut
dalam Masyarakat Melayu kearah keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di
Malaysia.
Sirih lipat sirih pinang,
Sirih dari Pulau Mutiara;
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 13)
Meraikan Tetamu
Pada pantun ini Penulis mengetengahkan Nilai Meraikan
tetamu dengan penggunaan ucapan-ucapan yang berunsur permulaan bicara. Dalam
masyarakat Melayu meraikan tetamu merupakan satu nilai yang amat penting . Hal
ini demikian kerana, Di dalam agama Islam meraikan tetamu begitu digalakkan
kerana tetamu dianggap sebagai “penambah rezeki” dalam sesebuah keluarga. Oleh
itu, seharusnya seseorang tetamu itu mendapat layanan yang sebaik mungkin,
diberikan pelindungan yang sempurna serta dimuliakan. Nilai menghormati tetamu
merupakan satu pegangan dan adat yang dipegang oleh Masyarakat Melayu sejak
zaman berzaman.
Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di rumpun buluh;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun sepuluh jari.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 13)
Pada pantun ini pengarang memasukkan
nilai Kasih-sayang dengan menekankan sikap saling bermaaf-maafan antara satu
sama lain. Hubungan yang erat akan terjalin sekiranya setiap individu
mengamalkan nilai saling maaf memaafi atas segala kesilapan yang dilakukan
secara langsung mahupun tidak langsung. Penerapan nilai kasih sayang sesama
manusia ini menjadi asas utama kepada pembentukan masyarakat yang penyayang.
Burung kenek-kenek,
Terbang dalam hutan;
Pesan datuk nenek,
Emak marah jangan lawan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 25)
Menghormati Orang Tua
Dalam pantun ini nilai budaya yang diketengahkan ialah
menghormati orang tua. Masyarakat Melayu sangat mementingkan nilai menghormati
orang tua sejak zaman berzaman. Segala
nasihat yang diberikan oleh golongan yang lebih tua ini seharusnya dijadikan
panduan kepada anak-anak muda. Hal ini dikaitkan dengan golongan Tua lebih
berpengalaman dan mengetahui banyak perkara yang tidak diketahui oleh golongan
muda . Oleh itu mereka suka memberi nasihat agar golongan muda akan lebih
berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan. Jelas dapat dilihat bahawa
golongan muda seharusnya memenuhi segala kehendak dan perintah yang diberikan
kepada mereka. Hal ini demikian kerana mereka begitu bijak dalam menilai dan
menentukan keputusan yang tepat dalam sesuatu perkara.
Agama dan Pengajaran
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010)
agama bermaksud kepercayaan pada Tuhan dan sifat-sifat serta kekuasaan Tuhan
dan penerimaan ajaran serta perintah-Nya. Konsep agama dalam pantun berdasarkan
konteks masyarakat Melayu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan nilai dan
akhlak Melayu-Islam. Menurut Ibnu Manzur (1990:86) dalam Mohd Rashid Md Idris
(2011), akhlak merupakan gambaran dalaman manusia meliputi sifat diri mereka
sendiri yang memberi makna tersendiri sesuai dengan status mereka diciptakan
sebagai makhluk.
Akhlak memainkan peranan yang sangat
penting dalam proses pembentukan peribadi Muslim. Akhlak yang merupakan
kelakuan bermoral merangkumi nilai-nilai seperti merendah diri, benar,
hormat-menghormati, adil dan saksama dan sebagainya. Dalam masyarakat Melayu,
mereka yang dianggap beretika, bermoral dan berakhlak lazimnya akan dipandang
tinggi oleh masyarakat. Keseluruhan akhlak masyarakat Melayu yang terdidik
dengan adat dan agama itu akan membentuk konsep budi yang menjadi sanjungan
masyarakat Melayu sejak dahulu sehinggalah sekarang. Contoh pantun berkaitan
dengan akhlak yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Bawa aksin terlalu indah,
Ombak bersusun berlari-lari;
Jika berkata yang tidak berfaedah,
Terlebih baik mendiamkan diri.
(Pantun Melayu: Bingkisan
Permata, 2001: 139)
Budi Pekerti Dan Beradab
Budi bermaksud akal atau kebijaksanaan (Kamus Dewan
Edisi Keempat, 2010: 212). Menurut Mohd Rashid Md Idris (2011), budi dapat
ditakrifkan sebagai sikap pemurah dan berbuat baik kepada orang lain. Dalam
masyarakat Melayu, budi merupakan nilai yang terpuji. Amalan balas-membalas
budi amat penting kerana ia dapat mewujudkan semangat kerjasama,
tolong-menolong, dan bantu-membantu untuk kebaikan. Dalam masyarakat Melayu,
kebanyakan pantun budi merujuk kepada kepentingan berbudi dalam masyarakat.
Antara pantun yang diketengahkan dalam Bingkisan Permata ialah:
Limau manis dimakan manis,
Manis sekali rasa isinya;
Dilihat manis dipandang manis,
Manis sekali hati budinya.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 91)
Di samping itu, banyak juga pantun
Melayu yang memaparkan penghargaan masyarakat Melayu terhadap budi atau
mengenang budi. Dalam masyarakat Melayu, mereka sangat menghargai orang yang
berbudi. Menjadi kelaziman orang yang berbudi akan sentiasa dikenang, diingati,
dan disebut selalu walaupun kadang-kala individu yang berbudi itu telah
meninggal dunia. Contohnya dapat dilihat melalui pantun tersebut:
Ambil tali panjang sedepa,
Makan manggis dengan bijinya;
Sampai mati takkan lupa,
Kerana manis hati budinya.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 97)
Apa guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 101)
Tanah baik negerinya besar,
Banyak orang pergi mari;
Ramah baik lagi penyabar,
Banyaklah orang mesra di hati.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 175)
Berpegang
Teguh kepada Adat Resam
Perkataan adab diambil daripada bahasa Arab “addaba”
yang bermaksud mengajarkan adab (Asmawati Suhid, 2009: 13). Manakala menurut
takrifan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 7), adab ialah tingkah laku serta
tutur kata yang halus (sopan), budi bahasa, budi pekerti yang halus, kesopanan
atau cara seseorang berkelakuan dalam situasi tertentu. Menurut Rosenthal (1992)
adab merupakan istilah yang lebih luas kerana ia memasukkan perkara etika,
moral, kelakuan dan adat istiadat, sebagai tambahan kepada perkara
pembelajaran. Berdasarkan huraian tersebut, adab boleh juga dikaitkan dengan
kesopanan dan ketertiban.
Pantun dalam masyarakat Melayu
banyak memerihalkan perlakuan atau tingkah laku seseorang yang dinilai dari
segi baik dan buruk. Perilaku yang baik merujuk kepada perilaku yang tertib dan
sopan seperti memberi salam ketika bertemu, menghormati ibu bapa dan orang tua,
membongkokkan badan ketika lalu di depan orang tua dan banyak lagi.
Kesempurnaan budi dan adab sangat dipentingkan dalam kehidupan. Kata-kata yang
lemah lembut dan beradab adalah inti peradaban kepada bangsa. Adab dan sopan
juga adalah kecantikan budi pekerti yang terpuji yang sangat disanjung sejak
dahulu hingga sekarang.
Walaupun budaya menekankan
kepentingan memelihara adat, namun tidak semestinya masyarakat Melayu perlu
bersikap menuruti tanpa memikirkan baik buruknya. Malah, undang-undang adat
yang lapuk dan tidak relevan lagi wajar diperbaharui demi kepentingan
masyarakat Melayu seluruhnya (Mohd Rashid Md Idris, 2011: 218). Jelaslah bahawa
adat Melayu boleh dijadikan panduan yang boleh dipatuhi namun adat ini perlulah
disesuaikan mengikut situasi sosial ataupun relevan dengan zaman. Antara pantun
adat istiadat yang terdapat dalam karya Bingkisan Permata ialah:
Orang Padang mencuci benang
Dilipat maka dipertiga
Kalau direntang hanya panjang
Elok singkatkan sekadar berguna.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 91)
Selain itu juga, pantun kategori ini
lazimnya dijadikan perantaraan dalam majlis-majlis adat istiadat orang Melayu,
misalnya majlis merisik, pertunangan, perkahwinan (akad nikah) atau dalam
pembukaan sesuatu upacara tertentu. Contohnya:
Masuk gelunggung berpelita,
Anak terkukur di tebing tinggi;
Alangkah baik untung kita,
Sirih berlipat datang sendiri.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)
Berpegang Teguh kepada Akidah Islam
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010),
adat didefinisikan sebagai peraturan yang sudah diamalkan sejak dahulu kala
dalam suatu masyarakat sehingga menjadi hukuman atau peraturan yang harus
dipatuhi. Menurut Hashim Haji Musa (2002), etika ditakrifkan sebagai kod dan
peraturan yang mengatur cara hidup dan tindak tanduk sesebuah masyarakat atau
organisasi. Adat sangat sinonim dalam masyarakat Melayu kerana ia sering
diaplikasikan dalam aktiviti seharian. Kedatangan Islam ke tanah Melayu telah
mengubah banyak budaya Melayu. Hal ini melibatkan pegangan, pemikiran, dan
falsafah kehidupan manusia di dunia. Dalam masyarakat Melayu, adat dihormati,
dijunjung, dan disanjung tinggi. Pelanggaran adat Melayu dianggap sebagai
perbuatan sumbang dan dicemuh oleh anggota masyarakat (Mohd Rashid Md Idris,
2011: 218). Dalam Bingkisan Permata jelas terakam nilai ini,
misalnya:
Menanam kelapa di Pulau Bukum,
Tinggi sedepa sudah berbuah;
Adat bermula dengan hukum,
Hukum bersandar di kitab Allah.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 89)
Berbuah lebat pohon mempelam,
Rasanya manis dimakan sedap;
Bersebarlah adat seluruh alam,
Adat pusaka berpedoman kitab.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 80)