Wednesday 20 May 2015

ISI DAN PEMIKIRAN DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA

Isi dan Pemikiran
Isi bermaksud kandung karya yang telah dikupas dan ditulis oleh penulis manakala mesej pula membawa maksud gagasan atau pengajaran yang hendai disampaikan dalam sesebuah hikayat. Dalam hikayat Inderaputera, terdapat pelbagai isi dan mesej yang dapat dipetik ketika menganalisis karya ini. Antaranya ialah unsur keindahan, nilai kasih sayang, sikap pemurah pemerintah, mementingkan pendidikan agama, keberanian, kebijaksanaan, menepati janji, berbudi bahasa dan sikap berwaspada.

Unsur keindahan
Dalam hikayat Inderaputera, kita dapat lihat bahawa pengarang banyak memasukkan unsur-unsur keindahan dalam karyanya. Menurut Braginsky (1994:18), istilah “keindahan” merupakan salah sebuah istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Seorang pengarang harus mencari perkataan yang selari dengan perasaan yang membawa konotasi melalui bunyinya. Unsur kehalusan dan penghalusan sudah dimasukkan melalui rasa estetik pengarang. Ia merupakan satu tradisi dan konvensi dalam kesusasteraan Melayu Tradisional dimana pengarangnya tidak boleh lari dari membincangkannya dalam karyanya. 

Menurut Muhammad Haji Salleh (2000:111) pula, “yang indah itu boleh berupa ‘perkataan’, atau ‘ceritera’ atau ‘watak’.” Pada awal kisah lagi, Hikayat Inderaputera telah menonjolkan unsur keindahan:

Setelah sudah ia makan maka hairanlah sekali Inderaputera melihat kekayaan Tuhan. Maka ia pun menuju matahari dan beberapa melalui bukit dan padang.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 18)
Maka Inderaputera pun hairanlah melihat burung itu indah-indah rupanya dan Inderaputera pun berjalan pula dari sana beberapa ia melihat kekayaannya Tuhan Yang Mahabesar, dan datanglah pada bukit tembaga suasa...
(Hikayat Inderaputera, 1977: 65)

Di sini kita dapat lihat bahawa perkataannya, iaitu bahasanya, kemerduannya, kias ibarat dan susunannya sangat indah. Dari mukadimah hikayat tersebut telah mendefinisikan tujuan dan bentuknya. Yang indah itu juga membawa kemasyuran dan daerah yang lebih luas sehingga meliputi ke seluruh dunia. Di samping itu, permulaan hikayat telah pun menemui penutupnya.

              Selain itu, dalam hikayat ini juga sering dikaitkan dengan ‘kekayaan Tuhan’. Keindahan itu dilihat sebagai hasil Tuhan Maha Pencipta. Menurut Braginsky (1994:18), pengertian ‘indah’ disepadankan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah). Keindahan adalah wujud sempurna yang dikurniakan Allah kepada benda-benda dan munculnya sifat indah pada sebuah benda bermakna benda itu telah tercipta (wujud).

Nilai kasih sayang
Mesej mengenai nilai kasih sayang telah ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Buspa yang begitu sayangkan anakandanya Inderaputera. Nilai kasih sayang ini telah ditonjolkan oleh maharaja ketika menyambut kelahiran Inderaputera. Maharaja Bikrama Buspa begitu gembira dengan kelahiran Inderaputera, baginda telah mengadakan majlis secara besar-besaran bagi meraikan kelahiran puteranya. Selain itu, Maharaja Bikrama Buspa juga memanggil semua ahli nujum untuk menilik nasib dan kebesaran anakandanya. Hal ini dapat dilihat dalam petikan tersebut,

         “…Tuan Puteri pun beranaklah seorang laki-laki terlalu sekali elok paras rupanya                   seperti matahari baharu terbit gilang-gemilang. Setelah itu maka baginda pun berasa           amat sukacitanya. Maka dititahkan oleh Baginda akan orang memalu segala                         bunyi¬bunyian seperti adat raja-raja beroleh putera demikianlah adanya. Maka lalu               Baginda menamai akan anakanda baginda Inderaputera”

Setelah datanglah segala ahlil nujum maka baginda pun memberi titah kepada segala ahlil nujum, “Maka lihatlah oleh tuan-tuan sekalian betapakah kebesaran anakku ini.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 2)

Sikap pemurah pemerintah
Mesej lain yang hendak ditunjukkan dalam hikayat Inderaputera ialah sikap pemurah pemerintah iaitu Maharaja Bikrama Buspa. Ketika hari meraikan kelahiran Inderaputera, Maharaja Bikrama Buspa telah menganugerahkan sepersalinan pakaian kepada ahli-ahli nujum yang menilik nasib anaknya. Baginda juga memberi sedekah dan persalinan kepada anak raja-raja dan orang kenamaan yang lain. Sikap pemurah ini dapat dilihat dalam petikan di bawah,

“Maka Maharaja Bikrama Buspa mendengar sembah segala ahlil nujum itu demikian. Maka Baginda pun memberi anugerah akan segala ahlil nujum itu sastrawan dan pada segala fakir dan miskin pun menjadi kayalah daripada limpah kurnia Baginda memberi sedekah dan persalinan pada segala anak raja-raja dan pada segala menteri hulubalang dan pada segala orang kaya-kaya Setelah sudah memberi persalinan maka baginda pun berjaga-jaga sekira empat puluh hari dan empat puluh malam makan minum bersuka-sukaan dengan segala anak raja-raja dan segala menteri hulubalang dan orang kaya-kaya.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 2)

Sikap mementingkan pendidikan agama
Pengarang hikayat Inderaputera juga ingin meyampaikan mesej mengenai masyarakat Melayu zaman dahulu yang mementingkan pendidikan agama kepada anak-anak. Walaupun, hikayat ini hampir sepenuhnya menceritakan mengenai dunia kayangan dan dewa-dewi namun pengarang masih memasukkan unsur agama Islam dalam karya ini. Hal ini dapat dilihat melalui petikan karya di bawah,

“Hatta beberapa lamanya sekira-kira tujuh lamanya maka Inderaputra pun tahulah sudah mengaji Quran dan Maharaja Bikrama Buspa pun semakin sangat kasih gemar 'akan anakanda baginda dan seketika pun tiada mahu bercerai daripada anakanda baginda...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 3)

Maharaja Bikrama Buspa telah memberi pendidikan agama Islam kepada anaknya, Inderaputera sejak anaknya itu masih kanak-kanak lagi. Mesej yang hendaklah disampaikan dalam petikan ini ialah kita hendaklah memberikan pendidikan agama kepada anak-anak.

Nilai keberanian
Nilai keberanian ditonjolkan oleh watak utama dalam hikayat ini iaitu watak Inderaputera. Semasa Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi nasihat agar dia berhati-hati tetapi dia manusia yang kelihatan. Inderaputera menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara itu datang daripada mayat-mayat tersebut. Mayat tersebut memberitahu Inderaputera bahawa ada raksasa daripada tasik itu, namun Inderaputera sama sekali tidak gentar. Inderaputera telah berhadapan dengan raksasa tersebut. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan di bawah,

“Maka Inderaputera pun berjalan di tepi tasik itu dan berbunyi suatu suara itu demikianlah bunyinya, “Hai Inderaputera, ingat-ingat tuan hamba.” Maka didengar oleh Inderaputera bunyi suara itu. Maka dilihat ke kiri dan ke kanan, seorang pun tiada manusia dilihatnya, maka ia pun berjalan juga pada tasik itu maka dilihatnya oleh Inderaputera sepohon kayu. Maka lalu diusir. Maka sampailah Inderaputera ke bawah pohon kayu itu. Maka dilihat oleh Jndera¬putera itu mayat banyak terhantar di bawah pohon kayu itu.
Maka berkatalah Inderaputera, “Hai mayat, tuan hambakah yang berseru-seru kan hamba ini.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 28)

Berpegang teguh kepada janji
Nilai menepati janji ditonjolkan melalui watak Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran. Dalam hikayat ini, Inderaputera telah menyembunyikan baju Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran untuk mendapat batu gemala hikmah daripada tuan puteri. Setelah Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menyedari baju telah hilang, dia meminta Inderaputera menyerahkan bajunya dan dia berjanji akan menurut segala kemahuan Inderaputera. Keadaan ini dapat dilihat dalam petikan di bawah,

“Maka berkatalah Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran, “Hai kakanda, berilah mari bajunya beta itu dan gemala hikmat itu hamba berikan kepada kakanda.”
Maka diambil oleh Inderaputera baju itu lalu diberikan kepada tuan puteri.
Maka kata tuan puteri, “Hai kakanda, jikalau hendak akan hikmat itu marilah kakanda pergi ke mahligai hamba itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 28)

Mesej yang hendak disampaikan di sini ialah kita hendaklah menepati janji supaya dihormati oleh orang lain.

Nilai berwaspada
Nilai berwaspada boleh dicontohi melalui watak Maharaja Bikrama Buspa yang lalai terhadap burung merak emas telah mengakibatkan anaknya, Inderaputera dilarikan oleh burung berkenaan. Ahli nujum telah menasihati Maharaja Bikrama Buspa agar menjauhkan Inderaputera daripada binatang kerana ia boleh memudaratkan Inderaputera.  Keadaan ini dibuktikan dalam petikan di bawah,

“Hatta dalam berkata-kata maka Inderaputera pun turun daripada ribaan ayahanda baginda pergi melihat merak emas mengigal di atas talam itu. Maka tiba-tiba merak itu pun menyambar Inderaputera seraya diterbangkannya. Maka Inderaputera pun/ ghaibIah daripada mata baginda dan orang sekalian dan Maharaja Bikrama Buspa pun melihat anakanda baginda hilang. Maka baginda pun murca seketika. Setelah sedarlah akan dirinya dan baginda pun menangis dan segala isi istana pun gemparlah bertangis-tangisan, dan isi negeri pun dukacita mendengar Inderaputera hilang itu dan Maharaja B'ikrama Buspa pun terlalu dukacita sentiasa. Hatta maka Inderaputera pun diterbangkan merak emas.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 5)
Mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang berdasarkan petikan ini ialah kita hendaklah selalu berwaspada dan berhati-hati terhadap ancaman yang tidak dijangka-jangka. Jika kita tidak berwaspada ada kemungkinan perkara buruk akan berlaku.

ESTETIKA DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA

Estetika dalam Hikayat Inderaputera

Estetika memainkan peranan penting dalam sesebuah penulisan. Estetika akan mencerminkan nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera yang penentu kehadirannya dalam karya didorong oleh aspek teknik dan gaya penulisananya. Malah, konsep estetika itu sendiri menggambarkan bidang ilmu yang membicarakan keindahan yang merangkumi penghasilan sesuatu karya yang bermakna dan bagaimana seseorang boleh merasai dan menghayatinya.

Menurut Muhammad Haji Salleh (2006), orang Melayu sering mengutamakan pemlihan kata, ungkapan yang cantik, bermakna dan tajam dalam karya mereka. Begitu juga seperti dalam Hikayat Inderaputera. Pengarang telah menyelitkan unsur keindahan dalam menyampaikan isi penceritaan seperti menyelitkan pantun dalam perbualan antara dua pihak, menggunakan unsur magis dan mitos serta adanya unsur dramatik yang melibatkan pergaduhan sehingga wujudnya kesan memperhebat dengan tujuan memberi penekanan kepada jalan cerita Contohnya dalam petikan di bawah:

“ … Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuh Raja Dewa Lela Mengerna keluar api memancar-mancar.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 51)

Rasa keindahan yang wujud dalam teks juga berkait rapat dengan kemampuan teks tersebut menimbulkan perasaan pembaca seperti gembira, simpati, marah,, terharu, geram, dengki, cemburu dan sebagainya. Kebijaksanaan menyelitkan elemen keindahan memainkan peranan penting dalam menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya (Mohd Rashid Md. Idris, 2014). Dalam Hikayat Inderaputera, terdapat banyak unsur mitos dan hikmat yang diceritakan oleh pengarang sepanjang pengembaraan Inderaputera untuk bertemu Berma Sakti. Antaranya Hikmat Geliga Mayan Bedi, Gemala Hikmat, Cembul Mutiara, Cembul Kaca Putih dan banyak lagi. Kesemua ini melambangkan nnilai estetikanya yang tersendiri jikan pembaca menghayati jalan ceritanya.

Estetika didasari oleh dua perkara, iaitu sikap estetik dan pengalaman estetik. Sikap estetik merujuk kepada kehendak pembaca apabila membaca sesuatu karya, sama ada untuk keseronokan dan kenikmatan atau dengan tujuan lain seperti membuat perbandingan antara satu karya dengan karya lain. Oleh itu, sikap lebih merujuka kepada cara kita mengawal dan mengarah pengamatan. Manakala, pengalaman estetik pula merujuk kepada pengalaman manusia sejagat yang mengaplikasikan pengalaman hidup mereka dalam sesebuah karya.
Selain aspek estetika, seni bahasa yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera juga merangkumi aspek retorika dan gaya bahasa.

Retorika
Pendekatan retorika merupakan antara elemen asas dalam penulisan yang bertujuan untuk mempengaruhi pembaca. Kemampuan penulis menggarap isi dalam penulisan yang baik terletak pada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran analitis-logikal serta kemahiran menulis yang dimilikinya.

Penggunaan pendekatan retorika yang baik akan memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan tindakan pembaca atau pendengar. Terdapat pelbagai teknik retorika yang boleh diaplikasikan dalam penulisan bergantung kepada bentuk penulisan, motif penulis dan khalayak pembacanya. Berikut merupakan pendekatan retorik yang terdapat dalam petikan teks Hikayat Inderaputera yang telah kami kaji.

1. Pemerian
Pendekatan ini digunakan dalam penulisan bertujuan untuk menggambarkan sesuatu seperti pemandangan, kejadian, benda atau watak. Pemerian melibatkan penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Pengarang menggunakan teknik ini dalam penulisan untuk memberi gambaran visual yang jelas kepada khalayak pembaca. Berikut merupakan contoh pemerian dalam Hikayat Inderaputera. 

“Maka Inderaputera pun sampailah ke tasik Bahirul Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada emas urai dan gemersiknya itu daripada kuma-kuma dan pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang indah-indah.”
(Hikayat Inderaputera,1977: 70)

Berdasarkan contoh, pengarang telah menggunakan retorika pemerian bagi memperincikan dengan jelas ciri-ciri yang ada pada setiap unsur dalam ayat bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pembaca. Berikut merupakan contoh lain dalam hikayat.

“Sebermulanya perbendaharaan itu daripada batu yang hijau dan pintunya itu daripada tembaga suasa dan dipintunya itu adalah seekor ular.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 81)

“…berlarianlah hendak melihat rupa Inderaputera itu ada yang berurai-urai rambutnya sambil berjalan, ada yang berbaju sambil berjalan, dan ada yang tada berbaju, dan ada yang berselendang sahaja berjalan penuhlah pekan pesara.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 124)

2. Pemujukan
Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Menurut Abu Hassan Abdul (2013: 29), pemujukan merupakan usaha mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan dan pandangan seseorang. Berikut merupakan contoh pemujukan dalam Hikayat Inderaputera.

“ Ya, Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada dapat patik bercerai dengan cucunya hamba.”
“ Hai nenek kebayan, biarlah siang pada beta malam pada nenek kebayan, kerana beta tiada beranak,”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 8)

Contoh di atas menunjukkan bahasa yang digunakan oleh perdana menteri untuk memujuk nenek kebayan agar membenarkan Inderaputera tinggal bersamanya. Berikut merupakan contoh lain pemujukan dalam hikayat.

“ Hai anakku Inderaputera, pada bicaraku baiklah juga anakku duduk di sini barang setahun dua lagi…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 25)

3. Penerangan
Melibatkan penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu perkara secara terperinci dan tersusun. Contohnya:

“… ada seorang maharaja di negeri Sementa Putra dan nama raja itu Raja Bikrama Buspa dan akan raja-raja itu terlalu amat besar kerajaannya. Arakian beberapa raja-raja yang takluk kepada raja itu memberi ufti pada tiap-tiap tahun dan empat puluh raja-raja memakai pakaian yang keemasan sentiasa dengan alat senjata…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 2)

Gaya bahasa
Menurut Hasyim Awang (1987), gaya bahasa ialah cara penggunaan kata-kata dalam menyampaikan idea dan perasaan. Gaya bahasa merupakan susunan kata yang menjadi cara terbaik untuk menggambarkan keperibadian pengarang, fikiran dan tujuannya. Malah, tanpa gaya bahasa sesuatu teks akan kelihatan stereotaip, kaku dan mendatar kerana tiadanya lenturan bahasa mengikut kehendak pengarang dan selari dengan maksud yang hendak disampaikan. Berikut merupakan antara gaya bahasa yang terdapat dalam hikayat yang dikaji.

1. Anafora
Terletak di bawah skema perulangan yang melibatkan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa yang berurutan. Menurut Corbett dan Connors (1993) dalam Abu Hassan Abdul (2013: 78), pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat. Contohnya pengulangan perkataan maka dan adapun dalam contoh.

“ Maka ia pun berjalan pula beberapa melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun bertemu dengan binatang berbagai-bagai rupanya.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 78)

“ Adapun baginda itu ada puteranya seorang perempuan terlalu amat elok rupanya… Adapun hampir negeri Sementa Beranta itu ada sesuatu gua…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 128)

2. Epistrop
Terletak di bawah skema perulangan juga dan melibatkan pengulangan kata-kata yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan yang turut dikenali sebagai epifora ini akan memberikan penekanan yang khusus kepada elemen yang diulang. Contohnya dalam petikan hikayat di bawah yang melibatkan pengulangan perkataan Malik Zahab dan Dinun pada akhir klausa yang berurutan.

“… meneyembah seraya berjalan membawa merak itu pada Malik Zahab. Maka pada tatkala itu Inderaputera pun ada lagi duduk dengan Malik Zahab.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 101)

“ Maka kedua mereka itu pun bermohon lalu menuju ke negeri Dinun. … mereka itu pun bermohon lalu menuju ke negeri Dinun.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 132)

3. Personafikasi
Terletak di bawah majaz perbandingan kerana perkataan yang digunakan bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan. Personifikasi juga merupakan sejenis gaya bahasa penginsanan atau pemberian sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007: 87). Contohnya:

“…terurai-urai rambutnya seperti menampar dadanya..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 71)

Berdasarkan contoh di atas, gaya bahasa personifikasi atau pengorangan dapat dilihat pada perkataan yang bergaris dan ditebalkan. Rambut telah diberikan sifat yang sinonim dengan manusia, iaitu menampar. Berikut merupakan contoh lain.

“ … hairan melihat lakunya bayan itu berpantun berseloka itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 84)

“… ikan itu pun timbullah seraya berpantun dan tertawa melihat anak raja.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 85)

4. Simile
Terletak di bawah majaz perbandingan. Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Gaya bahasa simile sering menggunakan kata seperti, bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, „macam‟, dan sebagainya. Contoh dalam hikayat ini ialah:

“… laksana bunyi buluh perindu bunyinya itu terlalu amat merdu…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 137)

“…rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seribulan dan keningnya seperti bentuk taji, dan matanya seperti bintang timur…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 85)

5. Hiperbola
Terletak di bawah majaz pertentangan kerana sering menggunakan perkataan yang saling bertentangan dari segi makna. Hiperbola melibatkan penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat. Hiperbola juga boleh dikatakan sebagai gaya bahasa yang menggambarkan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan atau melampau-lampau. Contohnya:

“ … kena tubuh Raja Dewa Lela Mengerna keluar api memancar-mancar.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 51)

“ Maka gugur hujan mutiara dan ratna mutu manikam.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 145)

“ …jauhnya mahligai Tuan Puteri itu tujuh tahun burung terbang baharu sampai…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 67)

6. Polisindeton
Terletak di bawah skema perulangan dan dikenali sebagai gaya bahasa pengulangan kerana melibatkan penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa (Abu Hassan Abdul, 2013: 81). Contohnya:

“… pecan pasar itupun penuhlah, dan segala orang di pecan penuh sesaklah, dan segala dinding pun habislah roboh-roboh dan segala pagar habis condonglah..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 78)

Berdasarkan contoh di atas, kata hubung dan telah diulang dalam ayat untuk menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Berikut merupakan contoh lain yang terdapat dalam hikayat yang dikaji.

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 118)

7. Asonansi
Juga terletak di bawah skema perulangan yang melibatkan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang mungkin didahului dan diikuti oleh konsonan yang berbeza. Contohnya: 

“…berumbai-umbaikan mutiara.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 141)

“ … keemasan bertatahkan ratna mutu manikam…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 23)

8. Aliterasi
Terletak di bawah skema perulangan kerana melibatkan pengulangan konsonan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Contoh dalam hikayat:

“… parang-memarang tikam-menikam tengkis-menengkis panah-memanah...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 22)

“… panji-panji berpasuk-pasukan dan berbagai-bagai warnanya itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 136)

9. Asindeton
Terletak di bawah skema pengguguran kerana melibatkan pengguguran kata hubung antara siri klausa yang berhubungan. Asindeton merupakan lawan kepada polisindeton yang menggunakan lebih daripada satu kata hubung. Contoh dalam hikayat.

“ … bunyinya berbagai-bagai ragam daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap, merunggu, nafiri terlalu ramai.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 137)

10. Eufemisme
Terletak di bawah majaz pertautan yang melibatkan hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik atau perumpamaan kerana adanya hubungan dan petunjuk (Mohd Rashid Md. Idris, 2014: 198). Eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan dan disebut juga sebagai ucapan pemanis atau ungkapan lembut. Contohnya:

“ Hai saudaraku santaplah barang kiranya,…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 120)

“ Maka ia pun duduklah semayam dihadap oleh segala raja-raja…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 121)

11. Antitesis
Terletak di bawah skema seimbang yang merujuk kepada susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang menghasilkan makna berbeza. Gaya bahasa ini melibatkan penggabungan idea-idea yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya perkataan tuan dan hamba yang membawa maksud berbeza tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat. Begitu juga ayah bonda dan makan minum.

“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai Tuan Puteri itu..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 67)

“… berlari-lari seraya sujud menyembah pada kaki ayah bondanya.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 215)

“…dihadap oleh segala menteri hulubalang dan bala tenteranya sekalian dengan makan minum…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 83)

12. Paralelisme
Paralelisme juga terletak di bawah skema seimbang yang merujuk kepada kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan (Abu Hassan Abdul, 2013: 77). Berdasarkan contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan struktur bagi contoh pertama yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala contoh dua pula menyenaraikan pelbagai jenis binatang. 

“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap,bangsi.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 91)

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 118)

NILAI ILMU DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA

NILAI ILMU DALAM KARYA HIKAYAT INDERAPUTERA

KONSEP ILMU
Ilmu menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin, dan lain-lain. Ilmu sangat penting disebarkan kepada orang lain agar ilmu tersebut memberi manfaat kepada orang yang menuntutnya. Antara tujuan ilmu disebarkan adalah untuk menambahkan ilmu pengetahuan orang lain, mengembangkan perkara yang mengandungi pelbagai kemusykilan, dan sebagainya. Berdasarkan Hikayat Inderaputera yang telah dikaji, berikut ialah ilmu yang terkandung dalam karya agung ini iaitu ilmu firasat, ilmu pendukunan, dan ilmu sakti.

Ilmu Firasat
Firasat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Ilmu firasat seringkali dikaitkan dengan tilikan atau ramalan ahli nujum. Namun demikian, selain ahli nujum juga, ada juga orang-orang yang istimewa turut diberikan keistimewaan melihat masa hadapan atau melihat nasib orang lain.
       Sulastrin Sutrisno mengatakan bahawa orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat, atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku dan dengan ilmu ini juga mereka dapat mengetahui kelemahan dan kekuatan orang lain berdasarkan nama, hari, dan ketika. (Modul Karya Agung Melayu BMS3022:158). Ilmu tilikan ini sangat penting bagi pahlawan-pahlawan dahulu kala kerana ia dapat membantu mereka menewaskan musuh dengan mengetahui serba sedikit latar belakang lawannya itu. Secara umumnya, ilmu firasat ini dapat dibahagikan kepada tiga iaitu firasat tilik nasib, firasat mimpi, dan firasat terhadap binatang, dan . Namun demikian, pengkaji telah menambah satu lagi ilmu firasat, iaitu firasat gerak hati, kerana dalam Hikayat Inderaputera ini, banyak firasat seperti ini yang ditonjolkan.

Firasat Tilikan
Hasil kajian terhadap hikayat Inderaputera pengkaji mendapati, firasat tilikan ini telah digunakan oleh penulis sejak dari awal penulisannya lagi. Sebagai contoh firasat tilikan yang terdapat dalam karya agung ini ialah tilikan ahli nujum terhadap anak Bikrama Buspa iaitu Raja Inderaputera selepas kelahirannya, amaran jin Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran terhadap Inderaputera semasa menerbangkannya melintasi gunung berapi, dan tilikan ahli nujum terhadap jalan penyelesaian bagi permasalahan Tuan Puteri Seganda Cahaya Iram dengan dua anak raja mambang:
“... Baginda pun menyuruh akan orang memanggil segala ahlil nujum dan sastrawan. Setelah datanglah segala ahlil nujum maka baginda pun memberi titah kepada segala ahlil nujum, “Maka lihatlah oleh tuan-tuan sekalian betapakah kebesaran anakku ini.”
(Bab 1, halaman 2)
“Maka kata jin itu, “Jikalau hambamu menerbangkan tuan hamba hubaya-hubaya jangan tuan hamba minta air. Jika tuan hamba minta air nescaya jatuh tuan hamba ke tasik Bahrul Asyik itu.”
(Bab VII, halaman 67)
“Maka disuruhlah panggil segala ahlil nujum. Maka berkata mangkubumi kepada segala ahlil nujum itu-lihatnya olehmu pada nujum itu, hamba pinta lihat baik dengan sebenarnya akan keadaan tuan puteri ini betapa kelak kesudahannya akan jadinya. Maka ahlil nujum itu pun melihat nujumnya ...”
(Bab VII, halaman 75)

Firasat Mimpi
Firasat mimpi tidak banyak dalam Hikayat Inderaputera, adapun hanya mimpi Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran tentang naga yang sangat cantik, dalam hikayat ini, naga yang dimimpinya itu ialah Inderaputera. Berikut ialah contoh dialog Tuan Puteri tersebut:
“... Maka kita tidur lalu bermimpi hampir dinihari juga rasanya. Maka datang seekor naga maka dipagutnya pinggangku tiada lekat pada tubuhku rasanya dan aku lihat rupa naga itu terlalu indah sekali...”
(Bab V, halaman 31)

Firasat Gerak Hati
Firasat gerak hati yang ditonjolkan dalam karya agung ini semuanya ialah hal yang benar-benar terjadi atau bakal terjadi. Sebagai contohnya ilmu firasat gerak hati ini dalam karya ini ialah gerak hati nenek kepada Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran terhadap cucunya yang akan mandi di Tasik Semenda Jin, dan gerak hati raja-raja yang pernah bertemu Inderaputera dengan mengatakan yang Inderaputera sedang berperang dengan Raja Gurjanis, seperti yang berikut:
 “Dan berkata peri itu, “Hai cucuku, pergilah cucu pada tengah malam ini duduk pada tepi tasik itu dan cucuku duduk bersembunyi baik-baik jangan kelihatan kepadanya. Syahada barang siapa menanggalkan bajunya dahulu itu maka ditaruhnya pada sajian perak itu, dan yang berlangir dahulu itulah tuan puteri, dan barang tipu daya pun cucuku ambil juga bajunya itu.”
(Bab V, halaman 32)
“... Hatta maka terdengarlah kepada segala raja-raja yang bertemu dengan Inderaputera itu katanya, “ Perasaanku bahawa Inderaputera itu berperang dengan Raja Gurjanis.”
(Bab IX, halaman 116)



Ilmu Perdukunan
Dukun menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh, dan pawang. Manakala perdukunan pula bermaksud perkara yang berkaitan atau yang mengenai dengan perubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Dalam Hikayat Inderaputera ini, dukun yang ada pada masa itu ialah Berma Sakti. Berma Sakti mempunyai kepakaran dalam mengubati orang yang sakit hendak beranak atau ubat untuk mendapatkan anak (zuriai). Ubat yang digunakan pula ialah bunga tanjung putih yang perlu dimasak dan diberi makan kepada Raja Syahian dan isterinya.
“Syahadan nama baginda itu Berma Sakti. Jikalau hendak seorang minta ubat sakit anak beranak pergilah kepadanya minta ubat kepada baginda itu...”
(Bab III, halaman 13)
“Maka sembah Inderaputera, “Ya tuanku, betapa peri bunga tanjung putih itu?” Maka ujar Berma Sakti, “Hai anakku ada pun bunga itu berikan kepada Raja Syahian suruh ia sayur. Setelah sudah masak anakku suruh Raja Syahian makan bunga itu... Maka dapatlah berputera”
(Bab XI, halaman 166)

ILMU SAKTI
Ilmu sakti ialah ilmu yang dimiliki oleh seseorang yang dianggap istimewa kerana bukan calang-calang orang yang boleh memiliki ilmu ini. Ilmu sakti perlu digunakan untuk kebaikan dan tidak boleh disalahgunakan untuk tujuan yang tidak baik. Hal ini demikian kerana pelbagai masalah atau perkara yang buruk akan berlaku jika ilmu tersebut digunakan untuk tujuan atau kepentingan diri. Dalam Hikayat Inderaputera ini, pengarang menceritakan bahawa Inderaputera mempunyai banyak hikmat dan kuasa sakti. Segala ilmu atau barang hikmat tersebut diperoleh Inderaputera sepanjang perjalanannya untuk berjumpa dengan Berma Sakti.
Hikmat yang pertama yang diperoleh Inderaputera ialah Hikmat Geliga Mayan Bendi.
“Maka berkatalah peri itu,”Ada suatu Geliga Mayan Bendi namanya. Jika tuanku mau kuberikan. Adapun gunanya jikalau hendak mengeluarkan angin  dan ombak atau kilat atau petir halilintar citalah namaku dan tambangkan geliga itu nescaya barang kehendak tuan jadilah.”
(Bab V, halaman 28)
Hikmat yang kedua pula ialah Gemala Hikmat milik Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran.
“Maka sahut tuan puteri,” Hai kakanda ambillah gemala hikmat itu oleh kakanda. Adapun pergunanya himat itu terlalu banyak.”
(Bab V, halaman 47)
Hikmat yang ketiga pula ialah Inderaputera telah dihadiahkan oleh bonda Tuan Puteri Seganda Cahaya Iram sebuah cembul mutiara.
“... Maka sahut bonda tuan puteri, “Hai anakku Inderaputera, adapun jikalau ditambangkan cembul ini dibumi nescaya menjadi sebuah mahligai dengan sepertinya serta dengan perhiasannya dengan alat takhta kerajaannya. Apabila kita masuki seperti sebuah mahligai demikianlah perasaanya.”
(Bab VII, halaman 79)
Hikmat yang seterusnya ialah Inderaputera memiliki kuda yang bernama Janggi Gerdana. Keistimewaan Janggi Gerdana ialah kuda ini boleh terbang kemana sahaja yang Inderaputera mahu, kuda yang kuat, lajunya ia seperti kilat, dan menurut perintah tuannya.
(Bab VIII, halaman 80)
Ilmu hikmat yang ada pada Inderaputera juga ialah hikmat menghidupkan orang yang telah mati dengan menggunakan Gemala Bedi Zahar, dan atas kebesaran dan kehendak Tuhan Yang Maha Besar juga. Hikmat ini diperoleh Inderaputera dari seekor ular yang digelar Ular Mamdud.
“...Adapaun jika ada bedi Zahar itu dibubuhkan kepada orang mati nescaya hidup pula...”
(Bab VIII, halaman 82)
Hikmat yang ketujuh pula ialah Inderaputera menerima kain sutera puri yang halus seperti embun. Kain ini diberikan oleh Raja Dewa Langkurba iaitu nenek kepada Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran.
“... Hai cucuku Inderaputera. Maka inilah kain sehelai. Adapun kain sutera puri namanya, halus seperti embun... Adapun kain ini jikalau ada orang sakit, jikalau pecah-pecah tubuhnya sekalipun, jikalau engkau tudungkan kepadanya dan engkau siramkan dengan air mawar yang baik nescaya afiatlah ia.”
(Bab XIII, halaman 175)
Inderaputera juga dalam hikayat ini mempunyai pelbagai hikmat-hikmat yang lain, malah ilmu kesaktian juga ada dipelajari oleh baginda daripada anak-anak dewa, Berma Sakti, dan sebagainya.