Menurut Mohd
Rosli Saludin (2014), terdapat banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh
ramai sarjana seperti Za’ba, Windstedt, Wilkinson, Pijnappel dan Van Ophuijsen
berkaitan asal-usul pantun. Antara tokoh-tokoh tersebut, ada yang mengatakan
bahawa pantun berasal daripada bahasa Nusantara seperti toen dalam bahasa
Sunda, tuntun (Pampanga), tonton (Tagalog), matuntun (Jawa), panton (Bisaya)
dan pantun (Toba). Oleh itu, kita tidak dapat menafikan satu hal yang cukup
penting dalam teori asal usul pantun, iaitu persetujuan para sarjana bahawa
pantun berasal dari daerah Nusantara seperti India, China atau Jawa.
Pantun adalah hak milik masyarakat
Melayu yang mencerminkan peribadi, nilai dan minda Melayu. Menurut Windstedt
(1960) dalam Mohd Rosli Saludin (2014), kelahiran pantun dalam kesusasteraan
Melayu mengikut Sejarah Melayu bermula pada abad ke-15 walaupun sebenarnya
pantun telah wujud sejak berabad lamanya. Menurutnya lagi, pantun dihasilkan
secara lisan dan dianggap lahir bersama masyarakat kerana penghasilannya tidak
ditulis atau direkodkan. Malah, pantun dianggap sebagai ciptaan terulung
masyarakat Melayu kerana penghasilannya bukan saduran daripada masyarakat luar.
Pantun mempunyai fungsinya yang
tersendiri dalam masyarakat. Seperti fungsi puisi tradisional yang lain,
rangkap-rangkap dalam pantun akan mencerminkan peranannya baik berbentuk
hiburan, pengajaran, penghias majlis mahupun sebagai sebuah upacara ritual.
Setiap pantun yang dihasilkan mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri yang
terdiri daripada pemikiran, nilai budaya, nilai ilmu, pandangan hidup serta
keindahan estetika. Dalam koleksi Pantun
Melayu: Bingkisan Permata yang dikaji dan diperkenalkan oleh Harun Mat Piah,
perbincangan yang dibuat akan melihat sejauh mana pantun sebagai karya agung
Melayu berupaya menerapkan nilai-nilai hidup dan sosial masyarakat Melayu.
Keagungan yang mahu dilihat bukan sahaja dalam falsafah, pegangan, tema dan
maksud yang mahu disampaikan, tetapi juga dalam rangkap kata yang akan menjadi
wadah dalam penilaian dan tanggapan tersebut.
No comments:
Post a Comment