Menurut Mohd Rashid Md Idris et. al
(2014: 69) pemikiran bermula dengan idea, yang kemudiannya dimatangkan
pengarang menjadi subjek, akhirnya ia menjadi buah-buah fikiran yang bernas dan
signifikan. Setiap pengarang mempunyai cara yang tersendiri memilih bahan,
mengejapkannya dan kemudian menjelmakannya menjadi mesej, mutiara dan permata
karya. Melalui kajian yang dibuat terhadap sejumlah pantun yang terdapat dalam
Pantun Melayu: Bingkisan Permata, didapati bahawa terdapat unsur pemikiran
dalam setiap pantun yang diungkapkan oleh masyarakat Melayu.
Perkataan-perkataan yang terdapat dalam pantun melambangkan cara pemikiran
penutur yang luas. Antara pemikiran yang terdapat dalam Pantun Melayu:
Bingkisan Permata ialah:
Pemikiran
Tentang Kewujudan
Pemikiran tentang kewujudan dalam
pantun Melayu melambangkan,
i. Pemikiran
tentang hubungan manusia dengan agama dan pencipta-Nya
Pemikiran tentang hubungan manusia
dengan agama dan pencipta-Nya dapat dilihat dengan jelas dalam pantun yang
menunjukkan isu-isu kehidupan yang berlandaskan ajaran agama Islam. Pemikiran
tentang kewujudan ini meliputi aspek akidah dan prinsip yang berlawanan dengan
akidah Islam yang harus dihindari oleh masyarakat Melayu. Antara pantun yang
mengungkapkan pemikiran tentang kewujudan ini dapat dihubungkan dengan tema
keagamaan, contohnya:
Menanam
kelapa di Pulau Bekam
Tinggi
sedepa sudah berbuah
Adat
bermula dengan hukum
Hukum
bersandar di Kitab Allah.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 89)
Pantun
ini memberi maksud segala adat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu berasaskan
kepada kitab Allah. Kitab Allah yang dimaksudkan ialah Al-Quran dan segala
hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat Melayu adalah berlandaskan kepada
hukum-hukum Allah.
Anak
gajah mandi di sumur
Ambil
galah dalam perahu
Orang
muda jangan takbur
Cubaan
Allah siapa yang tahu.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 90)
Pantun
di atas pula dijadikan peringatan kepada anak-anak muda Melayu supaya tidak
mudah lupa dan bangga dengan diri. Hal ini demikian kerana tiada sesiapa pun
yang akan tahu apakah ujian yang akan diberikan Allah kepada mereka yang lupa
diri dan sombong. Masyarakat Melayu menjadikan pantun ini sebagai nasihat
kepada anak-anak mereka supaya tidak bersikap sombong.
Angin
bertiup kembangkan layar
Haluan
menuju ke Pekan
Hendaklah
hidup berikhtiar
Kemudian
serahkan kepada tuhan.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 93)
Pantun
ini pula membawa maksud masyarakat Melayu mendidik diri mereka supaya rajin
berusaha dalam melakukan sesuatu kerja. Selepas berusaha, barulah mereka
berserah dan bertawakal kepada Allah. Hal ini menunjukkan bahawa masyarakat
Melayu percaya setiap kerja yang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh akan
membuahkan hasil. Selain itu, mereka percaya kepada qada dan qadar seiring
dengan rukun iman yang keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar.
Asam
kandis asam gelugur
Ketiga
asam si riang-riang
Menangis
mayat di pintu kubur
Teringat
badan tidak sembahyang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 93)
Pantun di atas menerangkan tentang
kepercayaan masyarakat Melayu terhadap balasan bagi mereka yang tidak
mengerjakan ibadah solat ketika masih hidup di dunia. Pantun ini dijadikan
pengajaran kepada masyarakat Melayu yang beragama Islam supaya tidak
meninggalkan solat. Hal ini demikian kerana solat merupakan rukun Islam yang
kedua dan wajib dilakukan oleh mereka yang beragama Islam.
ii.
Kewujudan
sesuatu benda dan fenomena alam
Konsep kewujudan sesuatu benda dan
fenomena alam juga terdapat dalam pantun Melayu kerana pemikiran orang Melayu
yang berasaskan alam sekeliling menjadi konteks dalam kehidupan masyarakat
Melayu itu sendiri. Hasil daripada pengamatan masyarakat Melayu terhadap
kejadian alam yang berlaku di sekeliling seperti hujan, ribut, kilat telah
menghasilkan sesuatu konsep dalam pantun. Selain itu, dalam penciptaan pantun
Melayu juga wujud faktor-faktor alam semester seperti flora dan fauna. Contohnya
dalam dilihat dalam pantun di bawah:
Anak
kuda dalam kandang
Pandai
menyepak tendang-menendang
Kalau
nasib sudah malang
Rezeki
secupak tidak mahu segantang.
(Pantun Melayu: Bingkisan Permata,
2001: 244)
Dalam
pantun di atas, masyarakat Melayu menggunakan alam fauna sebagai pembayang
iaitu kuda. Anak kuda yang sudah pandai tendang-menendang dan hidup di dalam
kandang merupakan situasi yang biasa dilihat oleh masyarakat Melayu.
Daun
empelas dalam puan
Puyuh
mengeram dalam padi
Sangatlah
belas hatiku tuan
Guruh
menderam hujan tak jadi.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 245)
Bagi
contoh pantun di atas pula, penggunaan faktor fenomena alam seperti guruh dan
hujan merujuk kepada cuaca. Kebiasaannya bunyi dentuman guruh membawa maksud
hujan akan turun. Fenomena ini merupakan kejadian yang berlaku di sekeliling
masyarakat Melayu.
Tanam
pisang tanam ubi
Ubi
ditanam buatkan batas
Banyak
orang bertanam budi
Dalam
ingatan hendak dibalas.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 97)
Melalui
pantun di atas, dapat dilihat penggunaan alam flora iaitu pisang dan ubi.
Kedua-dua tanaman ini merupakan tanaman masyarakat Melayu pada zaman dahulu.
Mereka menanam ubi untuk dijadikan makanan harian terutamanya semasa zaman
pemerintahan Jepun.
Berdasarkan pantun-pantun di atas,
dapatlah disimpulkan bahawa bahasa tidak boleh dipisahkan dengan corak
pemikiran dan budaya penutur. Hal ini demikian kerana pemikiran dan budaya
masyarakat Melayu merupakan satu panduan terhadap tindakan dan kepercayaan
dalam hidup mereka, di samping menjadi warisan sosial masyarakat Melayu.
Pemikiran
Tentang Ilmu Pengetahuan
Ilmu pengetahuan amat dititikberatkan
oleh masyarakat Melayu kerana ia dapat membentuk dan menyuburkan fikiran
masyarakat ke arah kesejahteraan. Selain itu, menuntut ilmu adalah selaras
dengan objektif Islam berdasarkan peristiwa turunnya ayat Al-Quran pertama di
Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad S.A.W. Menuntut ilmu dalam Islam merupakan fardu
ain, iaitu menjadi kewajipan kepada semua individu yang bergelar Muslim.
Sehubungan dengan itu, lahirlah pantun-pantun yang menyeru masyarakat Melayu
supaya menuntut ilmu. Antara pantun tersebut ialah,
Burung
kenek-kenek
Terbang
dalam semak
Pesan
datuk nenek
Rajin-rajin
pergi belajar.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)
Pantun
di atas menunjukkan bahawa masyarakat Melayu sangat mementingkan pendidikan
terutamanya kepada generasi muda iaitu kanak-kanak. Hal ini dapat dilihat
melalui burung kenek-kenek yang
sinonim dengan kanak-kanak dan pesan
datuk nenek boleh merujuk kepada pesanan orang tua kepada cucunya supaya
rajin belajar.
Cempedak
di luar pagar
Ambil
galah tolong jolokkan
Saya
budak baru belajar
Kalau
salah tolong tunjukkan.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 98)
Pantun
ini pula menunjukkan bahawa budaya masyarakat Melayu yang sentiasa ingin
ditegur dan diberi tunjuk ajar ketika mereka menuntut ilmu dan melakukan
kesalahan. Sikap ini juga mencerminkan masyarakat Melayu yang mementingkan ilmu
pengetahuan dan mengharapkan tunjuk ajar daripada orang lain.
Pokok
kelapa di tanam berjajar
Nampak
dari tepi pantai
Barang
siapa rajin belajar
Tentu
dia menjadi pandai.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 24)
Pantun
di atas pula menunjukkan bahawa masyarakat Melayu percaya bahawa masyarakatnya
akan menjadi pandai dan bijaksana sekiranya mereka rajin belajar. Kepandaian
dan kebijaksanaan masyarakat bergantung kepada kerajinan mereka menimba ilmu.
Anak
ayam turun sepuluh
Mati
seekor tinggal sembilan
Kutuntut
ilmu bersungguh-sungguh
Akan
bekalan hari kemudian.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 134)
Pantun
ini turut membuktikan bahawa masyarakat Melayu mementingkan pendidikan dan ilmu
pengetahuan. Hal ini dapat dilihat dalam dua baris akhir di atas yang
menggambarkan mereka menuntut ilmu bersungguh-sungguh untuk dijadikan bekalan
pada masa hadapan.
Melalui contoh-contoh di atas, dapat
dirumuskan bahawa pemikiran masyarakat Melayu yang melibatkan menuntut ilmu
pengetahuan adalah selaras dengan ajaran Islam. Menuntut ilmu pengetahuan dalam
Islam termasuk dalam kategori ibadah. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa
masyarakat Melayu memandang tinggi kepada usaha menuntut ilmu itu sendiri.
Pemikiran
Tentang Tingkah Laku Dan Moral Manusia
Masyarakat Melayu juga mengaitkan
persoalan mengenai tingkah laku dan moral manusia dalam hubungan antara manusia
dengan manusia. Moral di sini bermaksud satu sistem yang menilai tindakan zahir
manusia itu sendiri meliputi pemikiran, perasaan dan niat. Nilai-nilai moral
ini bersifat sementara, subjektif dan relatif. Di samping itu, segala tindak
tanduk dan tingkah laku masyarakat yang wajar dan tidak wajar dilakukan juga
diungkap dalam pentun Melayu. Hal ini bertujuan sebagai pengajaran dan teladan
kepada masyarakat supaya dapat dipraktiskan dalam kehidupan seharian. Antara
pantun yang menyatakan perihal tingkah laku dan moral manusia adalah seperti
berikut:
Ayun
anak ayun
Ayun
sampai hujung serambi
Bangun
anak bangun
Jangan
tidur meninggi hari.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 19)
Pantun di atas membuktikan bahawa
masyarakat Melayu tidak membudayakan tidur sehingga lewat hari atau dengan kata
lainnya sehingga matahari naik. Hal ini demikian kerana selepas subuh merupakan
masa mereka mencari rezeki. Mereka percaya amalan tidur sehingga tinggi hari
akan menutup pintu rezeki mereka.
Burung
kenek-kenek
Terbang
ke pucuk tebu
Pesan
datuk nenek
Jangan
derhaka pada ibu.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 25)
Dalam
contoh pantun ini, masyarakat Melayu amat menitik beratkan hubungan anak-anak
terhadap orang tuanya terutama ibu. Hal ini juga turut menjadi budaya yang
ditanam dalam diri masyarakat Melayu melalui rangkap pantun. Menghormati ibu
bapa adalah tanggungjawab anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapalah yang
banyak menabur bakti kepada anak-anak terutmanya ibu.
Tinggi
rimbun pohon sena
Tempat
bersarang si burung enggang
Bantalku
gebu tidak tidur lena
Ingatkan
hutang keliling pinggang.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 246)
Pantun
di atas pula merupakan pantun yang menyatakan kehidupan bagi mereka yang
berhutang. Hal ini merupakan pengajaran yang ingin diterapkan dalam diri
masyarakat Melayu supaya tidak berhutang kerana dengan berhutang akan memakan
menghantui diri mereka sendiri.
Anyam
ketupat bawa belayar
Diletak
di atas peti
Hutang
piutang dapat dibayar
Terhutang
jasa dibawa mati.
(Pantun
Melayu: Bingkisan Permata, 2001: 95)
Pantun
di atas juga menunjukan bahawa masyarakat Melayu menanamkan prinsip hutang budi
tidak mampu dibayar dan dibawa mati. Segala jenis hutang-piutang berbentuk
harta benda boleh dibayar, tetapi bukan hutang budi.
Berdasarkan pantun-pantun di atas,
jelaslah menunjukkan bahawa hubungan bahasa dan pemikiran masyarakat Melayu
berkait rapat dengan tingkah laku dan moral. Pemikiran dan kebahasaan
masyarakat Melayu yang terkandung dalam rangkap pantun bersifat humanistik dan
relatif. Marilah kita sama-sama menghayati sedutan pantun di bawah sebagai
halwa telinga dan mengkaji falsafah melayu itu sendiri.
salah pantun tu huhuhuhuh
ReplyDeleteburung kenek patutnya jangan tamak bukan belajar