Orang Melayu
dan pantun sememangnya tidak dapat dipisahkan. Jiwa orang Melayu seolah-olah
telah terikat dengan bentuk dan cara pengungkapan sesuatu perkara atau maksud
melalui pantun. Salah satu faktor pantun begitu mesra dengan jiwa Melayu adalah
kerana unsur keindahannya atau estetikanya. Bentuk pantun merupakan suatu
saluran yang amat berkesan bagi menyampaikan atau meluahkan perasaan individu
atau masyarakat secara halus. Masyarakat Melayu zaman dahulu akan menggunakan
bahasa yang paling halus dan beralas dalam menyampaikan sesuatu mesej agar hati
pendengar tidak terluka dan tidak memberi malu kepadanya. Keindahan dalam
pantun dapat dikaji daripada pelbagai sudut dan hal yang paling penting ialah
mesej yang dibawa bersama pantun tersebut.
Menurut
Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias (2006:137), mereka menyatakan bahawa bentuk
pantun memperlihatkan keunikan tersendiri yang tiada bandingan. Aspek rentak
dan irama turut menimbulkan keindahan, hal ini kerana kita perlu sedar bahawa
pantun itu pertama kali diwujudkan atau dicipta untuk dilafazkan dan untuk
didengari. Keindahan lazimnya dikaitkan dengan perasaan yang menyenangkan, yang
dihasilkan berdasarkan tanggapan pancaindera, namun begitu, keindahan tersebut
tidak semata-mata bergantung pada aspek indera mata, kerana konsep keindahan
itu menjangkau bentuk fizikal hingga ke tahap yang dinikmati melalui jiwa dan
akal. Di samping itu, antara aspek keindahan pantun yang lain terletak pada
mesej yang hendak disampaikan pada dua baris yang terakhir. S.T Alisjahbana
(1968) mengatakan bahawa keindahan ini tercapai melalui ungkapan yang bernas
tetapi padat yang mengandungi mesej yang tepat dan persis serta penuh dengan
kebenaran (Rogayah A. Hamid dan Jumaah Ilias, 2006:138). Berikut merupakan
contoh pantun yang terdapat pada bab Bingkis Bicara:
Akar
keladi melilit selisih,
Selasih
tumbuh di hujung taman,
Kalungan budi junjungan kasih,
Mesra
kenangan sepanjang zaman.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2011: 97)
Hari
panas helang berlegar,
Ayam
terkurung di dalam reban,
Hutang
emas boleh dibayar,
Hutang
budi gunung terbeban.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2011: 113)
Berdasarkan
kedua-dua pantun di atas, dua baris terakhirnya mengandungi isi yang amat
jelas, dinyatakan oleh pengarang melalui pilihan kata yang sesuai dan kemudian
disusun dengan cara yang indah dan bernas. Kedua-dua pantun tersebut menyatakan
tentang pernyataan rasa terhutang budi yang akan dikenang selama-lamanya.
Selain itu, buah fikiran yang seni disampaikan oleh pengarang dengan berkesan
melalui dua baris akhir pantun tersebut. Pada dua baris pertama pantun pula,
iaitu pada bahagian pembayang, terdapat satu lagi aspek keindahan iaitu
penggunaan unsur alam sekitar sebagai latar belakang. Dalam pantun (1), yang
menjadi unsur pembayang maksud ialah sifat tumbuh-tumbuhan iaitu akar keladi
dan pokok selasih, manakala dalam pantun (2) pula, burung helang dan ayam yang
menjadi unsur pembayang maksud.Nik Safiah Karim (1987) dalam satu kertas
kerjanya menyatakan bahawa,
“Saya telah menunjukkan bagaimana orang
Melayu telah menggunakan unsur flora dan fauna untuk melatari pengungkapan buah
fikiran mereka, terutama dalam pantun dan peribahasa. Segala jenis-jenis
tumbuhan dan binatang (liar dan jinak) menjadi latar belakang pengungkapan.
Demikian juga dengan pantun.”
(Pandangan
Semesta Melayu: Pantun, 2006: 138)
Hal
yang demikian jelas menunjukkan bahawa isi atau mesej yang disampaikan
merupakan unsur yang amat penting dalam sesebuah pantun. Selain itu, aspek
keindahan dalam pembacaan pantun juga banyak terdapat pada bab Bingkis Kasih.
Pantun-pantun
yang terdapat dalam Bingkis Kasih dari
aspek estetikanya berkisar tentang alam percintaan dan kasih sayang. Pembaca
berasa terhibur dengan madah-madah cinta yang berunsur rindu dan sayang, geli
hati terhadap pantun-pantun yang berbaur usik-mengusik, saling menduga dan
cemburu-mencemburui, dan berasa sedih dan simpati akan pantun-pantun yang
berbaurkan perasaann kecewa, patah hati, kecurangan, dan cinta yang tidak
diterima. Bahasa yang digunakan oleh penciptanya pula tidak menimbulkan rasa
marah, benci, sakit hati, dan geram kepada pendengar atau pembaca. Hal ini demikian
kerana pantun berperanan untuk menyampaikan hasrat hati pencipta atau pengujar
pantun tersebut kepada individu yang dituju dengan bahasa dan nada yang
berlapik agar tampak manis dan tidak menimbulkan perasaan dendam di hati
pendengar. Di samping itu, cara pengarang atau pencipta pantun menyampaikan
hasrat hati adalah dengan menggunakan perlambangan. Perlambangan yang kerap
digunakan pula berunsurkan tumbuh-tumbuhan, haiwan, rumah, buah-buahan, nama
orang, pakaian, makanan, bunga-bungaan, nama-nama tempat, bintang, bulan,
matahari, dan banyak lagi. Perlambangan yang baik-baik sebegini dapat menarik
perhatian pendengar atau pembaca dan membuat mereka tersenyum sendiri. Hal
inilah yang membuktikan kekuatan pada pantun yang terdapat dalam Bingkis Kasih.
Walau
bagaimanapun, aspek keindahan sesebuah pantun dihasilkan berdasarkan beberapa
faktor. Faktor yang utamanya ialah isi atau mesej yang hendak disampaikan oleh
pencipta atau pengarang digarap dengan menggunakan kebijaksanaan yang dimiliki
seperti gambaran tentang kekayaan persekitan kehidupan pada zaman dahulu.
Selain itu, aspek lain yang menentukan keindahan sesebuah pantun itu ialah
bentuknya, iaitu binaan dan hubungan antara pembayang dengan maksud pantun,
jalinan buah fikiran, serta ketajaman dan kehalusan budi masyarakat Melayu.
No comments:
Post a Comment