Bagi menghasilkan sesebuah karya yang bermutu, seorang pengarang perlu menguasai beberapa tahap penulisan. Antara tahap penulisan yang perlu dikuasai ialah pengalaman artistik dan berharga yang mampu mempengaruhi kreativiti seseorang pengarang dalam menghasilkan sesebuah karya. Pengalaman yang berharga ini kebiasaannya diperoleh melalui pemerhatian, bayangan, pengaruh, pembacaan, kajian dan penyelidikan, ingatan dan juga unsur-unsur lain yang hadir sama ada bersifat konseptual dan juga kontekstual.
Menurut
Mohd Rashid Md Idris et al. (2014), kepengarangan merupakan aspek keperibadian
yang dicapai oleh pengarang iaitu kemuncak kejayaan seseorang pengarang. Bagi
menghasilkan teks yang unggul dalam mencipta sifat keperibadian masing-masing,
pengarang haruslah mempunyai prinsip keperibadian yang tersendiri. Proses
pembinaan keperibadian seseorang pengarang meliputi sifat yang terdapat dalam
diri pengarang tersebut seperti sifat dedikasi, keberanian, bijaksana, inovatif
dan pelanggaran yang dilakukan.
1. Unsur
mitos
Hikayat
Inderaputera banyak mengandungi unsur-unsur khayalan dan mitos seperti unsur
ghaib, kekuasaan yang dimiliki oleh perwira dan banyak lagi. Unsur mitos
merupakan unsur yang penuh dengan kesaktian dan magis. Unsur mitos digunakan
oleh pengarang bagi menunjukkan kelebihan dan kekuasaan yang ada dalam diri
seorang perwira. Contoh unsur mitos yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera
dapat dilihat dalam ayat di bawah:
‘Maka Tamar Jalis pun ghaib ke
udara seribu kesakitan dirasanya daripada sangat darab perang, Inderaputera itu
ia datang menolong Nobat Rom Syah.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 22)
Unsur
mitos yang diketengahkan oleh pengarang dalam ayat di atas ialah unsur ghaib.
Unsur ghaib dijadikan unsur kekuasaan yang dimiliki oleh individu yang
membolehkannya hilang dari pandangan mata. Individu yang memiliki kuasa ghaib
ini dianggap luar biasa. Selain itu, dalam hikayat Inderaputera terdapat juga
unsur mitos yang lain. Sebagai contoh:
‘Setelah itu maka Raja Dewa Mengerna pun
memanah Inderaputera berasap keluar api memancar-mancar ke udara dan
Inderaputera pun memanah Raja Dewa Lela Mengerna. Maka kena tubuhnya demikian
juga keluar api memancar-mancar.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 54)
Dalam
contoh di atas, pengarang mengetengahkan unsur kuasa yang tidak mungkin
dimiliki oleh manusia. Dalam dunia sebenar, apabila tubuh badan manusia cedera
maka akan mengeluarkan darah. Namun dalam hikayat ini apabila manusia
dicederakan, tubuh badannya akan berasap dan mengeluarkan api. Dalam hikayat
ini dapat dilihat bahawa pengarang banyak menyelitkan unsur-unsur mitos yang
tidak logik dan tidak dapat diterima oleh akal manusia. Unsur-unsur mitos yang
ada dalam Hikayat Inderaputera menjadikan jalan cerita hikayat ini lebih
menarik dan kelihatan hidup.
2. Unsur
ketuhanan
Pengarang
memperkenalkan watak utama iaitu Inderaputera sebagai seorang pengembara yang
mencari kebenaran Ilahi. Dalam pengembaraannya beliau tidak pernah lupa akan
kekuasaan Tuhan. Dalam setiap perkara yang dilakukan, Inderaputera sentiasa
menyebut dan mengingati bahawa setiap kejadian berlaku dengan keizinan Tuhan.
Sebagai contoh:
‘Maka ujarnya oleh Inderaputera, “Tuhan
Yang Mahabesar yang telah menghidupkan tuan-tuan sekalian itu tetapi hamba
ini menjadi sebabnya juga.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 90)
Dalam
ayat di atas, Inderaputera mempunyai kuasa untuk menghidupkan orang yang telah
mati. Kuasa yang dimiliki tidak menjadikan Inderaputera sebagai seorang yang
bongkak dan bangga diri, malah Inderaputera bersikap rendah diri apabila
mengakui bahawa kejadian yang berlaku adalah dengan izin Tuhan Yang Mahabesar
dan dia hanyalah sebagai perantaraan. Selain itu, terdapat juga contoh lain
seperti berikut:
‘Setelah demikian berkatalah
Inderaputera, “Hai adinda marilah tuan ke bawah mahligai ini kalau ada dengan
mudah-mudahan ditolongi oleh Tuhan Yang Mahatinggi hidup segala anak
raja-raja itu.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 89)
Contoh-contoh
yang dilihat ini dapat dibuktikan bahawa pengarang Hikayat Inderaputera amat
menekankan unsur ketuhanan dalam ceritanya. Unsur ketuhanan yang digunakan
dapat memberikan nasihat dan pengajaran kepada para pembaca. Pengarang bukan
hanya membawa pembaca menyelami kisah hidup Inderaputera malahan pengarang
mengajak para pembaca untuk mengingati Tuhan yang lebih berkuasa dari segalanya.
3. Unsur
keperwiraan
Dalam
hikayat ini, pengarang banyak memperlihatkan unsur keperwiraan Inderaputera.
Keistimewaan dalam diri Inderaputera terserlah semenjak beliau masih kecil lagi
sehingga dewasa. Kekuatan dan kekuasaan yang dimiliki oleh Inderaputera
membolehkannya membunuh seekor raksasa sedangkan tubuh raksasa adalah lebih
besar berbanding tubuh manusia. Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan ayat
di bawah:
‘Maka Inderaputera pun bertempik
seraya diparangnya Gherakas itu penggal dua lalu rebah mati.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 93)
Selain
memperlihatkan unsur keperwiraan, pengarang turut menyelitkan unsur-unsur lain.
Pengarang mendedahkan tentang masyarakat yang amat menyanjung seorang wira yang
berjaya melepasi pelbagai rintangan dan sentiasa memberikan bantuan terhadap
golongan yang memerlukan pertolongan. Kisah masyarakat yang menyanjung
kehebatan seorang wira dapat dilihat melalui ayat di bawah:
‘Maka segala mereka itu pun hairan
melihat kelakuan Inderaputera membunuh Gherakas itu yang amat hairan. Maka Raja
Talela Syah pun segeralah datang memeluk mencium akan Inderaputera.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 140)
Dalam
ayat di atas dapat dibuktikan bahawa Inderaputera disanjung tinggi oleh Raja
Talela Syah. Raja Talela Syah telah menghantar perutusan kepada Inderaputera
untuk meminta pertolongannya membunuh raksasa yang telah banyak membunuh
manusia. Unsur keperwiraan yang dimiliki oleh Inderaputera disenangi oleh semua
orang. Malah, ada pihak yang menghantarkan perutusan untuk meminta
pertolongannya.
4. Unsur
istana
Hikayat
Inderaputera merupakan cerita yang mengisahkan tentang kehidupan golongan raja.
Hikayat Inderaputera banyak memperlihatkan penggunaan bahasa istana. Bahasa
istana merupakan bahasa yang sangat lembut dan berlapik. Penggunaan bahasa ini
dapat mengindahkan lagi jalan cerita kehidupan golongan raja. Watak utama
Hikayat Inderaputera terdiri daripada Inderaputera sebagai anak raja dan juga
watak-watak lain yang terdiri daripada golongan istana. Bahasa istana digunakan
dalam pertuturan seharian mereka kerana bahasa ini merupakan bahasa rasmi
golongan istana. Bahasa istana yang digunakan dalam Hikayat Inderaputera dapat
dilihat berdasarkan contoh di bawah:
‘Maka baginda pun menyuruhkan
empat orang menteri mengalu-alukan anak raja kedua itu. Maka menteri itu pun
bertemulah dengan Raja Dewa Lela Mengerna dan Nobat Rom Syah serta ia memberi
hormat kepada kedua orang anak raja itu seraya berkata, “Segeralah tuan
hamba dipersilakan oleh baginda.”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 122)
Dalam
ayat di atas, bahasa istana yang digunakan ialah baginda dan tuan hamba. Selain
itu, pengarang turut menonjolkan unsur kemewahan dan kekayaan golongan
raja-raja dan juga golongan istana. Kekayaan yang dimiliki oleh golongan ini
ditunjukkan dalam ayat di bawah:
‘… Inderaputera pun berjalanlah pula pada
selapis pagar jala-jala itu daripada tembaga suasa dan pintunya itu
daripada emas sepuluh mutu dan berbagai-bagai pula perbuatannya yang
indah-indah rupanya.’
(Hikayat Inderaputera, 1977: 40)
Dalam
ayat di atas, unsur istana ditonjolkan melalui kemewahan yang dimiliki oleh
golongan raja. Ayat di atas menunjukkan kemewahan melampau yang dimiliki
golongan raja sehinggakan pintu pagar istana turut dibina dengan menggunakan
tembaga dan emas yang tinggi nilainya. Selain itu, dalam kehidupan sebenar,
penggunaan emas yang ditunjukkan secara terang-terangan boleh menyebabkan
berlakunya kejadian jenayah.
5. Teknik
imbas kembali
Teknik
imbas kembali merupakan suatu teknik pengarang mengenang semula peristiwa yang
berlaku. Peristiwa itu boleh dimbas kembali melalui pemerian pengarang atau
khayalan, dialog, monolog atau monolog dalaman. Dalam Hikayat Inderaputera,
penceritaan menggunakan teknik imbas kembali banyak digunakan melalui dialog.
Contoh tersebut dapat dilihat berdasarkan ayat di bawah:
‘Maka berkata pula Inderaputera, “Hai
dayang-dayang apa persetuanya itu diperhambat oleh raja mambang kedua itu?”
Hatta maka inang pengasuh Tuan Puteri
Cahaya Seganda Iram itu pun bercereterakanlah kepada Inderaputera
demikian bunyinya, “ Hai orang muda…”
(Hikayat Inderaputera, 1977: 72)
Ayat
di atas menunjukkan teknik imbas kembali yang digunakan oleh pengarang bagi
mengimbas kembali peristiwa yang menyebabkan dua orang putera merebut seorang
Tuan Puteri. Melalui teknik ini, Inderaputera dapat mengetahui punca yang
menyebabkan berlakunya perebutan antara kedua putera tersebut, sekaligus
Inderaputera dapat menyelesaikan masalah yang timbul antara mereka berdua.
6. Pantun
Hikayat
ini juga diselitkan dengan pantun. Pantun digunakan untuk mengindahkan lagi
jalan cerita Hikayat Inderaputera. Menurut Za’ba (2002) dalam Abu Hassan
Abdul (2013) pantun ialah kaedah karangan berangkap yang jati terpakai pada
orang-orang Melayu bagi menggambarkan fikiran hiba sayu dan warna-warna
perasaan yang indah-indah seperti hal ehwal berkasih sayang dan pujuk rayu yang
lemah lembut antara kekasih dan kekasihnya.
Dalam
hikayat ini pantun digunakan untuk berkomunikasi. Penggunaan pantun yang
berfungsi untuk meyampaikan hasrat hati Inderaputera dan Tuan Puteri Talela
Madu Ratna untuk berkenal-kenalan. Antara pantunnya ialah:
Inderaputera;
Empelam
bertumbuh dari ghaib,
Dipungut Dang
Ratna Wali,
Salam doa dagang
yang gharib,
Mintalah tuan
kenal-kenali.
Tuan Puteri
Talela Madu Ratna;
Tumbuh padi Dang
Ratna Wali,
Tanam halia
tiadakan tumbuh,
Betapa kita
kenal-kenali,
Kalau setia
tiadakan sungguh.
(Hikayat Inderaputera,
1977:102)
Dalam
kehidupan masyarakat Melayu, pantun merupakan satu corak komunikasi berseni.
Melalui pantun ini, Inderaputera telah menyatakan hasrat hatinya untuk
mengenali Tuan Puteri Talela Madu Ratna. Komunikasi antara Inderaputera dan
Tuan Puteri menunjukkan bahawa pengarang telah mengetengahkan ciri adab sopan
ketika berbicara iaitu komunikasi menggunakan pantun dibalas pantun.
No comments:
Post a Comment