Wednesday 20 May 2015

ESTETIKA DALAM HIKAYAT INDERAPUTERA

Estetika dalam Hikayat Inderaputera

Estetika memainkan peranan penting dalam sesebuah penulisan. Estetika akan mencerminkan nilai keindahan dalam sesebuah karya sastera yang penentu kehadirannya dalam karya didorong oleh aspek teknik dan gaya penulisananya. Malah, konsep estetika itu sendiri menggambarkan bidang ilmu yang membicarakan keindahan yang merangkumi penghasilan sesuatu karya yang bermakna dan bagaimana seseorang boleh merasai dan menghayatinya.

Menurut Muhammad Haji Salleh (2006), orang Melayu sering mengutamakan pemlihan kata, ungkapan yang cantik, bermakna dan tajam dalam karya mereka. Begitu juga seperti dalam Hikayat Inderaputera. Pengarang telah menyelitkan unsur keindahan dalam menyampaikan isi penceritaan seperti menyelitkan pantun dalam perbualan antara dua pihak, menggunakan unsur magis dan mitos serta adanya unsur dramatik yang melibatkan pergaduhan sehingga wujudnya kesan memperhebat dengan tujuan memberi penekanan kepada jalan cerita Contohnya dalam petikan di bawah:

“ … Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuh Raja Dewa Lela Mengerna keluar api memancar-mancar.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 51)

Rasa keindahan yang wujud dalam teks juga berkait rapat dengan kemampuan teks tersebut menimbulkan perasaan pembaca seperti gembira, simpati, marah,, terharu, geram, dengki, cemburu dan sebagainya. Kebijaksanaan menyelitkan elemen keindahan memainkan peranan penting dalam menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya (Mohd Rashid Md. Idris, 2014). Dalam Hikayat Inderaputera, terdapat banyak unsur mitos dan hikmat yang diceritakan oleh pengarang sepanjang pengembaraan Inderaputera untuk bertemu Berma Sakti. Antaranya Hikmat Geliga Mayan Bedi, Gemala Hikmat, Cembul Mutiara, Cembul Kaca Putih dan banyak lagi. Kesemua ini melambangkan nnilai estetikanya yang tersendiri jikan pembaca menghayati jalan ceritanya.

Estetika didasari oleh dua perkara, iaitu sikap estetik dan pengalaman estetik. Sikap estetik merujuk kepada kehendak pembaca apabila membaca sesuatu karya, sama ada untuk keseronokan dan kenikmatan atau dengan tujuan lain seperti membuat perbandingan antara satu karya dengan karya lain. Oleh itu, sikap lebih merujuka kepada cara kita mengawal dan mengarah pengamatan. Manakala, pengalaman estetik pula merujuk kepada pengalaman manusia sejagat yang mengaplikasikan pengalaman hidup mereka dalam sesebuah karya.
Selain aspek estetika, seni bahasa yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera juga merangkumi aspek retorika dan gaya bahasa.

Retorika
Pendekatan retorika merupakan antara elemen asas dalam penulisan yang bertujuan untuk mempengaruhi pembaca. Kemampuan penulis menggarap isi dalam penulisan yang baik terletak pada input-input bahasa, pengalaman, maklumat, pemikiran analitis-logikal serta kemahiran menulis yang dimilikinya.

Penggunaan pendekatan retorika yang baik akan memberi kesan yang mendalam terhadap emosi dan tindakan pembaca atau pendengar. Terdapat pelbagai teknik retorika yang boleh diaplikasikan dalam penulisan bergantung kepada bentuk penulisan, motif penulis dan khalayak pembacanya. Berikut merupakan pendekatan retorik yang terdapat dalam petikan teks Hikayat Inderaputera yang telah kami kaji.

1. Pemerian
Pendekatan ini digunakan dalam penulisan bertujuan untuk menggambarkan sesuatu seperti pemandangan, kejadian, benda atau watak. Pemerian melibatkan penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Pengarang menggunakan teknik ini dalam penulisan untuk memberi gambaran visual yang jelas kepada khalayak pembaca. Berikut merupakan contoh pemerian dalam Hikayat Inderaputera. 

“Maka Inderaputera pun sampailah ke tasik Bahirul Asyikin dan dilihatnya tasik itu rumputnya daripada emas urai dan gemersiknya itu daripada kuma-kuma dan pasirnya daripada emas urai dan gersiknya itu daripada kapur barus dan lumpurnya itu daripada kasturi dan batunya itu daripada permata yang indah-indah.”
(Hikayat Inderaputera,1977: 70)

Berdasarkan contoh, pengarang telah menggunakan retorika pemerian bagi memperincikan dengan jelas ciri-ciri yang ada pada setiap unsur dalam ayat bagi memberikan gambaran yang lebih jelas kepada pembaca. Berikut merupakan contoh lain dalam hikayat.

“Sebermulanya perbendaharaan itu daripada batu yang hijau dan pintunya itu daripada tembaga suasa dan dipintunya itu adalah seekor ular.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 81)

“…berlarianlah hendak melihat rupa Inderaputera itu ada yang berurai-urai rambutnya sambil berjalan, ada yang berbaju sambil berjalan, dan ada yang tada berbaju, dan ada yang berselendang sahaja berjalan penuhlah pekan pesara.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 124)

2. Pemujukan
Retorik pemujukan menggunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. Menurut Abu Hassan Abdul (2013: 29), pemujukan merupakan usaha mengubah dan mempengaruhi pemikiran, keyakinan dan pandangan seseorang. Berikut merupakan contoh pemujukan dalam Hikayat Inderaputera.

“ Ya, Tuanku Perdana Menteri, seketika pun tiada dapat patik bercerai dengan cucunya hamba.”
“ Hai nenek kebayan, biarlah siang pada beta malam pada nenek kebayan, kerana beta tiada beranak,”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 8)

Contoh di atas menunjukkan bahasa yang digunakan oleh perdana menteri untuk memujuk nenek kebayan agar membenarkan Inderaputera tinggal bersamanya. Berikut merupakan contoh lain pemujukan dalam hikayat.

“ Hai anakku Inderaputera, pada bicaraku baiklah juga anakku duduk di sini barang setahun dua lagi…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 25)

3. Penerangan
Melibatkan penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. Retorik ini berfungsi untuk memberi penjelasan mengenai sesuatu perkara secara terperinci dan tersusun. Contohnya:

“… ada seorang maharaja di negeri Sementa Putra dan nama raja itu Raja Bikrama Buspa dan akan raja-raja itu terlalu amat besar kerajaannya. Arakian beberapa raja-raja yang takluk kepada raja itu memberi ufti pada tiap-tiap tahun dan empat puluh raja-raja memakai pakaian yang keemasan sentiasa dengan alat senjata…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 2)

Gaya bahasa
Menurut Hasyim Awang (1987), gaya bahasa ialah cara penggunaan kata-kata dalam menyampaikan idea dan perasaan. Gaya bahasa merupakan susunan kata yang menjadi cara terbaik untuk menggambarkan keperibadian pengarang, fikiran dan tujuannya. Malah, tanpa gaya bahasa sesuatu teks akan kelihatan stereotaip, kaku dan mendatar kerana tiadanya lenturan bahasa mengikut kehendak pengarang dan selari dengan maksud yang hendak disampaikan. Berikut merupakan antara gaya bahasa yang terdapat dalam hikayat yang dikaji.

1. Anafora
Terletak di bawah skema perulangan yang melibatkan pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa yang berurutan. Menurut Corbett dan Connors (1993) dalam Abu Hassan Abdul (2013: 78), pengulangan ini akan menghasilkan kesan emosi yang kuat. Contohnya pengulangan perkataan maka dan adapun dalam contoh.

“ Maka ia pun berjalan pula beberapa melalui hutan dan padang. Maka Inderaputera pun bertemu dengan binatang berbagai-bagai rupanya.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 78)

“ Adapun baginda itu ada puteranya seorang perempuan terlalu amat elok rupanya… Adapun hampir negeri Sementa Beranta itu ada sesuatu gua…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 128)

2. Epistrop
Terletak di bawah skema perulangan juga dan melibatkan pengulangan kata-kata yang sama pada akhir klausa yang berturutan. Pengulangan yang turut dikenali sebagai epifora ini akan memberikan penekanan yang khusus kepada elemen yang diulang. Contohnya dalam petikan hikayat di bawah yang melibatkan pengulangan perkataan Malik Zahab dan Dinun pada akhir klausa yang berurutan.

“… meneyembah seraya berjalan membawa merak itu pada Malik Zahab. Maka pada tatkala itu Inderaputera pun ada lagi duduk dengan Malik Zahab.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 101)

“ Maka kedua mereka itu pun bermohon lalu menuju ke negeri Dinun. … mereka itu pun bermohon lalu menuju ke negeri Dinun.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 132)

3. Personafikasi
Terletak di bawah majaz perbandingan kerana perkataan yang digunakan bersifat membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan. Personifikasi juga merupakan sejenis gaya bahasa penginsanan atau pemberian sifat-sifat manusia kepada sesuatu benda, binatang, tumbuh-tumbuhan, keadaan, peristiwa, barang yang tidak bernyawa atau idea yang abstrak (Nik Hassan Basri Nik Ab. Kadir, 2007: 87). Contohnya:

“…terurai-urai rambutnya seperti menampar dadanya..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 71)

Berdasarkan contoh di atas, gaya bahasa personifikasi atau pengorangan dapat dilihat pada perkataan yang bergaris dan ditebalkan. Rambut telah diberikan sifat yang sinonim dengan manusia, iaitu menampar. Berikut merupakan contoh lain.

“ … hairan melihat lakunya bayan itu berpantun berseloka itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 84)

“… ikan itu pun timbullah seraya berpantun dan tertawa melihat anak raja.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 85)

4. Simile
Terletak di bawah majaz perbandingan. Simile merupakan perbandingan terus, iaitu membandingkan dua hal yang pada hakikatnya berlainan tetapi dengan sengaja kita menganggapnya sama. Gaya bahasa simile sering menggunakan kata seperti, bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, „macam‟, dan sebagainya. Contoh dalam hikayat ini ialah:

“… laksana bunyi buluh perindu bunyinya itu terlalu amat merdu…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 137)

“…rambutnya laksana cincin dituang, dahinya seperti seribulan dan keningnya seperti bentuk taji, dan matanya seperti bintang timur…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 85)

5. Hiperbola
Terletak di bawah majaz pertentangan kerana sering menggunakan perkataan yang saling bertentangan dari segi makna. Hiperbola melibatkan penggunaan istilah yang membesar-besarkan dengan tujuan memberi penekanan atau kesan memperhebat. Hiperbola juga boleh dikatakan sebagai gaya bahasa yang menggambarkan sesuatu perkara itu secara berlebih-lebihan atau melampau-lampau. Contohnya:

“ … kena tubuh Raja Dewa Lela Mengerna keluar api memancar-mancar.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 51)

“ Maka gugur hujan mutiara dan ratna mutu manikam.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 145)

“ …jauhnya mahligai Tuan Puteri itu tujuh tahun burung terbang baharu sampai…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 67)

6. Polisindeton
Terletak di bawah skema perulangan dan dikenali sebagai gaya bahasa pengulangan kerana melibatkan penggunaan kata hubung yang melebihi daripada jumlah yang lazim digunakan menurut rumus tatabahasa (Abu Hassan Abdul, 2013: 81). Contohnya:

“… pecan pasar itupun penuhlah, dan segala orang di pecan penuh sesaklah, dan segala dinding pun habislah roboh-roboh dan segala pagar habis condonglah..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 78)

Berdasarkan contoh di atas, kata hubung dan telah diulang dalam ayat untuk menghasilkan kesan penegasan yang jitu. Berikut merupakan contoh lain yang terdapat dalam hikayat yang dikaji.

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 118)

7. Asonansi
Juga terletak di bawah skema perulangan yang melibatkan pengulangan bunyi vokal yang sama dalam suku kata yang mungkin didahului dan diikuti oleh konsonan yang berbeza. Contohnya: 

“…berumbai-umbaikan mutiara.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 141)

“ … keemasan bertatahkan ratna mutu manikam…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 23)

8. Aliterasi
Terletak di bawah skema perulangan kerana melibatkan pengulangan konsonan dalam dua atau lebih kata-kata yang bersebelahan. Contoh dalam hikayat:

“… parang-memarang tikam-menikam tengkis-menengkis panah-memanah...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 22)

“… panji-panji berpasuk-pasukan dan berbagai-bagai warnanya itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 136)

9. Asindeton
Terletak di bawah skema pengguguran kerana melibatkan pengguguran kata hubung antara siri klausa yang berhubungan. Asindeton merupakan lawan kepada polisindeton yang menggunakan lebih daripada satu kata hubung. Contoh dalam hikayat.

“ … bunyinya berbagai-bagai ragam daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap, merunggu, nafiri terlalu ramai.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 137)

10. Eufemisme
Terletak di bawah majaz pertautan yang melibatkan hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik atau perumpamaan kerana adanya hubungan dan petunjuk (Mohd Rashid Md. Idris, 2014: 198). Eufemisme digunakan bagi memperhalus kata-kata atau ungkapan dan disebut juga sebagai ucapan pemanis atau ungkapan lembut. Contohnya:

“ Hai saudaraku santaplah barang kiranya,…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 120)

“ Maka ia pun duduklah semayam dihadap oleh segala raja-raja…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 121)

11. Antitesis
Terletak di bawah skema seimbang yang merujuk kepada susunan sesuatu perkataan secara seimbang yang menghasilkan makna berbeza. Gaya bahasa ini melibatkan penggabungan idea-idea yang bertentangan dalam kedudukan berdampingan. Contohnya perkataan tuan dan hamba yang membawa maksud berbeza tetapi diletakkan secara berdampingan dalam ayat. Begitu juga ayah bonda dan makan minum.

“… tahukah akan tuan hamba jauhnya mahligai Tuan Puteri itu..”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 67)

“… berlari-lari seraya sujud menyembah pada kaki ayah bondanya.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 215)

“…dihadap oleh segala menteri hulubalang dan bala tenteranya sekalian dengan makan minum…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 83)

12. Paralelisme
Paralelisme juga terletak di bawah skema seimbang yang merujuk kepada kesamaan struktur dalam pasangan atau siri kata-kata, frasa-frasa atau klausa-klausa yang berhubungan (Abu Hassan Abdul, 2013: 77). Berdasarkan contoh di bawah, dapat dilihat wujudnya kesamaan struktur bagi contoh pertama yang menyenaraikan pelbagai jenis alat muzik, manakala contoh dua pula menyenaraikan pelbagai jenis binatang. 

“… bunyi-bunyian pun berbunyilah daripada harebab, kecapi, dandi, muri, serdam, mendali, kopak, ceracap,bangsi.
(Hikayat Inderaputera, 1977: 91)

“ … maka kelihatanlah tenteranya kera dan beruk dan lontong dan kongkang dan kerkah dan siamang itupun berlompatan ...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 118)

No comments:

Post a Comment