Ilmu
menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan dalam perkara dunia,
akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Ilmu sangat penting disebarkan kepada
orang lain agar ilmu tersebut memberi manfaat kepada orang yang menuntutnya.
Antara tujuan ilmu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan orang
lain, mengembangkan perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan, dan
sebagainya. Nilai ilmu merujuk kepada pengetahuan yang terdapat dalam sesebuah
karya yang menjadi amalan dalam penghasilannya yang bukan sahaja menunjukkan
kelebihan yang ada pada seorang pengkarya, tetapi juga memberikan pengetahuan
kepada pembacanya. Dalam karya Pantun Melayu: Bingkisan Permata ini, terdapat
beberapa nilai ilmu yang diketengahkan dan boleh memberi manfaat kepada
pembaca. Antaranya ialah nilai ilmu adat, ilmu agama dan ilmu alam.
Ilmu Adat
Menurut
Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006), dalam sistem sosial adat perpatih,
perkataan adat akan membawa maksud yang berbeza apabila digunakan dalam konteks
yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) dalam Mohd Rashid et al.
(2014), adat bermaksud peraturan yang sudah diamalkan turun-temurun di dalam
sesuatu masyarakat sehingga menjadi satu hukum dan peraturan yang harus
dipatuhi. Namun, secara amnya perkataan ‘adat’ dalam konteks masyarakat Melayu
membawa maksud cara biasa dilakukan, kebiasaan atau kelaziman. Selain itu, adat
juga disamakan dengan kebudayaan atau cara hidup yang khusus atau tertentu.
Dalam buku yang dikaji, terdapat pantun yang menggambarkan bagimana ilmu adat
itu diperolehi oleh masyarakat secara turun-temurun kerana masyarakat Melayu
zaman dahulu tidak pandai menulis dan membaca. Contoh pantun:
Berek-berek turun ke semak,
Dari semak turun ke padi,
Dari nenek turun ke mamak,
Dari mamak turun ke kami.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 81)
Berdasarkan contoh pantun di atas, dapat kita kenal pasti
bahawa ilmu berkaitan adat istiadat pada zaman dahulu disampaikan secara
warisan atau turun-temurun dari satu generasi ke satu generasi yang lain. Baris
ketiga menunjukkan turutan permulaan sesuatu adat itu dibentuk oleh golongan
dewasa sebelum diturunkan kepada generasi yang berikutnya. Ilmu adat dilihat
hidup dalam masyarakat apabila mereka mengamalkannya dalam kehidupan seharian
dan sebahagiannya menjadi adat istiadat sebagai pantang larang dan pegangan
hidup sehingga ke hari ini. Contohnya seperti dalam pantun di bawah:
Limau purut jatuh ke lembah,
Tiba di lembah tumbuhlah duri,
Pinang menghadap sirih menyembah,
Jari sepuluh menjunjung duli.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 11)
Berdasarkan contoh di atas, kita dapat melihat adanya nilai
ilmu adat menyembah raja atau golongan istana dalam masjlis beradat yang cuba
diterapkan dalam masyarakat Melayu ketika itu. Maksud tepak sireh yang dibawa
tetamu atau yang disediakan tuan rumah ialah untuk menyatakan peranan sirih dan
pinang dalam istiadat Melayu tradisional. Nilai ilmu yang mungkin tidak
diketahui oleh generasi muda hari ini
sangat penting diterapkan dalam pantun, terutama di dalam pantun yang diajarkan
dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu di sekolah agar mereka dilengkapi dengan
pengetahuan berkaitan adat istiadat tradisional yang kian dilupakan dewasa ini.
Selain itu, dalam koleksi pantun ini juga turut diselitkan
ilmu berkaitan adat perpatih yang kita sedia maklum diamalkan oleh masyarakat
di Negeri Sembilan. Adat Perpatih ini diwariskan dari generasi ke generasi
melalui kata-kata perbilangan. Ia merangkumi pelbagai aspek kehidupan
masyarakat termasuk soal harta pusaka, perlantikan pemimpin, hukum nikah
kahwin, amalan bermasyarakat, sistem menghukum mereka yang melanggar adat atau
melakukan kesalahan dan pelbagai aspek lagi. Setiap peraturan atau adat itu ada
perbilangannya dan setiap peraturan itu ada rasional atau sebab-sebab
terjadinya sesuatu hukum atau adat. Pantun di bawah ada menerangkan sedikit
mengenai pembahagian adat perpatih dalam masyarakat yang mengamalkannya. Luak
dibahagi tiga menghuraikan tiga kumpulan utama yang terdapat dalam adat ini,
iaitu Perut, Suku dan Luak. Setiap kumpulan ini mempunyai struktur yang berbeza
dan salasilah yang unik.
Dibelah-belah dipertiga,
Pisau raut pembelah rotan,
Luak dibahagi tiga,
Adat dibahagi delapan.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 83)
Penerapan ilmu
budaya seperti di atas dalam pantun sangat membantu dalam menyampaikan
pengetahuan kepada masyarakat pentingnya menjaga adat agar tidak dilupakan oleh
masyarakat. Adat akan mencerminkan jati diri masyarakat di samping menjadi
identiti sesuatu bangsa.
2Ilmu Agama
Ilmu
agama merupakan ilmu yang sering berkait dengan keimanan. Ilmu keagamaan akan
menyentuh persoalan hidup semasa, soal menuntut ilmu dan beramal supaya tidak
menyesal sesudah mati (Harun Mat Piah, 2001). Ilmu keagamaan biasanya dijumpai
dalam pantun agama yang sering menggunakan huraian yang didasari fahaman
tasawuf, sufisme atau ilmu suluk. Selain itu, dalam pantun keagamaan juga turut
ditekankan aspek yang perlu dihindari dan diamalkan dalam kehidpan seharian.
Penerapan ilmu ini dalam pantun bersesuaian dengan peranannya pada ketika itu
sebagai alat untuk mendidik dalam masyarakat. Contoh pantun yang menerapkan
ilmu keagamaan ialah:
Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggallah tujuh,
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.
Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggallah enam,
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)
Berdasarkan contoh di atas, kita dapat melihat dengan jelas penerangan
yang diberikan berkaitan akibat jika kita meninggalkan saranan dan melakukan
larangan Allah. Malah, dengan adanya
baris yang menyatakan dengan jelas kesan seperti badan yang hancur kerana dijilat oleh api neraka, secara tidak
langsung akan memberi kesedaran kepada pembaca atau pendengarnya agar tidak
meninggalkan larangan-Nya. Terdapat juga pantun yang menyatakan hasrat seorang
hamba yang mahu masuk ke syurga dan berharap doanya didengari oleh Allah s.w.t.
Melalui pantun begini, kita mampu mendidik masyarakat agar lebih menjaga
pegangan agama mereka agar mereka bukan sahaja berjaya di dunia, malah di akhirat
dan kelak ditempatkan bersama orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Contoh
pantun:
Anak ayam turunnya satu,
Mati seekor habislah sudah,
Masuk ke syurga tuhan yang satu,
Mudah-mudahan diperkenankan Allah.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)
Selain itu, pantun agama juga dicipta berdasarkan
latar belakang seorang hamba yang menginsafi kekhilafannya dan mahu berubah ke
arah kehidupan yang lebih baik. Mereka sentiasa berusaha mencari keredhaan
Allah dan berharap pintu taubat terbuka untuk mereka kembali ke pangkal jalan.
Contohnya seperti dalam pantun di bawah:
Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat,
Sekian lama kami mencari,
Sekarang kini baru mendapat.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 449)
Dalam
pantun di atas, mencari dan mendapat merujuk kepada seorang hamba
Allah yang mencari dan menemukan tuhan setelah sekian lama mencari arah tujuan
dalam kehidupan. Perkataan mendapat
dalam pantun juga mungkin merujuk kepada hidayah atau petunjuk ke jalan yang lurus yang diperoleh
oleh seorang hamba Allah untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik.
Ilmu Alam
Secara
umumnya, pantun yang dihasilkan dengan sendirinya akan menyerlahkan
persekitaran atau gambaran masyarakat yang menghasilkannya. Penggunaan
unsur-unsur perlambangan dalam pantun dipengaruhi oleh ilmu pengetahuan yang
dimiliki oleh penciptanya. Contohnya ilmu berkaitan alam semesta. Pemilihan
diksi yang bertemakan alam semesta mestilah bersesuaian dengan maksud yang mahu
dianalogikan. Ini bermakna untuk menerapkannya dalam pantun, ilmu tersebut
perlu dikuasai sepenuhnya oleh penciptanya agar hasrat yang mahu disampaikan
melalui setiap baris dalam pantun sampai kepada pembaca mahupun pendengar.
Ilmu alam yang terdapat dalam pantun akan menggambarkan
latar alam atau latar masyarakat yang diwakilinya. Menurut Harun Mat Piah
(2001), latar sesebuah pantun meliputi sama ada sebuah masyarakat pantai,
pesisir, darat, kota, desa atau pedalaman.
Contoh pantun yang penghasilannya melibatkan ilmu alam ialah:
Baik-baik belayar malam,
Arus deras karangnya tajam,
Cari-cari malim yang faham,
Di situ banyak kapal tenggelam.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 138)
Pantun di atas merupakan satu contoh di antara berates
pantun lain yang menunjukkan ilmu alam yang digunakan oleh masyarakat yang
menghasilkannya, iaitu merujuk kepada masyarakat pesisir atau masyarakat pelaut
yang cukup mahir tentang laut dan falsafah pemikiran masyarakat Melayu. Secara
keseluruhan, terdapat banyak kumpulan pantun yang menyerlahkan imej laut dalam
penghasilannya dan disesuaikan dengan falsafah yang mahu dirungkaikan. Hal ini
secara tidak langsung memerlukan penciptanya menguasai ilmu alam agar maksud
yang mahu disampaikan bersesuaian dengan analogi yang digunakan. Contoh pantun
lain yang menggunakan unsur ilmu alam dalam penghasilannya adalah seperti di
bawah:
Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh sebiji di Gunung Daik,
Peluk tubuh rasa nak demam,
Baru kutahu badan tak baik.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 193)
Berdasarkan contoh di atas, imej bintang tujuh dalam
baris pertama pantun mungkin digunakan kerana hubungan rapatnya dengan angka
tujuh yang sering digunakan dalam cerita lisan rakyat khususnya dalam genre
lipur lara seperti ‘puteri tujuh’ dan ‘bidadari 'tujuh’ dalam sistem
kepercayaan pengubatan dan perbomohan seperti dalam Ulit Mayang. Manakala,
penggunaan nama tempat seperti Gunung Daik juga merupakan sebahagian daripada istilah
yang diketahui dan sering digunakan dalam dunia Melayu.
Selain itu, dalam pantun Melayu juga banyak
menggunakan unsur-unsur alam seperti flora dan fauna dalam mengindahkan lagi
pemilihan diksinya dan dalam masa yang sama mempunyai maksud yang boleh difahami.
Ilmu alam ini lebih dekat dengan masyarakat yang mencipta pantun kerana
persekitaran hidup mereka ketika itu yang dikelilingi oleh alam semula jadi.
Contohnya seperti contoh pantun di bawah:
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 193)
Pantun di atas jelas menunjukkan adanya unsur flora
dan fauna dalam pantun sebagai lambang kepada situasi yang dihadapi oleh
masyarakat. Flora dapat dilihat melalui perkataan langsat dan senduduk,
manakala fauna pula merujuk kepada gading yang diperoleh daripada gajah dan
tanduk daripada seekor lembu. Pantun di atas jelas menggambarkan ilmu yang
dimiliki oleh penciptanya dalam membuat analogi berkaitan dua situasi dalam
kehidupan. Hubungan yang digambarkan antara langsat kekuningan dan senduduk
kering amat bersesuaian dengan gading dan tanduk yang melambangkan dua
individu. Satu sebagai seorang yang bertuah, dan satu lagi sebaliknya.
Apa yang cuba digambarkan dalam pantun yang
menggunakan ilmu alam seperti flora dan fauna seperti di atas ialah kepekaan
masyarakat terhadap sifat objek yang dipilih. Pemilihan akan melihat objek dari
jenis indah dan paling penting tepat untuk dibandingkan, baik dari segi luaran,
fizikal mahupun dalaman atau rohaniah. Oleh itu, sangat penting untuk mendalami
ilmu alam sebelum menghasilkan sesebuah pantun yang baik agar pemilihan objek
alam yang mahu dibandingkan bertepatan dan boleh diterima khalayaknya.
Oleh itu, dengan adanya ilmu alam, pemantun dapat
merungkai makna asli yang terdapat pada setiap unsurnya. Melaluinya, bukan
sahaja penciptanya, malah pembaca atau pendengarnya dapat belajar mentafsir
alam dengan tekun dan teliti. Menurut Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006),
ilmu berkaitan alam ini merupakan pemikiran filosofi yang rumit dan halus
pengembaraannya. Pemantun akan berusaha mencari jalur kesenian yang mempunyai
unsur kenyataan dan kebenaran. Dengan kepercayaan yang demikian, alam bukan sahaja
menjadi pembayang nasib manusia, tetapi turut menjelaskan perasaan manusia
dalam pelbagai keadaan.
No comments:
Post a Comment