Menurut Mohd Rashid Md Idris (2014) pandangan hidup adalah suatu konsep
yang dimiliki oleh masyarakat atau komuniti tertentu bertujuan untuk menanggapi
dan menerangkan segala permasalahan yang berkaitan dengan tuhan, manusia dan
alam. Pandangan hidup orang Melayu kebiasaannya melibatkan hubungan manusia
dengan tuhan, hubungan manusia dengan alam dan hubungan manusia sesama manusia.
Pantun ialah ragam puisi yang hidup dalam kalangan rakyat dan bersifat
kemelayuan. Orang Melayu mencipta pantun untuk melahirkan pelbagai bentuk
perasaan dan merupakan satu seni yang indah. Pantun Bingkisan Permata yang
dikaji berfungsi sebagai alat komunikasi, alat hiburan dan alat untuk mendidik.
Pantun Sebagai Alat Komunikasi
Pantun sebagai alat komunikasi dapat digunakan untuk berkasih-kasihan
iaitu untuk meluahkan perasaan kasih sayang dalam kalangan masyarakat Melayu
tanpa mengira batasan umur, sama ada rasa kasih teruna kepada dara, suami
kepada isteri atau anak kepada ibu dan bapa. Pantun-pantun sebegini akan disulami dengan kata-kata yang indah,
berbunga-bunga, puji-pujian yang menggambarkan perasaan kasih, sayang, cinta
dan rindu yang mendalam. Sebagai contoh:
Banyak bunga berangkai-rangkai
Tumbuh subur di pasu kuning
Banyak-banyak bunga setangkai
Harum sungguh bunga yang kuning.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 290)
Berdasarkan
pantun di atas, penggunaan kata yang berbentuk pujian menggambarkan perasaan
kasih seorang teruna kepada si dara. Penggunaan istilah ‘bunga’ merujuk kepada
si dara, manakala penggunaan kata ‘berangkai-rangkai’ bermaksud ramai anak dara
dan penggunaan kata ‘harum sungguh bunga yang kuning’ membawa maksud hanyalah
seorang yang menjadi pilihan hati si teruna di antara anak dara yang ramai.
Pantun sebagai alat komunikasi juga
dapat digunakan untuk meluahkan perasaan sedih. Perasaan sedih merupakan salah satu emosi yang
dikaitkan dengan situasi kehilangan, situasi yang mengecewakan, putus asa,
marah atau perasaan yang muncul akibat penderitaan kerana luka, derita dan
sakit. Oleh itu, bagi masyarakat Melayu dahulu apabila mereka berada dalam
kesedihan, pantun digunakan untuk meluahkan perasaan yang terpendam. Sebagai
contoh:
Hari ini merendang jagung
Hari esok merendang serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bercerai.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 290)
Pantun
di atas mengungkapkan perasaan sedih seseorang yang mungkin disebabkan oleh
situasi kehilangan yang bakal di alami. Pantun di atas membawa maksud hubungan
yang terjalin dalam masyarakat sebagai contoh hubungan sebagai jiran tetangga
yang kemudiannya terpisah apabila jiran tersebut berpindah ke tempat lain.
Seterusnya, pantun yang digunakan sebagai alat
komunikasi untuk menyindir. Pantun yang berbentuk sindiran telah ditimbulkan
dari satu cara hidup masyarakat yang tidak suka berterus terang dalam membuat
teguran, maka lahirlah pelbagai bentuk bahasa kiasan bagi menggambarkan sikap
rendah diri dan sifat kesopanan. Ini menunjukkan masyarakat Melayu
begitu berhati-hati dalam penggunaan kata-kata untuk menyatakan sesuatu
agar tidak menyinggung perasaan orang lain. Sindir-menyindir juga
memainkan peranan ketika menyampaikan sesuatu fikiran agar mesej yang cuba
disampaikan itu berkesan dan indah.
Kebiasaannya, terdapat maksud yang tersirat di sebalik rangkai kata yang
dituturkan. Sebagai contoh:
Bawa perahu ke Tanjung Pandan
Jurumudi duduk berkemas
Tak tahu akan untung badan
Awak tembaga dikatakan emas.
(Pantun Melayu:
Bingkisan Permata, 2001: 56)
Pantun di atas
adalah sindiran tentang sikap sesetengah orang yang tidak tahu bersyukur
terhadap kurniaan yang diperoleh seperti yang diungkapkan dalam ayat ‘tak tahu akan untung badan’. Sikap tidak puas hati terhadap apa yang ada
atau dianggap tidak mencukupi menyebabkan individu tersebut tiada kesedaran
diri.
Pantun Sebagai Alat Hiburan
Memandangkan
masyarakat Melayu lama tidak mempunyai saluran atau media yang canggih untuk
menghiburkan hati selepas penat bekerja, maka pantun menjadi salah satu alat
untuk mereka mengubat lara di hati.
Sesuai dengan peranan pantun yang bertindak sebagai alat hiburan, pantun
memainkan peranan yang penting untuk menimbulkan rasa keriangan dalam kehidupan
sehari-harian. Contoh pantun di bawah dapat memperjelaskan lagi secara lebih
terperinci bagaimana pantun amat berguna terutama dalam membayangkan rasa gembira
yang dialami oleh seseorang, meninggalkan perasaan seronok dan riang terutama
dalam kalangan kanak-kanak serta menimbulkan unsur-unsur jenaka dalam kehidupan.
Limau purut di tepi rawa,
Buah dilanting belum masak
Sakit perut sebab tertawa
Melihat kucing duduk berbedak.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 68)
Pantun di atas
berunsur jenaka, melucukan dan menghiburkan hati pendengar. Pengkarya
pantun ini telah menggunakan sifat manusia terhadap binatang iaitu kucing. Ayat
‘melihat kucing duduk berbedak’ dianggap jenaka kerana seperti yang diketahui
‘berbedak’ merupakan perbuatan manusia dengan menggunakan anggota badan iaitu
tangan. Apabila kata ‘kucing duduk berbedak’ digunakan, masyarakat dapat
menggambarkan kecomotan kucing tersebut kerana kucing hanya menggunakan tangan
dan kakinya untuk mencakar.
Pantun Sebagai Alat Untuk Mendidik
Pantun sebagai alat untuk mendidik mengandungi unsur-unsur nasihat,
mesej dan pengajaran, unsur kemanusiaan dan kemasyarakatan dan sebagainya.
Masyarakat Melayu terutamanya golongan tua, kaya dengan pelbagai nasihat.
Sebagai golongan yang ‘makan garam’ terlebih dahulu pastinya mereka mempunyai
pelbagai pengalaman hidup dan amat peka terhadap perubahan sesuatu perkara.
Justeru, jika mereka mendapati ada sesuatu perkara yang tidak kena atau
bertujuan untuk memberikan peringatan kepada golongan muda atau kanak-kanak,
mereka akan menggunakan pantun sebagai alat untuk menyampaikan nasihat dan
didikan. Sebagai contoh:
Alam pura Raja Mahkota
Pergi berperang ke negeri basanah
Ingat-ingat mengeluarkan kata
Zaman sekarang banyak fitnah.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 132)
Pantun
di atas merupakan pantun yang berbentuk nasihat yang ditujukan kepada semua
golongan masyarakat sama ada kanak-kanak, golongan muda, dewasa dan sebagainya.
Nasihat yang cuba disampaikan dalam pantun di atas ialah apabila bercakap atau
bertutur, individu perlu menjaga percakapan mereka agar tidak mengeluarkan
kata-kata yang berunsur fitnah. Nasihat yang disampaikan ini menggambarkan masyarakat Melayu yang prihatin dan peka
terhadap persekitaran.
No comments:
Post a Comment