Isi dan Pemikiran
Isi
bermaksud kandung karya yang telah dikupas dan ditulis oleh penulis manakala
mesej pula membawa maksud gagasan atau pengajaran yang hendai disampaikan dalam
sesebuah hikayat. Dalam hikayat Inderaputera, terdapat pelbagai isi dan mesej
yang dapat dipetik ketika menganalisis karya ini. Antaranya ialah unsur keindahan,
nilai kasih sayang, sikap pemurah pemerintah, mementingkan pendidikan agama, keberanian,
kebijaksanaan, menepati janji, berbudi bahasa dan sikap berwaspada.
Unsur
keindahan
Dalam
hikayat Inderaputera, kita dapat lihat bahawa pengarang banyak memasukkan unsur-unsur keindahan dalam karyanya. Menurut Braginsky (1994:18), istilah
“keindahan” merupakan salah sebuah istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan
Melayu. Seorang pengarang harus mencari perkataan yang selari dengan perasaan
yang membawa konotasi melalui bunyinya. Unsur kehalusan dan penghalusan sudah
dimasukkan melalui rasa estetik pengarang. Ia merupakan satu tradisi dan
konvensi dalam kesusasteraan Melayu Tradisional dimana pengarangnya tidak boleh
lari dari membincangkannya dalam karyanya.
Menurut
Muhammad Haji Salleh (2000:111) pula, “yang indah itu boleh berupa ‘perkataan’,
atau ‘ceritera’ atau ‘watak’.” Pada awal kisah lagi, Hikayat Inderaputera telah
menonjolkan unsur keindahan:
Setelah sudah ia makan maka hairanlah
sekali Inderaputera melihat kekayaan Tuhan. Maka ia pun menuju matahari dan
beberapa melalui bukit dan padang.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 18)
“Maka Inderaputera pun hairanlah melihat
burung itu indah-indah rupanya dan Inderaputera pun berjalan pula dari sana
beberapa ia melihat kekayaannya Tuhan Yang Mahabesar, dan datanglah pada bukit
tembaga suasa...”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 65)
Di sini
kita dapat lihat bahawa perkataannya, iaitu bahasanya, kemerduannya, kias
ibarat dan susunannya sangat indah. Dari mukadimah hikayat tersebut telah
mendefinisikan tujuan dan bentuknya. Yang indah itu juga membawa kemasyuran dan
daerah yang lebih luas sehingga meliputi ke seluruh dunia. Di samping itu,
permulaan hikayat telah pun menemui penutupnya.
Selain itu, dalam hikayat ini juga
sering dikaitkan dengan ‘kekayaan Tuhan’. Keindahan itu dilihat sebagai hasil
Tuhan Maha Pencipta. Menurut Braginsky (1994:18), pengertian ‘indah’
disepadankan secara tertentu dengan konsep kuasa Tuhan (kekayaan Allah).
Keindahan adalah wujud sempurna yang dikurniakan Allah kepada benda-benda dan
munculnya sifat indah pada sebuah benda bermakna benda itu telah tercipta
(wujud).
Nilai kasih sayang
Mesej
mengenai nilai kasih sayang telah ditunjukkan oleh Maharaja Bikrama Buspa yang
begitu sayangkan anakandanya Inderaputera. Nilai kasih sayang ini telah
ditonjolkan oleh maharaja ketika menyambut kelahiran Inderaputera. Maharaja
Bikrama Buspa begitu gembira dengan kelahiran Inderaputera, baginda telah
mengadakan majlis secara besar-besaran bagi meraikan kelahiran puteranya.
Selain itu, Maharaja Bikrama Buspa juga memanggil semua ahli nujum untuk
menilik nasib dan kebesaran anakandanya. Hal ini dapat dilihat dalam petikan
tersebut,
“…Tuan Puteri pun beranaklah seorang laki-laki
terlalu sekali elok paras rupanya seperti matahari baharu terbit
gilang-gemilang. Setelah itu maka baginda pun berasa amat sukacitanya. Maka
dititahkan oleh Baginda akan orang memalu segala bunyi¬bunyian seperti adat
raja-raja beroleh putera demikianlah adanya. Maka lalu Baginda menamai akan
anakanda baginda Inderaputera”
Setelah datanglah segala ahlil nujum
maka baginda pun memberi titah kepada segala ahlil nujum, “Maka lihatlah oleh
tuan-tuan sekalian betapakah kebesaran anakku ini.”
(Hikayat Inderaputera,
1977: 2)
Sikap
pemurah pemerintah
Mesej lain
yang hendak ditunjukkan dalam hikayat Inderaputera ialah sikap pemurah
pemerintah iaitu Maharaja Bikrama Buspa. Ketika hari meraikan kelahiran
Inderaputera, Maharaja Bikrama Buspa telah menganugerahkan sepersalinan pakaian
kepada ahli-ahli nujum yang menilik nasib anaknya. Baginda juga memberi sedekah
dan persalinan kepada anak raja-raja dan orang kenamaan yang lain. Sikap
pemurah ini dapat dilihat dalam petikan di bawah,
“Maka Maharaja Bikrama Buspa mendengar
sembah segala ahlil nujum itu demikian. Maka Baginda pun memberi anugerah akan
segala ahlil nujum itu sastrawan dan pada segala fakir dan miskin pun menjadi
kayalah daripada limpah kurnia Baginda memberi sedekah dan persalinan pada
segala anak raja-raja dan pada segala menteri hulubalang dan pada segala orang
kaya-kaya Setelah sudah memberi persalinan maka baginda pun berjaga-jaga sekira
empat puluh hari dan empat puluh malam makan minum bersuka-sukaan dengan segala
anak raja-raja dan segala menteri hulubalang dan orang kaya-kaya.”
(Hikayat
Inderaputera, 1977: 2)
Sikap
mementingkan pendidikan agama
Pengarang
hikayat Inderaputera juga ingin meyampaikan mesej mengenai masyarakat Melayu
zaman dahulu yang mementingkan pendidikan agama kepada anak-anak. Walaupun,
hikayat ini hampir sepenuhnya menceritakan mengenai dunia kayangan dan
dewa-dewi namun pengarang masih memasukkan unsur agama Islam dalam karya ini.
Hal ini dapat dilihat melalui petikan karya di bawah,
“Hatta beberapa lamanya sekira-kira
tujuh lamanya maka Inderaputra pun tahulah sudah mengaji Quran dan Maharaja
Bikrama Buspa pun semakin sangat kasih gemar 'akan anakanda baginda dan
seketika pun tiada mahu bercerai daripada anakanda baginda...”
(Hikayat
Inderaputera, 1977: 3)
Maharaja
Bikrama Buspa telah memberi pendidikan agama Islam kepada anaknya, Inderaputera
sejak anaknya itu masih kanak-kanak lagi. Mesej yang hendaklah disampaikan
dalam petikan ini ialah kita hendaklah memberikan pendidikan agama kepada
anak-anak.
Nilai
keberanian
Nilai keberanian
ditonjolkan oleh watak utama dalam hikayat ini iaitu watak Inderaputera. Semasa
Inderaputera berjalan di tepi tasik, Inderaputera mendengar suara memberi
nasihat agar dia berhati-hati tetapi dia manusia yang kelihatan. Inderaputera
menuju ke sepohon pokok dan dilihatnya banyak mayat yang bergelimpangan. Suara
itu datang daripada mayat-mayat tersebut. Mayat tersebut memberitahu
Inderaputera bahawa ada raksasa daripada tasik itu, namun Inderaputera sama
sekali tidak gentar. Inderaputera telah berhadapan dengan raksasa tersebut. Hal
ini dapat dibuktikan dalam petikan di bawah,
“Maka Inderaputera pun berjalan di tepi
tasik itu dan berbunyi suatu suara itu demikianlah bunyinya, “Hai Inderaputera,
ingat-ingat tuan hamba.” Maka didengar oleh Inderaputera bunyi suara itu. Maka
dilihat ke kiri dan ke kanan, seorang pun tiada manusia dilihatnya, maka ia pun
berjalan juga pada tasik itu maka dilihatnya oleh Inderaputera sepohon kayu.
Maka lalu diusir. Maka sampailah Inderaputera ke bawah pohon kayu itu. Maka dilihat
oleh Jndera¬putera itu mayat banyak terhantar di bawah pohon kayu itu.
Maka berkatalah Inderaputera, “Hai
mayat, tuan hambakah yang berseru-seru kan hamba ini.”
(Hikayat
Inderaputera, 1977: 28)
Berpegang
teguh kepada janji
Nilai
menepati janji ditonjolkan melalui watak Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran.
Dalam hikayat ini, Inderaputera telah menyembunyikan baju Tuan Puteri Seri
Ratna Gemala Nehran untuk mendapat batu gemala hikmah daripada tuan puteri.
Setelah Tuan Puteri Seri Ratna Gemala Nehran menyedari baju telah hilang, dia
meminta Inderaputera menyerahkan bajunya dan dia berjanji akan menurut segala
kemahuan Inderaputera. Keadaan ini dapat dilihat dalam petikan di bawah,
“Maka berkatalah Tuan Puteri Seri Ratna
Gemala Nehran, “Hai kakanda, berilah mari bajunya beta itu dan gemala hikmat
itu hamba berikan kepada kakanda.”
Maka diambil oleh Inderaputera baju itu
lalu diberikan kepada tuan puteri.
Maka kata tuan puteri, “Hai kakanda,
jikalau hendak akan hikmat itu marilah kakanda pergi ke mahligai hamba itu.”
(Hikayat
Inderaputera, 1977: 28)
Mesej yang
hendak disampaikan di sini ialah kita hendaklah menepati janji supaya dihormati
oleh orang lain.
Nilai
berwaspada
Nilai
berwaspada boleh dicontohi melalui watak Maharaja Bikrama Buspa yang lalai
terhadap burung merak emas telah mengakibatkan anaknya, Inderaputera dilarikan
oleh burung berkenaan. Ahli nujum telah menasihati Maharaja Bikrama Buspa agar
menjauhkan Inderaputera daripada binatang kerana ia boleh memudaratkan
Inderaputera. Keadaan ini dibuktikan
dalam petikan di bawah,
“Hatta dalam berkata-kata maka
Inderaputera pun turun daripada ribaan ayahanda baginda pergi melihat merak
emas mengigal di atas talam itu. Maka tiba-tiba merak itu pun menyambar
Inderaputera seraya diterbangkannya. Maka Inderaputera pun/ ghaibIah daripada
mata baginda dan orang sekalian dan Maharaja Bikrama Buspa pun melihat anakanda
baginda hilang. Maka baginda pun murca seketika. Setelah sedarlah akan dirinya
dan baginda pun menangis dan segala isi istana pun gemparlah
bertangis-tangisan, dan isi negeri pun dukacita mendengar Inderaputera hilang
itu dan Maharaja B'ikrama Buspa pun terlalu dukacita sentiasa. Hatta maka
Inderaputera pun diterbangkan merak emas.”
(Hikayat
Inderaputera, 1977: 5)
Mesej
yang hendak disampaikan oleh pengarang berdasarkan petikan ini ialah kita
hendaklah selalu berwaspada dan berhati-hati terhadap ancaman yang tidak
dijangka-jangka. Jika kita tidak berwaspada ada kemungkinan perkara buruk akan
berlaku.
No comments:
Post a Comment