PENGENALAN
Perkataan Gurindam berasal daripada bahasa Tamil
iaitu “Kirandam” yang membawa maksud ‘asal’ atau ‘perumpamaan’. Gurindam dalam
Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik telah terkenal sejak zaman Hindu lagi.
Pendeta Za’ba dalam Mohd Rosli Mohd Saludin (2007:139) menyatakan bahawa
gurindam adalah suatu jenis syair melarat yang tidak teratur,
berangkap-rangkap, dan tidak tetap sekatannya, timbangannya, dan sajaknya.
Menurut beliau lagi, bahasa gurindam padat dan bernas, serta isinya lebih
cenderung kepada suasana riang dan suka cita sebagai nyanyian jenaka, senda
gurau, kelakar, sindiran, giat yang bermain-main dan menggelikan hati. Manakala
Sutan Takdir Alisjahbana berpendapat bahawa gurindam terdiri daripada dua
baris. Kedua-dua baris itu bersajak dan mengutarakan satu idea iaitu baris
pertama dan kedua, masing-masing tidak lengkap tapi bersambung (Mohd Rosli Mohd
Saludin, 2007:140). Menurutnya lagi gurindam merupakan nasihat, pengajaran atau
kebenaran.
Gurindam Dua
Belas yang telah dihasilkan oleh Raja Ali Haji pada tahun 1864, merupakan karya
beliau yang paling menonjol berbanding karyanya yang lain. Nama penuh beliau
ialah Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad. Beliau ialah seorang ulama, budayawan,
dan sasterawan Melayu yang terkemuka pada abad ke-19 dengan karya-karya beliau
yang beraliran Riau. Raja Ali Haji berketurunan bangsawan Bugis.
Beliau mendiami Pulau Penyengat yang tidak jauh dari Tanjung Pinang. Raja
Ali Haji telah dilahirkan sekitar tahun 1809 di Pulau Penyengat, dan mangkat
semasa usia beliau 63 tahun. Beliau telah dimakamkan di Pulau Penyengat pada
tahun 1872. Di kompleks pemakaman Engku Putri Raja Hamida, terdapat makam Raja
Ali Haji yang terletak di luar bangunan utama. Karyanya, Gurindam Dua Belas
telah diabadikan di sepanjang dinding bangunan makan tersebut dan setiap
pengunjung yang datang dapat membaca dan mencatat karya besarnya yang sangat
indah tersebut.
Gurindam
tergolong dalam bentuk puisi lama yang banyak terdapat dalam masyarakat Melayu
Indonesia. Gurindam yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas karya Raja
Ali Haji. Gurindam Dua Belas bermaksud gurindam yang mempunyai 12 fasal. 12
fasal tersebut menceritakan tentang hal-hal ibadat, kewajipan seorang raja,
kewajipan anak terhadap ibu bapa, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. sikap masyarakat,
dan sebagainya. Gurindam ini dihasilkan untuk tujuan menyatakan sesuatu yang
benar menerusi pepatah atau peribahasa.
FALSAFAH
DAN PEMIKIRAN
Pada bahagian ini, penulis akan menerangkan
tentang falsafah dan pemikiran Raja Ali Haji yang terdapat dalam karya Gurindam
Dua Belas.
Falsafah
Falsafah bermaksud cinta kepada ilmu dan
kebenaran. Umumnya, falsafah mempunyai ciri-ciri pemikiran yang tertinggi dan
bertujuan untuk mendapatkan kebenaran. Falsafah menurut Mana Sikana (1996) dalam
Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:17) ialah suatu kesenian berfikir, yang
waras, bernas, dan mendalam. Menurutnya lagi, karya sastera yang dihasilkan
yang membicarakan sesuatu subjek, biasanya akan membicarakan sesuatu itu secara
artistik dan estetik, maka di situlah tersimpannya mutiara falsafahnya.
Tuntasnya, falsafah bermaksud memikirkan sesuatu dengan sangat mendalam dan
membincangkan sesuatu perkara secara terperinci untuk mendapatkan jawapan yang
benar dan sebenar terhadap sesuatu perkara.
Falsafah
yang terkandung dalam karya Gurindam Dua Belas membincangkan pelbagai persoalan
kehidupan manusia, sama ada kehidupan di dunia, mahupun kehidupan manusia di
akhirat. Antara persoalan yang terkandung dalam puisi tersebut termasuklah hal
mengenai akidah dan tasawuf, syariat rukun Islam, kepentingan menjaga akhlak,
serta konsep pemerintahan. Setiap fasal yang diperlihatkan oleh beliau berupaya
menyentuh kesedaran dan jiwa masyarakat, serta dapat memainkan peranan penting
bagi membentuk nilai keperibadian insan yang mulia berlandaskan syariat Islam.
Nilai-nilai Islam yang disusun dan digarap dalam Gurindam Dua Belas secara
tidak langsung mencerminkan diri beliau sebagai contoh insan yang memiliki
kualiti serta jati diri yang indah dan sempurna.
Selain
itu, berdasarkan gurindam tersebut, falsafah yang disampaikan oleh beliau ialah
falsafah yang sebenar-benarnya falsafah. Hal ini demikian kerana isi kandungan
atau makna yang terkandung dalam gurindam tersebut merupakan ilmu yang benar
dan datang daripada sumber yang benar dan sahih, iaitu ilmu yang bersandarkan
kepada agama, seperti Rukun Iman, hadis-hadis Nabi, dan ada bait-bait yang
diambil daripada ayat-ayat Al-Quran. Di samping itu, tiada sumber yang lebih
benar daripada sumber yang dinyatakan tadi kerana semua sumber tersebut
datangnya daripada pencipta segala isi alam iaitu Allah s.w.t dan Nabi Muhammad
s.a.w sebagai perutusan-Nya. Ketinggian pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam
Dua Belas jelas menunjukkan bahawa beliau sangat bijak menyampaikan sesuatu
ilmu kebenaran dengan cara yang sangat indah dan sempurna.
Raja
Ali Haji dalam gurindamnya juga menyentuh ilmu falsafah yang berkaitan dengan
etika, metafizika, sosial, politik, dan logik. Berikut adalah huraian tentang
sebab Gurindam Dua Belas dikatakan menyentuh kelima-lima bidang falsafah
tersebut:
Etika
Falsafah dalam bidang etika
ialah pemikiran tentang moral, pendidikan dan pengajaran. Semua fasal
yang terdapat dalam Gurindam Dua Belas menekankan tentang hal-hal moral,
pendidikan, dan pengajaran. Contoh yang terdapat padanya adalah seperti
berikut:
Dengan bapa jangan durhaka,
supaya Allah tidak murka.
Dengan ibu hendaklah hormat,
supaya badan dapat selamat.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 10)
Metafizika
Falsafah dalam bidang metafizika ialah pemikiran
tentang kewujudan dan keberadaan. Gurindam 12 ada menyatakan tentang
kewujudan Allah, akhirat, syaitan, balasan, dosa, dan sebagainya, yang pada
pandangan mata manusia tidak dapat dilihat, tetapi sememangnya wujud dan
pengarangnya yakin perkara-perkara tersebut ada dan benar. Sebagai contoh,
hal tersebut ada dalam gurindamnya:
Barang siapa mengenal akhirat,
tahulah ia dunia mudharat.
Barang siapa mengenal Allah,
suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 1)
Sosial
Falsafah dalam bidang sosial bermaksud gambaran
tentang kehidupan realiti manusia yang kontekstual. Pengarang banyak
memperihalkan aspek ini dalam gurindamnya seperti yang terdapat pada Fasal 4
hingga Fasal 12 yang memperihalkan tentang menjaga adab semasa bersosial.mSebagai
contohnya:
Barang siapa yang sudah besar,
janganlah kelakuannya membuat kasar.
Barang siapa perkataan kotor,
mulutnya itu umpama ketor.
(Gurindam Dua Belas,
Fasal 4)
Politik
Falsafah dalam bidang politik ialah aplikasi
dan tujuan dalam sistem pemerintahan sesebuah negara. Raja Ali Haji dalam
gurindamnya ada menyentuh hal politik iaitu berkenaan dengan tanggungjawab Raja
pada Fasal 12. Berikut adalah contohnya:
Raja mufakat dengan menteri,
Seperti kebun berpagar duri.
Betul hati kepada raja,
Tanda jadi sebarang kerja.
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 12)
Logik
Falsafah dalam bidang logik pula bermaksud
pemikiran yang rasional berdasarkan taakulan dan sebab musabab. Gurindam Dua
Belas memperlihatkan bahawa perkara yang terkandung di dalamnya, semuanya
bersifat rasional, berdasarkan taakulan dan ada menyatakan sebab musababnya.
Berikut adalah contohnya:
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
Apabila banyak mencacat orang,
Itulah tanda dirinya kurang.
Apabila orang yang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 7)
Pemikiran
Menurut Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:69)
konsep pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan pengarang
menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan
signifikan. Menurutnya lagi, setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri
dalam memilih bahan, mengejapkannya, dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej,
mutiara dan permata kaya. Pada bahagian ini penulis akan membincangkan tentang
pemikiran Raja Ali Haji dalam Gurindam Dua Belas. Antara pemikiran yang
terdapat dalam gurindam ini ialah pesanan terhadap pendengar dan pembaca ke
arah kebaikan, mengingatkan pendengar atau pembaca tentang Rukun Islam dan
akibat tidak menunaikannya, kepentingan menjaga anggota badan daripada berbuat
maksiat, akibat tidak menjaga tingkah laku, panduan tentang cara untuk
mengenali orang, perihal tentang wujud dan perlakuan syaitan, perihal tentang
adab antara anak dan ibu bapa, dan sebaliknya, serta tentang peranan raja.
Raja
Ali Haji mengajar dan mengajak manusia agar berbuat baik dan meninggalkan
segala larangan Allah s.w.t. Golongan pendengar atau pembaca yang ditujukan
pula adalah secara menyeluruh iaitu daripada golongan atasan iaitu raja
hinggalah kepada golongan rakyat bawahan iaitu hamba. Berikut adalah contoh
yang menunjukkan perihal yang dibincangkan:
Kepada segala
hamba-hamba raja,
Di situlah syaitan
tempatnya manja.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 9)
Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh
inayat.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 12)
Raja
Ali Haji mempunyai beberapa kelebihannya yang tersendiri terutamanya dari aspek
pengkaryaan, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan. Elemen utama
yang mewarnai dunia kepengarangannya ialah konsep dan landasan Islam yang
sangat kukuh. Pemikiran sebegini juga banyak ditemui dalam karya agungnya iaitu
Tuhfat al-Nafis. Abu Hassan Sham yang merupakan Ketua Jabatan Pengajian Melayu
Universiti Malaya, menyatakan bahawa landasan keislaman ini banyak dipengaruhi
oleh latar belakang keluarganya dan sistem pendidikan yang diterimanya. Hal
ini jelas menunjukkan bahawa pendidikan Islam tradisional yang diterima
daripada beberapa guru dan ulama di Riau serta pendidikan tidak formal daripada
keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji.
Raja Ali Haji telah menyebarkan ajaran tasawuf dan fikah dengan cara yang lebih
menarik iaitu melalui bentuk puisi yang ditulis. Tambahan pula, penyebaran yang
berbentuk puisi kurang menjemukan dan lebih lama terlekat di fikiran pendengar
berbanding ceramah-ceramah agama.
KEPENGARANGAN
DAN ESTETIKA
Pada bahagian ini pula, penulis akan menerangkan
tentang kepengarangan Raja Ali Haji dan estetika yang terdapat dalam karya
Gurindam Dua Belas.
Kepengarangan
Kepengarangan merujuk kepada keterampilan,
kecerdikan, dan kearifan seseorang pengarang itu dalam berkarya. Penelitian
terhadap aspek kepengarangan juga dapat menerangkan kekuatan, keistimewaan,
atau kelemahan seseorang penulis. Berdasarkan penulisan Raja Ali Haji dalam
Gurindam Dua Belas, penulis mendapati bahawa karyanya mempunyai mesej yang
sangat kuat, mudah ditafsir maksudnya oleh pendengar, dan mempunyai
keistimewaannya yang tersendiri. Seperti yang kita telah sedia maklum, beliau
merupakan seorang ulama yang mempunyai ilmu agama yang cukup banyak dan sangat
tinggi. Oleh hal itu, tidak hairanlah jika gurindam yang dihasilkan tersebut
mengandungi mesej dan ilmu yang sarat tentang agama dan ilmu tersebut tidak
boleh disangkal oleh mana-mana pihak. Hal ini demikian kerana setiap perkara
yang disampaikan olehnya tersebut berdasarkan kefahaman dan pembacaan beliau
terhadap Al-Quran, hadis-hadis Nabi, dan Rukun Islam yang disampaikan oleh
perutusan-Nya iaitu Muhammad s.a.w, yang kemudiannya digarap dan disampaikan
melalui bentuk puisi, gurindam.
Karya
yang dihasilkan ini dapat berfungsi sebagai pengajaran iaitu untuk menunjuk
manusia jalan ke arah hidup yang sempurna. Selain itu, karya ini juga kaya
dengan unsur didaktik yang membimbing pendengar dan pembaca ke arah kebaikan
seperti beramal ibadat, menguasai ilmu agama, berbudi bahasa, menerapkan
nilai-nilai moral yang mulia dan rasa kemanusiaan yang tinggi seperti nilai
kasih sayang, taat kepada ibu bapa, bekerjasama, berbuat baik pada setiap masa,
bertimbang rasa, dan banyak lagi. Hal-hal atau aspek-aspek yang seperti inilah
yang menjadikan karya beliau ini sebagai karya yang terulung dan agung.
Estetika
Estetika juga dikenali sebagai
suatu konsep keindahan. Mohd Rashid Md Idris et al. (2014:97) menyatakan bahawa
estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang
bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempesonakan atau penglihatan
yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran.
Keindahan juga dapat dilihat berdasarkan bahasa yang digunakan oleh pengarang
berdasarkan caranya mencerna, mengadun, dan mengolah karyanya agar tampak lebih
indah.
Penulis
berpendapat bahawa Gurindam Dua Belas bukan hanya sekadar indah pada bahasanya,
malah indah dari segi tafsirannya. Pengarang berjaya menimbulkan rasa keinsafan
pada diri pembaca dan pendengar, menimbulkan rasa ketakutan dan ketaatan kepada
Allah, serta meninggalkan pesanan yang berguna dan boleh dijadikan sebagai
panduan untuk pendengar dan pembaca berubah menjadi manusia yang lebih
sempurna. Karya ini juga tiada unsur mitos dan hal atau kepercayaan yang
karut-marut, kerana segala isi mesejnya benar-benar belaka. Sebagai contohnya:
Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 7)
Berdasarkan contoh yang di atas, pengarang
berpesan jika kita tidak melatih anak, apabila anak tersebut besar, bapanya
akan letih. Hal ini bermaksud apabila ibu bapa tidak mengajar anak-anak dengan
menerapkan ilmu agama dan adab yang baik ketika mereka masih kecil, maka
apabila anak tersebut telah dewasa, anak-anak akan menjadi biadab dan tidak
mahu mengikut perintah dan suruhan agama. Apabila hal ini yang berlaku, ibu
bapalah yang letih kerana perlu menegur dan memarahi anak-anaknya setiap kali
mereka melakukan sesuatu perkara yang ditegah oleh Allah.
Dari
aspek bentuk gurindamnya pula, Gurindam Dua Belas tergolong sebagai puisi
ikatan bebas. Hal ini kerana gurindam ini terbentuk daripada dua baris dan
kedua-dua barisnya membentuk sebuah kalimat. Tiap-tiap baris pula mengandungi
sepuluh hingga empat belas suku kata. Selain itu, Gurindam Dua Belas boleh
dibahagikan kepada dua unit. Unit atau setiap baris pertama dalam setiap
rangkap dianggap sebagai syarat dan baris kedua dianggap sebagai syarat. Baris
pertama bagi gurindam tersebut menyatakan sesuatu fikiran atau peristiwa,
manakala baris yang kedua pula menyatakan tentang keterangan atau menjelaskan
perkara yang telah dinyatakan pada baris yang pertama.
Di
samping itu, gaya bahasa yang digunakan oleh pengarang dalam gurindam ini amat
menarik kerana beliau menerapkan gabungan rima yang berpadanan dan menjadikan
karya ini begitu indah sifatnya. Namun begitu, hal yang menakjubkan ialah
pengarang bijak dalam memilih perkataan serta berjaya menggunakan
perkataan-perkataan yang mempunyai rima suku kata akhir yang sama pada setiap
baris dan perenggan. Unsur dan rima tersebut telah menimbulkan irama dan rentak
yang menarik pada gurindam tersebut. Sebagai contohnya, pengarang menggunakan
skema rima suku kata akhir aa dan bb seperti berikut:
Barang siapa khianat akan dirinya,
Apalagi kepada lainnya.
Kepada dirinya ia aniaya,
Orang itu jangan engkau percaya.
Lidah suka membenarkan dirinya,
Daripada yang lain dapat kesalahannya.
Daripada memuji diri hendaklah sabar,
Biar daripada orang datangnya khabar.
Orang yang suka menampakkan jasa,
Setengah daripada syirik mengaku kuasa.
Kejahatan diri sembunyikan,
Kebajikan diri diamkan.
Keaiban orang jangan dibuka,
Keaiban diri hendaklah sangka.
(Gurindam
Dua Belas, Fasal 8)
Selain itu, terdapat juga beberapa
pengulangan perkataan dan frasa pada awal baris seperti perkataan “Barang siapa”
pada Fasal 1 dan 2, perkataan “Apabila” pada Fasal 3 dan 7, perkataan
“Jika hendak mengenal” pada Fasal 5, “Cahari olehmu akan” pada Fasal
6, “Dengan” pada Fasal 10, dan “Hendak” pada Fasal 11.
Tuntasnya,
Raja Ali Haji melalui Gurindam Dua Belas telah melukiskan sesuatu mesej yang
mudah difahami maksudnya kerana beliau menyampaikan pesanan dan amanat yang
berkaitan dengan soal kehidupan manusia dengan agamanya agar dapat dijadikan
panduan dan pedoman, yang seterusnya menjadikan perjalanan hidup orang yang
mendengar atau membaca gurindamnya lebih sempurna.
KESIMPULAN
Gurindam merupakan sebuah puisi Melayu lama yang
tidak tentu bentuknya, sama ada terikat atau tidak. Lazimnya beberapa rangkap gurindam
diperlukan untuk melengkapkan satu keseluruhan idea. Namun begitu, Gurindam Dua
Belas yang merupakan karya Raja Ali Haji merupakan satu karya yang sangat
indah. Hal ini demikian kerana karya tersebut mempamerkan ilmu falsafah yang
tinggi, memperlihatkan pemikiran pengarangnya sebagai seorang ilmuwan dan
ulama, dan menonjolkan nilai kepengarangan dan aspek estetikanya. Gurindam Dua
Belas juga bukan hanya sekadar gurindam yang dinyanyikan sebagai alat hiburan
masyarakat zaman dahulu, tetapi sebagai peringatan dan pesanan untuk semua
manusia yang mendengarnya agar mengambil iktibar dan pedoman terhadap isi dan
mesej yang hendak disampaikan oleh pengarang.
No comments:
Post a Comment